
BARU-BARU ini saya ada berjumpa dengan kawan-kawan yang memiliki atau pernah gila bermain kereta kecil atau K-Car.
Sejak mengikut haluan kerjaya masing-masing, banyak sudah perubahan yang berlaku. Ada yang sudah memiliki Toyota Velfire, tetapi tetap setia dengan K-Car.
Ketika rancak berbual, terkeluar pula cerita bahawa sejak akhir-akhir ini, ramai peminat tegar kereta sanggup membayar harga tidak masuk akal semata-mata untuk membeli barang-barang yang sukar diperolehi (rare).
Paling saya tidak sangka ialah model Daihatsu L200 dua pintu. Percaya atau tidak, ada individu yang sanggup membayar sehingga RM50,000 apabila ia sudah siap dimodifikasi sepenuhnya.
Seorang rakan, lebih mesra dipanggil Pok Li pula memberitahu, ada orang ingin menukar Daihatsu Mira dua pintu miliknya dengan model Honda Civic EK dua pintu B18CR yang sudah dipasang pelbagai peralatan tambahan.
Satu masa dahulu, saya ingat cerita-cerita sebegini merepek sahaja. Namun, apabila dengar cerita mereka, melopong jugalah.
Apabila terpandang kereta Accord yang dipaparkan dalam kolum Modifikasi Garaj minggu ini dan perasan ia merupakan model dua dua pintu, sekali lagi saya ternganga.
Orang sanggup bayar kereta begini pada harga yang luar biasa. Sama kesnya dengan model-model rare seperti Toyota Starlet EP82/EP92, Daihatsu YRV, Honda CR-X Del Sol, Honda Civic EG Coupe dan yang sejenis dengannya.
Spesifikasi negara lain
Apa istimewanya kereta Honda Accord SV4 Coupe ini? Pertama, ia tidak boleh didapati dengan senang. Jadi, kalau ada duit sekali pun, belum tentu anda boleh membelinya. Kedua, mofisikasinya tidaklah terlalu susah. Ketiga, sudah tentulah ia tidak sama dengan model Honda Accord SV4 saloon.
Persoalannya, macam mana kereta itu boleh wujud di Malaysia? Untuk pengetahuan anda, di Jepun, warganya boleh membeli hampir apa sahaja jenis kereta, biarpun ia khusus untuk spesifikasi negara lain.

Sebagai contoh, model Civic Type-R FD2 yang memang untuk pasaran Jepun ialah sedan empat pintu. Bagi pasaran Eropah pula, modelnya ialah RN2 hatchback. Walaupun dipasang di Eropah, ia tetap dibawa masuk dan dijual di Jepun.
Tidak kira sama ada pemanduan sebelah kiri sekalipun, kereta sebegitu tetap boleh dibeli. Pelik juga, walaupun pasaran dan permintaannya cukup kecil, pengedar kereta terbabit tetap menjualnya.
Kemasukan model Honda Accord SV4 coupe itu ke Malaysia cuma ada beberapa kemungkinan. Antaranya, ia dibeli oleh pelajar yang melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat (AS), diimport dari Jepun oleh pelajar atau mungkin juga dibeli oleh pengimport re-con untuk dipandu sendiri.
Jika dinilai produksi dari kilang, pemanduan kereta tersebut adalah di sebelah kiri. Model pemanduan sebelah kanan amatlah sukar ditemui.
Kereta yang anda lihat itu ialah versi re-con Jepun tahun 1994 dan masuk ke Malaysia pada tahun 2001. Terlupa pula saya hendak bertanyakan bagaimana pemiliknya, Mie boleh mendapat kereta tersebut.
Tetapi, apa yang pasti, tidak senang untuk Mie mendapatkan enjin H22A. Semua modifikasi kereta itu juga dibuat sendiri sejak dari awal.
Selepas puas mencari, akhirnya terjumpa juga half-cut model CD6 yang memang agak rare jika dibandingkan dengan half-cut Honda Prelude BB4. Memandangkan sterengnya di sebelah kanan, maka enjinnya tidak diusik dan semuanya dibiarkan dalam keadaan standard. Kotak gearnya pun automatik.
Semasa mencari suspensi gantiannya, Mie terjumpa dengan suspensi boleh laras Zeal yang masih elok sangat kondisinya.
Apabila sudah direndahkan, Mie pun menukar rim asal kepada rim jenama Rays bersaiz 18 inci. Saya kurang ingat apakah model sebenarnya, tetapi rim itu sangat sesuai dengan penampilannya.
Tayar yang digunakan ialah Thunderer Mach II bersaiz 225/40/18. Rim itu juga nampak sepadan dengan reka bentuk dan warna kereta yang berwarna putih.
Jika dijengah ke bahagian dalamannya pula, ia memang standard dan langsung tidak sporty.
Apa pun, Honda Accord Coupe itu bukan model biasa dan bukan semua orang tahu menilai keunikannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: