Monday, July 23, 2012

Gaya hidup pengaruhi cita rasa



SUDAH masuk dua kali Ramadan tinggal berjauhan daripada keluarga, hati Md. Aznan Jusoh, 39, pasti terusik apabila terkenangkan isteri dan anak-anaknya yang menetap di Kulaijaya, Johor Bahru. Memori waktu bersahur bersama keluarga pada tahun-tahun lalu masih segar dalam ingatannya.

Akur dengan tuntutan tugas sebagai pemandu van dan bas di sebuah institusi pengajian tinggi di Selangor, dia ternyata merindui momen bersama keluarganya lebih-lebih lagi apabila Ramadan menjelma.

Walaupun tidak bersahur bersama keluarga tercinta, Aznan mempunyai perancangan yang rapi untuk menghadapi Ramadan terutamanya ketika waktu bersahur.

Bercakap tentang persiapan pada awal pagi sebelum fajar itu, dia lebih gemar memasak sendiri hidangan sahur berbanding membeli hidangan di restoran mahupun di bazar Ramadan seperti yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam di negara ini.

"Seperti bulan Ramadan tahun-tahun sebelum ini, saya pastikan saya memasak sendiri hidangan sahur kerana ia dapat menjimatkan perbelanjaan.

"Hidangan yang menjadi pilihan tentunya hidangan yang mudah untuk disediakan. Paling utama, ia mampu memberikan khasiat kepada saya," jelasnya yang mempelajari cara-cara memasak daripada isterinya sejak 10 tahun lalu.


AZNAN sudah dua tahun berjauhan dengan keluarga pada bulan Ramadan. Segala persiapan berpuasa seperti bersahur dilakukan sendiri.


Menu nasi putih, sayur lemak kacang panjang, ikan goreng dan budu menjadi pilihan utama kepadanya kerana kesemua menu tersebut tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan serta kosnya murah.

"Sebagai anak jati Kelantan, budu mampu menambah selera saya ketika waktu bersahur," ujar bapa kepada dua anak itu.

Tidak hanya tertumpu pada satu menu, dia juga akan memasak hidangan sampingan seperti kari daging, kari ayam, kacang panjang masak kicap, tomyam campur atau singgang ikan untuk bersahur. Jika ada lebihan lauk, ia akan disimpan untuk hidangan berbuka puasa pada hari tersebut.

Ala kadar

Dalam konteks masyarakat di Malaysia, amalan bersahur berbeza dengan waktu berbuka puasa. Ketika berbuka puasa, lazimnya lambakan makanan dan minuman tersedia di atas meja untuk menjadi santapan.

Namun, sudah menjadi kebiasaan umat Islam di negara ini terutamanya lelaki, mereka lebih gemar bersahur dengan hidangan ala kadar.

Walaupun kaum Hawa lebih sinonim dalam proses penyediaan hidangan untuk bersahur, kaum lelaki khususnya yang tinggal bersendirian mementingkan amalan bersahur walaupun secara sederhana.

Jika Aznan memilih untuk menyediakan hidangan sahurnya sendiri, berbeza pula dengan seorang pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Selangor (Unisel) kampus Shah Alam, Eddy Aqmal Mohamed Hamidi, 22.


MUHAMMAD AZMAN (kanan) bersama isterinya gembira dapat menjalani ibadah puasa dan rutin bersahur sebagai suami isteri buat kali pertama.


Penuntut itu memilih untuk bersahur dengan rakan-rakan sebilik yang tinggal bersama di kolej kediamannya di Wisma Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Seksyen 3, Shah Alam.

Gemar mencuba pelbagai hidangan dari gerai yang berbeza di sekitar Shah Alam, beliau mempunyai lebih variasi dalam pemilihan hidangan bagi menepati keinginan seleranya waktu bersahur.

"Kebiasaannya saya dan rakan-rakan akan ke Uptown, Seksyen 24, Shah Alam dan restoran yang menjadi pilihan kami ialah D'Selera Timur Uptown kerana masakan panasnya seperti nasi goreng cendawan, tomyam dan nasi paprik menepati cita rasa di samping harganya yang berpatutan.

"Sebagai pelajar, pengisian waktu malam saya sentiasa penuh dengan pelbagai aktiviti sukan bersama rakan-rakan seperti bermain futsal dan badminton. Kadangkala aktiviti itu berlanjutan sehingga waktu sahur," ujar anak kedua daripada lima orang adik-beradik itu.

Sudah menjadi lumrah seorang pelajar, masalah kewangan adalah aspek yang amat diberi perhatian memandangkan dia sentiasa membeli makanan untuk bersahur dan berbuka puasa.

Tambah Eddy, walaupun dia seronok bersahur bersama rakan-rakan, dia tetap merasakan bahawa bersahur di rumah bersama keluarga adalah yang terbaik untuk dirinya.

Institusi kekeluargaan memainkan peranan yang penting terutamanya untuk mendidik ahli keluarga merasai kenikmatan menjalani ibadah itu bersama-sama.

Selain itu, hubungan silaturahim antara ahli keluarga menjadi lebih erat. Suami digalakkan untuk membantu isteri dalam penyediaan juadah ketika bersahur dan kemudian bersama-sama menunaikan solat subuh berjemaah.

Sahur berpasangan


EDDY merasakan lebih mudah dan seronok jika bersahur bersama rakan-rakan di luar rumah.


Bagi pasangan suami isteri, Muhammad Azman Masdarajis, 24, dan Nursyuhada Nadzeri, 24, ibadah puasa pada tahun ini menjanjikan kelainan kepada mereka kerana ini merupakan Ramadan pertama yang akan ditempuhi setelah tujuh bulan berkahwin.

Lebih manis, mereka juga menanti kehadiran cahaya mata yang dijangka lahir selepas Syawal nanti.

Bagi Azman, dia amat teruja kerana pada tahun ini dia tidak lagi keseorangan ketika bersahur sebaliknya isteri tersayang akan menemaninya.

"Kami jarang memasak ketika di rumah lebih-lebih lagi isteri saya sedang sarat mengandung. Saya dapat jangkakan bahawa kami akan lebih kerap bersahur di luar berbanding di rumah.

"Isteri saya gemar makan burger dan dia juga mahu hidangan burger untuk menu sahur kami nanti. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi kehendak isteri saya," ujar siswazah bidang Sains Kuantitatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Jelasnya, dia dan isteri tidak cerewet dalam perihal makanan dan mereka tiada masalah sekiranya bersahur dengan minum segelas susu sahaja.

Untuk menyara keluarga, Azman melakukan dua pekerjaan iaitu sebagai pembantu gudang pada waktu siang dan membuka gerai burger di Bandar Seri Permaisuri, Cheras pada sebelah malamnya.

Walaupun sibuk dengan rutin harian, dia berjanji untuk sentiasa mencari peluang menjalankan ibadah sahur bersama isterinya setiap hari.

Memberi tenaga

Amalan bersahur juga dituntut dalam Islam. Mengikut kajian saintifik, bersahur mampu memberi tenaga yang cukup sepanjang tempoh umat Islam berpuasa iaitu bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Bagi mereka yang mengambil berat tentang sahur dan manfaatnya, ibadah tersebut bagaikan satu kewajipan yang ditanam dalam diri mereka.

Prinsip itu juga menjadi pegangan pensyarah muda program komunikasi dan media, Kolej Teknologi Timur, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Muhammad Izzat Jamaluddin, 26.

Beliau merasakan setiap kali tiba bulan Ramadan, bukan sahaja ibadah puasa itu wajib malah beliau turut mengejar fadilat dan pahala ibadah sahur yang sangat dituntut dalam Islam.

Menggemari makanan yang mudah dan ringkas untuk bersahur, beliau lebih selesa bersahur di restoran mamak yang beroperasi 24 jam. Selain terdapat banyak pilihan menu, waktu operasi itu begitu ideal untuk disesuaikan dengan masa kunjungannya.

Sebuah restoran mamak yang terletak di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan sering menjadi pilihan pensyarah yang berasal dari Jitra, Kedah itu untuk bersahur.

Menurut Muhammad Izzat, faktor kekurangan restoran yang beroperasi secara 24 jam di kawasan kediamannya membuatkan beliau sanggup untuk ke restoran tersebut walaupun mengambil masa perjalanan lebih kurang 20 minit.

"Aneka pilihan makanan yang terdapat di situ membuatkan saya seronok bersahur walaupun bersendirian.

"Saya memerlukan tenaga yang cukup untuk melakukan kerja-kerja seharian dan menu yang ringkas serta mudah itu ternyata membantu untuk mengalas perut dan membekalkan tenaga sepanjang saya berpuasa," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: