|
|
SEORANG remaja lelaki bertubuh kurus dengan wajah comel tidak perlu berbuat apa-apa untuk menarik perhatiaan peminat. Cukup dengan melontarkan senyuman dan mempersembahkan bakat yang ada, dia sudah mampu membuat jutaan hati peminatnya cair.
Begitulah kuatnya tarikan, aura serta fenomena Justin Bieber atau nama sebenarnya Justin Drew Bieber sejak awal kemunculannya pada tahun 2009.
Pelantun lagu Baby ini, telah hadir ke Malaysia serta mengadakan sidang akhbar bagi mempromosi album terbaharunya yang bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Bieber yang hadir di Malaysia buat kali kedua telah membuat sidang ‘peminat’ yang dianjurkan oleh MTV Asia dan Universal Music Malaysia yang mana ia juga telah dihadiri oleh 100 peminat yang bertuah.
“Saya sangat gembira dapat hadir ke Malaysia buat kali kedua. Saya sangat sayangkan peminat saya di Malaysia. Tidak mustahil jika saya akan datang lagi ke sini kelak,” tutur Bieber memberi ucapan kepada peminatnya yang menjerit tidak henti.
Walaupun Bieber lewat lebih dua jam ke sidang tersebut, namun peminat yang hadir setia menanti kehadiran idola mereka. Jejaka berusia 18 tahun ini telah menyampaikan sebanyak tujuh buah lagu, kompilasi daripada album lama dan baharunya.
Antara lagu-lagu yang dinyanyikan ialah Baby, One Less Lonely Girl, Fall, Die In My Arms, Boyfriend, Be Alright dan As Long As You Love Me.
Persembahan Bieber dan sikapnya yang begitu ramah dengan peminat termasuk menarik seorang peminatnya naik ke pentas telah membuat semua penggemarnya seperti terkena histeria.
Malah, semua lagu yang didendangkan kekasih Selena Gomez ini turut dinyanyi bersama oleh peminatnya yang sentiasa melaungkan rasa I Love You (Aku cinta kamu) kepada penyanyi itu.
Pada sidang akhbar tersebut juga, MTV Asia membuat kejutan buat Bieber dengan menghadiahkan sebuah gitar yang mana belakang gitar tersebut telah dilekatkan dengan ucapan ratusan peminatnya daripada laman Twitter.
Sementara itu, Bieber sempat menjawab beberapa soalan daripada media yang dipilih serta beberapa peminat sebelum menamatkan sidang akhbar yang berlangsung selama kurang 45 minit itu.
Bieber bercakap mengenai album baharunya yang berjudul Believe yang disifatkan sebagai mempunyai banyak perbezaan dari album terdahulunya iaitu My World.
“Semasa My World, proses siap hanya dalam tiga minggu, namun Believe kali ini mengambil masa agak lama iaitu lapan hingga sembilan bulan.
“Ini kerana saya banyak terlibat dalam pembikinan album kali ini. Saya terlibat dalam penulisan lirik serta penerbitan album ini yang membuat ia mengambil masa agak lama,” ujarnya.
Tambah Bieber, dia sengaja memilih tajuk album kali ini Believe (percaya) dan tajuknya juga bermaksud seperti memiliki sesuatu yang memberi inspirasi.
“Saya tahu semua orang juga punya halangan dan rintangan. Ini kerana kehidupan tidak sempurna dan saya rasakan muzik saya juga boleh memberi inspirasi kepada semua,” akhiri Bieber.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: