VANTAGE satu jenama porselin yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana bagi peminat-peminat produk ini, mereka sudah cukup arif mengenai corak yang ditampilkan iaitu gaya Inggeris.
Setiap keluaran terbarunya pasti tidak ketinggalan untuk dimiliki seterusnya menjadikan koleksi peribadi.
Memperkenalkan dua produk terbaru iaitu koleksi hidangan tahan sumbing siri Winsor serta koleksi memasak tanpa lekat, ia dilihat mampu memberikan kelainan kepada peminat-peminatnya.
Menurut jurucakap produk ini, Chef Datuk Ismail Ahmad, setiap keluaran Vantage pasti ada keistimewaannya dan untuk produk terbaru ini buatannya semakin halus dan ringan.
Katanya lagi, dalam bidang masakan, peralatan serta perkakasan dapur merupakan salah satu bahan yang dapat menjamin kesedapan masakan.
Untuk itu, Vantage adalah antara produk peralatan dan perkakasan dapur yang mampu menjadikan masakan lebih sedap serta selamat digunakan.
Menurut Chef Ismail, bagi koleksi terbaru ini, ia merupakan koleksi hidangan terbaru dengan keistimewaan pada ciri-ciri yang ringan, lasak, tahan sumbing dan praktikal digunakan setiap hari.
"Siri Windsor tergolong dalam kategori Deluxe yang diperbuat daripada porselin magnesium, ia lebih padat dan bersinar serta dapat menahan daripada renjatan suhu.
"Warnanya juga tidak luntur dan tidak mudah bercalar kerana ia dibakar pada suhu tinggi.
"Apa yang pasti Vantage merupakan satu jenama yang sentiasa menarik perhatian wanita dengan pelbagai hiasan bunga ros yang ditampilkan dan setiap produknya," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau, didatangkan dalam tiga set berlainan iaitu set 20 unit minum petang, set 16 unit makan malam dan set sembilan unit untuk empat orang, koleksi ini dijamin lebih lasak dan tahan sumbing dengan siri berbingkai yang mempunyai daya rintangan yang kuat.
Tergolong dalam rangkaian pinggan mangkuk porselin Vantage yang eksklusif, set ini tampil dengan lingkaran emas dan tanpa lingkaran emas pada setiap set peralatannya.
Vantage Pink dan English Rose antara motif paling popular bagi penggemar yang memilih tema Inggeris untuk koleksi set hidangan mereka.
Dengan reka corak motifnya yang unik dan pelbagai, ia amat sesuai digunakan sebagai penghias sajian ketika tetamu mahupun rakan-rakan datang bertandang.
Jelas Chef Ismail lagi, Vantage maju selangkah lagi apabila kali ini mengeluarkan set memasak tanpa lekat.
Set ini yang terdiri daripada periuk, kuali dan gril dilihat mampu menjamin penyebaran haba yang sama rata dan seimbang serta menjimatkan tenaga.
"Set memasak ini diperbuat daripada aluminium dengan bentuk yang kukuh serta bahagian bawahnya yang lebih tebal," katanya lagi.
Selain itu set memasak ini turut disertakan penutup kaca yang lut sinar untuk memudahkan melihat makanan yang sedang dimasak.
Kini, kedua-dua produk ini telah berada di pasaran dan boleh didapati di semua cawangan stokis dan pengedar Vantage seluruh Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: