NORMAH Hamzah, 56, memang paling berminat dalam pemakaian barangan kemas yang baginya setiap satu mempunyai aura tersendiri.
Tetapi barang kemas yang dimaksudkan bukanlah barangan kemas hari ini. Beliau lebih berminat mendapatkan barangan kemas warisan nenek moyang dahulu.
Berasal dari Tanjung Malim, Perak dan sekarang menetap di Kajang, Selangor, ibu kepada dua orang anak ini memberitahu, baginya barang kemas dahulu memang bercita rasa tinggi.
Bertindak sebagai pembeli dan penjual, beliau menganggap barangan kemas ini merupakan khazanah warisan yang perlu dipelihara generasi sekarang.
Baginya setiap satu barangan kemas berkenaan tidak akan dapat yang sama bentuk biarpun menjejaknya ke serata negeri untuk mendapatkan stok atau koleksi terbaru dalam simpanan individu.
Hobi beliau mengumpul barangan kemas warisan lama ini wujud sejak tahun 1992 selepas berada di Jepun selama 11 tahun ketika menetap bersama suaminya di sana.
"Ketika berada di negara itu saya mendapati masyarakatnya amat menghargai barangan warisan lama. Masyarakat di sana akan menyimpan atau mengumpul semua koleksi lama peninggalan datuk nenek moyang mereka yang dirasakan sesuai.
"Justeru apabila balik ke sini saya merasakan mahu juga menyimpan beberapa koleksi yang saya anggap berharga terutamanya barang kemas lama," katanya yang ditemui di Studio Utusan, baru-baru ini.
Sebelum ini beliau sendiri mempunyai koleksi barangan berkenaan yang disimpan daripada ibu dan neneknya. Memandangkan perasaan ingin menambah koleksi meluap-luap, beliau terus ke kedai-kedai emas lama mahupun ke pajak gadai untuk membeli barangan lama yang dijual kepada kedai berkenaan oleh si pemiliknya.
Barangan kemas lama pertama yang dibelinya dari Aseana di Kuala Lumpur City Centre, kini masih dalam simpanannya. Beliau juga mempunyai koleksi rantai leher leche atau mastura yang berusia 100 tahun.
"Biasanya pemilik barangan ini beranggapan barangan kemas lama ini tidak lagi berharga, namun sebenarnya barangan kemas itu adalah antik dan lagi lama disimpan lagi tinggi nilainya," kata beliau yang setakat ini mempunyai koleksi barangan kemas lama mencecah nilai sehingga RM500,000 dengan usia barangan sekitar 70 ke 100 tahun.
Kata Normah, dia membuka dua buah kedai menjual barangan kemas lama bernamakan anak perempuannya Erina Iwasaki Jewellery iaitu di Anggerik Mall dan Seksyen 14 di Shah Alam, Selangor dan satu lagi bakal dibuka bulan Ramadan ini di Pudu Sentral, Kuala Lumpur.
Tambah Normah, pada permulaannya dia menceburkan diri dalam bidang ini secara kecil-kecilan di Downtown dengan menjual batu-batu permata sambil menyelitkan jualan barangan kemas lama dan mendapati sambutannya agak menggalakkan.
Berbanding dahulu katanya, sekarang permintaan untuk barangan lama ini dikatakan mendapat perhatian di kalangan mereka yang berusia di awal 40-an, para selebriti dan orang kenamaan.
"Dahulu reka bentuk barangan kemas ini dibuat secara buatan tangan dan setiap satu bentuknya adalah eksklusif, halus penciptaannya dan ditempa menggunakan emas paun bertatahkan intan.
"Motif yang sering digunakan dalah ekor merak, serangga, alam semula jadi, fauna dan rona kupu-kupu. Ia amat bernostalgia. Seperti cerita filem dahulu pasti pelakon wanitanya memakai barangan kemas. Nampak cantik, anggun dan amat bergaya," katanya.
Namun, beliau memberitahu remaja sekarang tidak menggemari memakai barangan kemas biarpun secalit gelang tangan mahupun aksesori.
''Mereka lebih senang kelihatan kosong di tubuh tanpa ada pelengkap gaya seperti aksesori mahupun emas, namun sebenarnya barangan kemas dan aksesori itulah yang akan membuatkan kita kelihatan berlainan dan nampak lebih anggun," katanya yang menyifatkan ramai yang enggan memakai barangan kemas atas faktor keselamatan.
Jika yang berminat untuk melihat koleksi barangan kemas lama boleh ke laman blog luvclassic.blogspot.com atau hubungi 018-2003813 (Zainuri) dan 017-2571783 (Normah).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: