Tuesday, July 17, 2012

Jalani kehidupan lebih tenang



MENGALAMI masalah keretakan rumah tangga pastinya menjadi satu pengalaman yang cukup pahit buat dua orang pelakon popular iaitu Mohamed Hadi Putera Halim atau lebih popular dengan Adi Putra dan Rita Rudaini Mokhtar.

Bagaimanapun, segala permasalahan yang telah melanda kedua-dua pelakon itu tidak pernah sesekali mematahkan semangat mereka untuk terus bergiat aktif dalam dunia lakonan.

Bagi Rita, dia sudah lali dengan masalah rumah tangga yang berlaku dengan suaminya iaitu Aidil Zafuan Abd. Radzak yang juga pemain bola sepak kebangsaan dan pasrah menerima apa sahaja ketentuan Ilahi.

"Selepas saya pulang dari Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan umrah baru-baru ini, saya akui kehidupan saya sekarang semakin tenang dan sudah mampu menerima apa sahaja yang berlaku kehidupan sekarang.

"Namun, saya juga ada berdoa untuk suami dan saya pohon sekiranya dia merupakan insan yang terbaik buat kami sekeluarga, saya berharap agar kami dapat didekatkan kembali," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Balistik di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Jelas Rita, biar apapun keputusan yang akan dibuat oleh suaminya itu selepas ini, dia kini mahu menjalani kehidupan yang lebih gembira bersama kedua-dua anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Rafiqa Arjuna yang kini berusia setahun.

Ujarnya, selepas pulang dari Mekah, sudah terdapat perubahan dalam dirinya apabila kembali menjalani kehidupan yang lebih ceria sehingga menimbulkan persoalan ahli keluarganya.

"Sekarang, kalau diminta hadir ke mahkamah pun saya tidak kisah dan mampu berhadapan apa sahaja situasi dengan lebih tenang. Paling penting saya mahu jalani kehidupan dengan lebih gembira tanpa memikirkan sebarang masalah," ujarnya.

Menurut pelakon berusia 36 tahun itu, memandangkan kehidupannya tidak lagi bersama suami, kini dia mengambil keputusan untuk kembali berkecimpung secara aktif dalam dunia lakonan.

Ujarnya, matlamat utama dia mahu aktif berlakon bukan semata-mata mahu mengecap nikmat populariti, sebaliknya ingin mencari nafkah untuk membesarkan kedua-dua anaknya itu.

"Apa yang saya lakukan sekarang ini bukan untuk mencari glamor kerana untuk menjalani kehidupan sekarang, saya perlu kembali bekerja kuat untuk mencari rezeki demi anak-anak.

"Apapun yang berlaku saya mahu anak-anak membesar di hadapan mata saya dan berasa sangat lega kerana mereka kurang meragam biarpun saya sudah mula sibuk menjalani penggambaran," ujarnya.

Utamakan anak

Meskipun kehidupannya kini sudah mula sibuk dengan jadual penggambaran, Rita memberitahu, dia sesekali tidak akan mengabaikan kedua-dua anaknya itu dan akan sentiasa bersama mereka sekiranya ada masa terluang.


RITA RUDAINI dan Adi Putra tidak suka mengheret masalah rumah tangga dalam karier mereka. Terbabit dalam filem Balistik, Rita dan Adi kini mahu lebih fokus terhadap kerjaya mereka.


Menurutnya, dia juga telah mengupah seorang pengasuh yang kini sudah tujuh bulan bekerja dengannya dan sesekali akan membawa kedua-dua anaknya dan pengasuh tersebut ke lokasi penggambaran.

"Walaupun sekarang ini saya mencari rezeki dengan berlakon, tetapi kerjaya lakonan menjadi nombor dua dan anak-anak tetap menjadi keutamaan saya. Kalau boleh saya ingin sentiasa bersama di samping mereka setiap masa.

"Kalau ada masa terluang atau tidak menjalani sebarang penggambaran saya memang jarang berada di rumah dan lebih suka membawa mereka keluar berjalan-jalan," ujarnya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Balistik bersama Adi Putra dan Rosyam Nor.

Ditanya mengenai persiapan untuk Hari Raya Aidilfitri pula, segala persiapan sudah selesai dilakukan termasuk menyediakan pakaian untuk dirinya dan kedua-dua anaknya itu.

"Tahun ini kami akan beraya di kampung halaman saya di Kangar, Perlis. Saya sendiri sudah menyiapkan empat pasang baju, manakala kedua-dua anak saya pula masing-masing sudah siap dua pasang baju Melayu dan dua baju kasual," ujarnya.

Perbaiki hubungan

Berbanding Rita, ternyata nasib lebih menyebelahi pelakon Adi Putra yang kini sudah pun berbaik semula dengan isterinya, Zuhaidah Yusof setelah mereka hampir-hampir bercerai baru-baru ini.

Adi yang turut ditemui pada majlis yang sama memberitahu, kehidupannya bersama isteri kembali normal dan berharap agar segala masalah yang pernah berlaku dapat dilupakan.

"Hubungan saya dan isteri sekarang menjadi lebih erat setelah apa yang berlaku. Namun, segala kelemahan yang wujud dalam hubungan kami sebelum ini akan diperbaiki lagi.

"Saya sedar sebagai manusia biasa memang bukan seorang insan yang sempurna dan tidak terlepas daripada membuat sebarang kesilapan. Kini, kalau ada sebarang perkara yang timbul kami akan berbincang bersama-sama," jelasnya.

Sementara itu, pelakon kelahiran Singapura itu memberitahu, selepas selesai menjalani penggambaran filem Balistik, dia akan berangkat ke Mekah pada 6 Ogos ini untuk mengerjakan umrah.

Ketika ditanya apakah yang membuatkannya untuk ke Mekah sekali lagi setelah berbuat demikian tiga bulan lepas, Adi memberitahu, dia memang mahu merasakan sekali lagi nikmat mengerjakan umrah semasa bulan Ramadan.

"Pada tahun lalu saya telah pergi ke Mekah buat kali pertama pada bulan puasa, kemudian saya berpeluang untuk mengerjakan umrah buat kali kedua bersama Triways Travel pada bulan April lalu.

"Apa yang boleh saya katakan suasana berada di sana pada bulan Ramadan dan hari biasa sememangnya sangat berbeza. Bagi saya, begitu banyak momen-momen indah yang dilalui sewaktu mengerjakan ibadah puasa di Mekah," ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon itu memberitahu, dia akan pergi berseorangan tanpa ditemani isteri, namun sudah merancang untuk membawa isteri dan ibunya ke Mekah pada bulan Februari 2013.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: