Sunday, July 15, 2012

Mudah kecap populariti

pix_middle

SETAHUN lalu, gadis manis berlesung pipi ini masih ada masa terluang untuk berehat. Namun kini, dia terpaksa memohon cuti supaya dapat merehatkan minda serta fizikal yang penat dek jadual penggambaran yang padat.

Tidak cukup dengan itu, dia juga perlu memenuhi permintaan media yang ingin mengadakan sesi fotografi bersamanya.

  • Foto

    MANIS...Wawa tidak mahu imej seksi.

  • Foto

    TELAGAH...babak dalam Budak Pailang.

Nyata peluang bercuti dua minggu pada Jun lalu tidak disia-siakan Nur Hawa Zainal Abidin atau Wawa Zainal, 21. Pelbagai program ingin dilakukan, terutama impiannya untuk bercuti di kampung yang lama dirindui.

Bagaimanapun, apabila bergelar bintang, apa yang dirancang terpaksa dibatalkan bagi memenuhi undangan sesi fotografi dan temuramah bersama media cetak dan elektronik. Itulah harga yang harus dibayar apabila namanya mula menjadi perhatian.


"Memang saya penat sangat hingga meminta cuti rehat daripada syarikat

pengurusan, tetapi apa boleh buat masih ada kerja yang perlu saya utamakan.
Saya terima semua ini dengan hati terbuka kerana saya yang memilih jalan ini," katanya.

Malah, kerana minat dalam lakonan, dia cekalkan hati untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dari kampung halaman di Lahad Datu, Sabah. Ternyata jalan dilalui untuk mengecapi populariti agak mudah dan pantas.

Hanya dengan menghantar gambar kepada MIG Talent, Wawa ditawarkan berlakon dan nekad untuk berhijrah. Wawa menandatangani kontrak lima tahun dengan MIG dan drama bersiri Klik yang disiarkan di Astro menjadi langkah pertamanya.

Katanya, dia nekad berhijrah seorang diri ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib sebagai pelakon. Tambah pula ketika itu dia kesunyian apabila semua kakaknya sudah berumah tangga.

"Hubungan saya dengan empat kakak memang sangat rapat. Ke mana saja kami bersama-sama hingga ada orang menyangka kami kembar kerana mempunyai bentuk fizikal sama serta muka seiras.

"Pernah sekali ada kawan melihat kakak saya bergaduh dengan teman lelakinya, tetapi mereka menyangka itu adalah saya. Reaksi saya mulanya terkejut, tetapi akhirnya perkara itu menjadi bahan lawak di rumah.

"Saya pemalu dan tidak ramai kawan, sebab itu saya sangat rapat dengan mereka.
Tidak dinafikan, ada rasa sedih bila mereka semua berkahwin, seolah-olah saya kehilangan sahabat baik. Sebagai adik, saya mendoakan kebahagiaan mereka," kata anak kelapan daripada 11 beradik ini.

Semakin dikenali, Wawa gembira dan bersyukur kerana kehadirannya dalam industri disedari masyarakat dan kini ada ramai peminat. Menghargai sokongan mereka, Wawa tidak pernah letih melayan mereka, lebih-lebih lagi yang ingin mengambil gambar bersama.

Jika sebelum ini dia bebas bergerak, namun kini ketika di pusat beli-belah atau kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai, pasti ada saja yang menyapa dan memanggil dirinya sebagai Amanda, watak dalam drama bersiri Klik.

Dia tidak pernah berasa kehidupan peribadinya kini terganggu, malah menganggap perkara itu sebagai normal dalam kehidupan selebriti.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak mengubah dirinya dan menegaskan dia masih Wawa yang dulu, cuma yang berubah adalah pembawaan diri, terutama di khalayak ramai, apatah lagi menyedari setiap gerak-gerinya diperhatikan orang sekeliling.


Wawa seram sejuk

FILEM Budak Pailang yang bakal ditayangkan 1 November depan membuatkannya sangat teruja menantikan reaksi penonton.

Tambah pula watak dibawa sungguh mencabar kerana paparkan dirinya melalui perubahan yang sangat ketara dalam hidup. Daripada remaja baik, dia berubah menjadi nakal selepas bergaul dengan remaja jalanan.

Dengan tagline 'pukul aku sampai mati', filem arahan Hashim Rejab ini lebih kasar sifatnya. Ia paparkan aksi lasak dan membuka sisi gelap pada watak dan juga naratifnya. Kali ini Wawa berganding dengan Aeril Zafril.

Kata Wawa, dia memang tidak sabar-sabar menanti tayangan Budak Pailang, tetapi waktu sama dia rasa tidak keruan memikirkan satu lagi filem lakonannya, Seram Sejuk. ia bakal ditayangkan pada Aidilfitri nanti.

"Saya sebenarnya sangat takut menantikan Seram Sejuk kerana itu lakonan pertama saya di layar perak. Ketika itu saya belum ada pengalaman berlakon.

"Bayangkan saja seorang pelakon yang tidak ada pengalaman yang cukup, berlakon dalam filem. Rasanya memang nampak seperti 'kayu'. Saya berdebar menantikan reaksi penonton, malah ada ketikanya saya lebih rela ia tidak ditayangkan," katanya.

Mengenai watak gedik yang dibawanya dalam Klik, Ana Lulu dan Hantu Dalam Botol Kicap, Wawa menafikan hanya mampu membawa watak begitu.

Malah, katanya, dia membuktikan mampu membawa pelbagai watak daripada kasar, gedik dan juga baik seperti dalam Bunga-bunga Syurga.

"Jika penonton melihat saya gedik, itu bermakna saya berjaya membawa watak itu dengan baik, tetapi jangan pula saya dilabel hanya mampu membawa watak seperti itu.

"Saya ada bawa watak baik dan bertudung dalam drama Bunga-Bunga Syurga dan filem 99 Kali Rindu yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

"Ketika ini, tiba masanya saya meletakkan had tampil seksi dan gedik. Bagi saya, setiap pelakon ada hak bersuara dan rasanya tiba masanya saya meletakkan had itu. Saya tidak mahu dilabel sebagai artis yang hanya dikenali kerana mendedahkan bahagian tubuh," tegas pelakon yang mengidamkan watak buta ini.

Kata Wawa, dia kini lebih berhati-hati dalam memilih pakaian dan turut mengambil iktibar daripada kejadian tersebar gambar seksinya di internet.

Katanya, dia sedar pada usia sekarang adalah masa untuk berubah, apatah lagi dengan statusnya sebagai selebriti.

Mengenai bertudung, kata Wawa, dia belum mengambil keputusan untuk ke arah itu dalam masa terdekat ini.

Diusik mengenai kekasih hati, Wawa hanya ketawa dan menjawab dia belum ada kekasih hati. Katanya, dia ingin menumpukan pada kerjaya dan mencapai cita-cita terlebih dulu sebelum melangkah ke alam percintaan.

"Saya masih solo. Kalau bercinta sekarang, nanti kasihan pula lelaki yang jadi 'boyfriend' saya. Sibuk dengan penggambaran, mungkin langsung tidak ada masa untuk berjumpa dan meluangkan masa dengannya.

"Apabila keadaan itu berlaku, pasti bergaduh dan bila bergaduh, emosi saya tidak stabil. Sedikit sebanyak ini akan mengganggu pembawaan watak ketika penggambaran," katanya.

Mengakui kebenaran 'cinta datang tanpa diundang', Wawa sentiasa meletakkan hatinya pada tahap waspada supaya tidak jatuh cinta buat masa ini. Katanya, biar dia mempunyai rumah dan kereta sendiri dulu. Lagi pula, gadis manis itu ingin menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: