BAGI wanita berseni seperti Murni Roslim, segala yang dilakukan adalah luhur dan lahir dari hatinya. Lalu dia menterjemahkan semua hasil seninya, tanpa paksaan tanpa bebanan.
Sesuai dengan label Mimpi Murni, ia umpama impian dan bingkisan dari hati wanita kelahiran Kuala Lumpur ini.
Sebab itu jangan terkejut jika Murni boleh menghasilkan apa saja termasuk pelembap bibirnya sendiri, semuanya kerana minat dan kreativiti yang ada dalam diri.
"Sebenarnya ibu saya memang menggalakkan saya melakukan kerja-kerja kraf sejak dari tadika lagi. Di peringkat menengah saya ditempatkan di asrama, saya terlalu sibuk dengan aktiviti sekolah hingga tak sempat membuat sebarang aktiviti kraf lagi.
"Apabila masuk ke universiti pula saya lihat kebanyakan pelajar di universiti tersebut mempunyai sekurang-kurangnya satu kemahiran kraf.
"Ada yang boleh menjahit, mengait dan dan buat kraf dari barang terpakai. Saya sendiri pula teruja melihat semua ini.
"Ketika di universiti saya juga minat sesuatu yang klasik dan usang. Dari situ saya mula membeli perhiasan antik untuk diolah semula menjadi hasil seni yang menarik," ujar Murni yang ditemui di kediamannya yang terletak di Taman TAR, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Murni yang merupakan pemegang ijazah psikologi dari University of Adelaide ini mendapat inspirasi dari apa yang dilihatnya di pusat membeli belah.
"Bila saya keluar membeli-belah terlalu banyak benda menarik tapi harganya mahal. Jadi sebab itu saya suka mencari bahan terpakai dan mengubah suai menjadi sesuatu yang baru dan juga menarik.
"Saya juga tidak pernah mengkhususkan minat kraf saya pada satu saja, bagi saya lebih banyak yang kita tahu itu lebih baik," ujar wanita kacukan Melayu dan Cina ini.
Dek kerana minat, Murni belajar untuk menghasilkan pelembap bibir dan sabun sendiri.
Bukan setakat suka-suka, Murni kini telah memasarkan produknya dalam gedung beli belah dalam talian seperti FashionValet.net dan Zalora.com.
Satu lagi minat baru Murni ialah mencipta taman mini potted succulent garden yang ditempatkan di bahagian anjung apartmen yang didudukinya.
Setiap tumbuhan diletak dalam pasu kecil bersaiz comel, beraneka bentuk dan disusun dengan gaya penuh kreatif lagi menarik.
Mengenangkan kraf adalah satu bidang yang sangat baik dan patut dimiliki oleh semua terutama golongan muda, Murni telah menganjurkan satu komuniti yang diberi nama Handmade KL.
Di sini, peminat kraf boleh berkumpul dan mempelajari kraf buatan sendiri.
"Peminat kraf tangan ini kebanyakan golongan wanita yang berusia dari 12 hingga 40 tahun.
"Mereka mendapat tahu tentang Handmade Kl dari blog, Facebook dan Twitter. Kami akan mengadakan perjumpaan seminggu sekali untuk bertukar-tukar ilmu kraf," katanya.
Bagi Murni, yang melakukan kerja kraf Mimpi Murni sepenuh masa, apa yang dilakukan sekarang semata-mata untuk menikmati kehidupan dalam erti kata sebenar.
"Saya lakukan mengikut gerak hati, malah saya juga berharap agar ramai yang mencintakan kraf dan boleh mendapat sesuatu dari apa yang mereka minat, percayalah ia memang berbaloi," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: