|
DALAM tempoh dua bulan lalu, seorang budak dari Cheras, Kuala Lumpur iaitu Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar sudah berjaya menjuarai dua siri perlumbaan go-kart di Itali.
Perlumbaan pertama yang dimenanginya ialah Kejohanan Wilayah Puglia pada 27 Mei lalu. Gelaran juara kali kedua pula dirangkulnya dalam perlumbaan Kejohanan Piala Sicily 2012 (10 Jun 2012).
Sehingga kini, Muizzuddin Musyaffa yang memandu untuk Gamoto Racing Team sudah berjaya menyempurnakan sembilan perlumbaan di Itali dan sekitar Eropah.
Lebih mesra dipanggil Muizz, kanak-kanak berusia 10 tahun itu sedang menjalani musim penuh CSAI Italian Karting Championship katagori Mini 60 (bawah 13 tahun) di Itali.
Pada 3 Jun lalu, Muizz berjaya menamatkan perlumbaan pusingan kedua Kejohanan Itali kategori Mini 60 di Ugento, Leece, Itali di kedudukan kesembilan daripada 40 pelumba.
Pencapaian itu ternyata lebih menyerlah jika dibandingkan dengan pusingan pertama di Sarno, Napoli awal Mei lalu. Dalam pusingan pertama, Muizz menempatkan diri dalam kedudukan ke-20 daripada 51 orang pelumba.

Sasaran peribadinya adalah untuk menduduk tangga kelima teratas di bawah kategori 13 tahun. Cita-citanya, menjadi pelumba F1 Malaysia suatu hari nanti.
Pendedahan kelas dunia
Bukan satu tugas mudah, namun ia bukanlah suatu yang mustahil. Sukan go-kart di Eropah sudah terbukti menjadi medan melahirkan pelumba-pelumba tersohor dunia. Antaranya, Michael Schumacher, Fernando Alonso dan Lewis Hamilton.
Buat masa ini, Muizz menetap sementara di Sicily, Itali bersama ibunya, Siti Rohanah Hussein. Ayahnya, Abdul Gafar Abdurahiman, seorang ahli perniagaan yang menetap di Cheras sering ke negara pengeluar kenderaan sport mewah dan eksotik itu untuk menyaksikan perlumbaan anaknya.
"Ayah memberi tempoh selama tiga tahun untuk saya mengejar impian. Impian saya dipandang serius dan inilah sebabnya ayah memutuskan saya perlu berlumba di Eropah untuk mendapat pendedahan kelas dunia.
"Berlumba di Eropah amat berbeza jika dibandingkan dengan senario di Malaysia yang tidak banyak perlumbaan go-kart dan peserta untuk dicabar," kata peminat kelab bola sepak Barcelona dan Liverpool itu.
Jika diimbas kembali, bakat Muizz sebenarnya dikesan oleh kedua ibu bapanya. Pada waktu itu, dia baru berusia enam tahun dan mempraktikkan perlumbaan go-kart menerusi permainan simulasi.
Sebaik sahaja umurnya lapan tahun, kedua-dua ibu bapanya membawa Muizz ke litar go-kart di Shah Alam, Selangor. Di sana dia belajar cara memandu jentera fun cart.
Bulan Mei tahun sama menjadi titik permulaan transformasi Muizz menjadi seorang pelumba. Dia menjalani latihan hampir setahun di bawah penyeliaan bekas pelumba dan juara go-kart kebangsaan, Ng Wai Leong sebelum berhijrah ke Itali.

CRG Hero
Saya dimaklumkan segala perbelanjaan Muizz di Itali dibiayai keluarganya sendiri. Sementara kos penerbangan pula dibantu oleh kenalan ayahnya.
Mungkin ada yang tertanya-tanya mengenai pendidikannya di sana. Muizz sebenarnya masih belum dapat mengikuti pelajaran akademik di Itali. Puncanya adalah jurang bahasa pengantara. Dia harus bermula daripada asas iaitu mempelajari bahasa Inggeris dan Itali.
Dua orang jurulatih di Sicily memainkan peranan penting dalam perkembangan prestasi Muizz. Mereka ialah Imran Shaharom, antara pelumba terbaik Malaysia dan Totty Gatto daripada Gamoto Racing Team.
Secara umumnya, Muizz menjalani latihan fizikal selama dua jam sehari dan tiga jam di atas litar go-kart. Digelar Muizz Iron Man, jentera perlumbaannya ialah CRG-Hero yang menggunakan enjin LKE 60cc. Ia mampu mencapai kelajuan sehingga 80 kilometer sejam.
"Muizz ibarat seorang kanak-kanak yang masih memerlukan kasih sayang keluarga dan rakan-rakan. Tetapi, apabila memandu go-kart, dia seolah-olah seorang bakal pemandu F1 yang wajib diberi perhatian.

"Latihan awal pada mulanya memang sukar kerana segala teknik dan pertuturan sukan bermotor adalah unik dan dalam bahasa Inggeris. Namun, dalam masa singkat, Muizz dapat menterjemahkannya dalam setiap perlumbaan yang disertainya. Sesuai dengan namanya Iron Man," kata Imran.
Bagi Gatto pula, dia mengakui belum pernah jumpa dengan kanak-kanak Asia yang cepat menyesuaikan diri dalam suasana perlumbaan di Eropah.
"Di sini, akan timbul perkara bahru setiap masa dan harus dipelajari. Muizz dapat menanganinya dengan baik. Saya yakin dia bakal mengharumkan nama Malaysia suatu masa nanti," katanya dalam satu temu bual menerusi e-mel.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: