Tuesday, July 10, 2012

kenangan di Coliseum

HAINANESE chicken chop.

Memulakan operasi sekitar tahun 1921, nama Coliseum Cafe & Grill Room cukup gah suatu ketika dahulu malah sehingga hari ini ia terus bertahan biarpun menghadapi pelbagai cabaran dan saingan.

Terletak bersebelahan panggung wayang Coliseum, kafe yang sejak dulu dikenali sebagai Coliseum Cafe & Hotel ini masih gagah berdiri menyajikan pelbagai hidangan yang enak.

Baik dari segi struktur bangunannya mahupun masakan yang dihidangkan, ia tidak banyak mengalami perubahan.

Terletak di bangunan yang banyak menyimpan nostalgia dan kaya dengan sejarah seni bina, keadaan bahagian dalam kafe ini tidak banyak berubah hanya bertukar cat untuk tidak membiarkannya usang dimamah usia.

Secara jujur sepanjang tinggal di Kuala Lumpur lebih 15 tahun lalu, inilah pertama kali penulis menjejakkan kaki ke Coliseum Cafe & Grill Room.

Merupakan antara bangunan terawal di Jalan Tuanku Abdul Rahman, kemasyhuran kafe ini turut dilihat pada reka cipta dalamannya yang kekal unik sehingga ke hari ini.

Malah makanan yang disajikan tetap seperti dahulu kerana kebanyakan pekerjanya juga adalah pekerja yang sama yang setia bersama kafe tersebut sejak sekian lama.

Bagi mereka yang pernah menikmati hidangan di sini pastinya bersetuju dengan pernyataan di atas dan tidak keterlaluan dikatakan sajian yang disediakan di Coliseum Cafe & Grill Room ini enak belaka.

Masih mengekalkan resipi turun temurun gaya masakan turut dikekalkan dari zaman kolonel lagi.

Menyediakan pelbagai sajian bermula dari pembuka selera hinggalah pencuci mulut, pengunjung boleh memilih lebih daripada 90 hidangan untuk dinikmati.

Menurut Pengurus Operasinya, Kenneth Abdullah, pihaknya menggunakan bahan mentah yang segar setiap hari untuk menyediakan pesanan pelanggan.

Tambahnya lagi, setiap menu hanya akan dimasak selepas pesanan dibuat oleh pelanggan dalam usaha memastikan hidangan yang dihidangkan panas.

“Di sini, kami sememangnya terkenal dengan masakan Hainan sejak dahulu lagi.

“Kami cuba mengekalkan keaslian tersebut malah ada beberapa resipi yang dihasilkan sendiri turut dipertahankan sehingga kini.

“Yang pasti kami ingin memberikan kelainan kepada cita rasa pelanggan dan apa yang boleh dikatakan pelanggan yang mengunjungi kafe kami hari ini kebanyakan juga merupakan pelanggan tetap," ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Boleh memuatkan sehingga 140 orang pada satu-satu masa, Coliseum Cafe & Grill Room ini dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Antara sajian yang menjadi pilihan pelanggan sekiranya mengunjungi kafe ini ialah Hainanese chicken chop dan inche cabin (ayam goreng Hainan).

Selain itu menu-menu lain yang boleh diperoleh di kafe ini ialah koktil udang, sup ekor, ketam bakar, sizzling Australia rib eye steak, grilled salmon steak, banana and chocolate spring roll with vanilla ice cream, karamel dan pisang goreng bersama krim.

Begitupun, jelas Kenneth, selain sajian Barat, pihaknya turut menyediakan menu tempatan dengan harga yang berpatutan.

Selain makanan, para pelanggan juga boleh menikmati pelbagai jenis minuman yang disediakan termasuklah kopi.

Kopi yang disediakan di sini sungguh istimewa kerana selain pekat dan asli Coliseum Cafe & Grill Room sememangnya terkenal dengan kopi Hainanese.

Bagi mereka yang ingin menikmati hidangan sambil mengimbau kembali kenangan-kenangan lalu bolehlah mengunjungi Coliseum Cafe & Grill Room sambil menikmati hidangan yang tiada tandingannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: