jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Tuesday, July 10, 2012

Fenomena karipap lori

Mohd. Nasirudin Ayasyi Amru bersama bapa, Amru Najmi Osman yang banyak memberi sokongan dan galakan.

KATA peminat tegar karipap, seketul karipap mana pernah mengenyangkan, mesti makan dua atau tiga biji baru puas. Kadangkala ada yang merungut saiz karipap yang semakin mengecil biarpun harganya bertambah.

Berbeza kalau melihat karipap yang dijual di NeoCyber, Cyberjaya ini. Pembeli pasti terkejut kerana saiznya yang besar, lebih besar daripada saiz tapak tangan orang dewasa!

Idea untuk menjual karipap yang disebut karipap lori ini adalah daripada seorang remaja yang baru berusia 19 tahun, Mohd. Nasirudin Ayasyi Amru.

Mengakui salah seorang peminat tegar karipap, Mohd. Nasirudin juga suka berniaga.

Minat berniaga tersebut telah dipupuk oleh bapanya sendiri, Amru Najmi Osman yang sanggup memberi modal dengan meletakkan syarat, perlu berjaya dalam pelajaran dahulu dan perniagaan sebagai sampingan untuk menambah duit poket sementara masih belajar.

"Di kawasan Cyberjaya ini Majlis Perbandaran Sepang (MPS) tidak membenarkan gerai dibuka di tepi jalan, jadi saya mengambil peluang membuka satu ruang di kawasan perniagaan ini untuk perniagaan karipap saya.

"Alhamdulillah sejak ia dibuka kira-kira dua bulan lalu, karipap lori mendapat sambutan hangat hanya menerusi promosi dari mulut ke mulut.

"Barangkali juga nama yang saya pilih iaitu karipap lori membuatkan ramai orang teruja untuk mencuba sendiri," jelasnya.

Menceritakan tentang pemilihan nama karipap lori itu, Mohd. Nasirudin berkata sudah tentu lori itu merujuk kepada sesuatu yang bersaiz besar.

"Idea itu datang spontan dan semua ahli keluarga bersetuju dengan cadangan tersebut. Bermula dari itu saya merangka strategi promosi lain dengan menghasilkan logo, banner, bunting dengan idea saya sendiri," ujar anak sulung dari enam beradik ini.

Mohd. Nasirudin mengakui terpaksa belajar setiap proses membuat karipap daripada memilih tepung menguli, menyiapkan inti hinggalah menggoreng pada tahap kepanasan yang sesuai.

"Sebenarnya resipi karipap ini adalah turun temurun daripada nenek saya. Pada mulanya nenek saya buat beberapa jenis karipap dan saya sebagai tukang rasa, mana yang paling lazat, resipi itulah yang menjadi signature untuk karipap lori.

"Istimewanya karipap lori ini ialah terdapat dua jenis iaitu ayam dan daging dan saya menggunakan ubi keledek. Yang menariknya juga bahagian tengah karipap ini ada telur rebus bersaiz separuh yang menambah kelazatan karipap ini.

"Sebab itu ia juga boleh dikatakan makanan yang berkhasiat dan mengenyangkan. Seketul saja sudah cukup untuk mewakil makan pagi, tengahari atau makan petang.

"Untuk kulit karipap juga kami menggunakan ubi dan tepung yang berkualiti, ini semuanya untuk menjaga mutu dan kesedapan karipap lori ini," ujar Mohd. Nasirudin yang turut meletakkan harga iaitu RM2.50 untuk seketul karipap.

Mohd. Nasirudin, yang kini merupakan pelajar di UniKL dalam jurusan animasi, juga amat bertuah kerana perniagaannya sudah mula mendapat perhatian beberapa usahawan dari Bangi, Kajang dan Kerteh, Terengganu.

Mereka mohon karipap lori untuk difrancaiskan dan mempunyai cawangan seluruh Malaysia.

"Walau baru dua bulan, karipap lori sudah menjadi fenomena. Dalam sehari saja kami menjual dari 120 hingga 200 biji karipap malah sudah mendapat tempahan untuk majlis-majlis.

"Ayah saya berpesan, pelajaran perlu dihabiskan terlebih dahulu, sekarang saya sedang dalam cuti semester dan apabila kuliah bermula saya akan hanya memantau perniagaan ini pada hujung minggu," ujar Mohd. Nasirudin lagi.

Bagi yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang karipap lori boleh lawati www.facebook.com/karipaplori.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: