Saturday, July 14, 2012

Datsun B110 Fastback


MODEL ini nyata menarik tanpa penggunaan bodykit berlebihan.


KALAU bercakap tentang kereta lama, mungkin hanya ada satu sahaja kereta yang dikenali dalam keluarga Nissan. Model itu ialah 510 atau lebih dikenali di kampung sebagai Datsun 1600.

Sangat berbeza dengan jenama Toyota yang cukup banyak modelnya dibaik pulih semula, Nissan/Datsun bagaimanapun kurang diminati kerana banyak sebab. Antaranya, sudah tentulah kerana alat gantinya yang tidak senang dicari dan tidak murah macam Toyota. Lebih kuranglah seksanya seperti hendak membaik pulih model Mazda.

Kereta Nissan/Datsun juga bukan boleh pilih-pilih kalau hendak dibeli. Tidak banyak yang masih berada dalam kondisi bagus dan diiklankan. Kereta yang dipaparkan dalam kolum Modifikasi kali ini ialah Datsun B110.

Pertama kali melihatnya, saya dengan yakin meneka ia sebuah Toyota. Tetapi jelas sangkaan itu jauh meleset. Kalau diikutkan sejarahnya, model itu mula diperkenalkan pada tahun 1970 sebagai gantian kepada model Datsun B10 dan B20. Menggunakan kod B110, ia bersaing secara langsung dengan model-model keluaran Toyota.

Sekitar tahun 1970-an, segmen kereta-kereta sport kecil sememangnya popular dan mendapat sambutan hangat. Ketepikan dulu model Toyota Celica dan Nissan 510 yang boleh dianggap kereta sport berskala lebih besar. Untuk menghasilkan sebuah kereta sport kecil yang asalnya sebuah model sedan, maka lahirlah versi liftback atau pada masa itu lebih dikenali dengan istilah fastback.

Kereta versi fastback tidak dimulakan oleh pengeluar kenderaan Jepun. Kalau anda pernah melihat Fiat 850, itulah penanda aras pengeluar Jepun apabila mereka ingin meneroka pasaran luar negara terutama Eropah.

Kereta-kereta Eropah seperti Fiat, Alfa Romeo, Saab, Skoda dan beberapa lagi jenama lain kemudian terpaksa berdepan cabaran daripada kereta Jepun. Ia bukan sahaja memiliki kualiti yang hampir sama, malah pengeluar Eropah tidak mampu melawan dari segi ekonomikalnya.

Untuk makluman, versi sedan Datsun B110 menggunakan enjin A12 bersesaran 1,172cc. Itu pun saya tahu kerana terjumpa ada seorang pemilik dari Johor yang mahu menjualnya di laman web mudah.com.

Jentera yang anda lihat ini ialah model fastback dengan enjin A14. Enjin asalnya telah ditukar kepada enjin CA18DET. Selepas puas main drift dan drag di sana sini, kereta itu kemudian bertukar tangan kepada pemilik barunya, Ali.

Sayang kereta

Sebagai seorang mekanik, Ali mengambil keputusan untuk memulihkan Datsun B110 itu kepada versi asal. Sayang sangat pada kereta itu kerana susah nak dapat dan tidak mahu merisikokannya di atas trek, Ali membuat keputusan memasukkan semula enjin lamanya iaitu A14. Kalau dinilai dari segi spesifikasinya, A14 memang sebuah enjin lama dan tidak berkuasa.

Bagi menjadikan enjin A14 itu lebih mengujakan, Ali yang yang turut memiliki sebuah Toyota AE86 sejak dua bulan lalu mengubahsuai enjin tersebut. Pertamanya, bahagian blok bawah telah dipasang dengan piston oversized dan komponen crank diringankan.

Pendek kata, enjin kecil 1,400cc itu diimbang, sebelum dipasang karburetor Solex 40 bersama pendikit (throttle) individu. Akhir sekali, satu unit penghidup jenama MSD dan palam pencucuh Iridium dipasang.

Jentera itu menggunakan kotak gear manual lima kelajuan yang tidaklah banyak pada zamannya yang rata-rata kereta hanya dibekalkan dengan gear empat kelajuan sahaja. Kotak gear itu dipasang dengan roda tenaga (flywheel) jenama Cusco dan LSD yang disalin daripada Toyota AE86 atau Hachiroku.

Sebagai seorang mekanik yang pakar dalam selok-belok kereta, sudah tentulah Ali tidak berdepan masalah untuk memasang apa jua jenis suspensi.

Setelah dikaji, dia mendapati suspensi Nissan S13 Silvia boleh laras lengkap dengan pillowball adjuster amat sesuai untuk roda hadapan. Sementara roda belakangnya menggunakan suspensi Toyota AE86. Formula sama (roda hadapan S13 Silvia dan belakang AE86) untuk brek turut digunakan.

Sekarang, masuk bahagian rim. Ali sebenarnya terjumpa rim itu di sebuah kedai potong. Dia pada awalnya tidak tahu pun rim itu sebenarnya ialah buatan Rays, sebelum diberitahu oleh seorang pelanggannya. Spesifikasi rim itu adalah 15 x 8 inci dengan offset yang agak ke dalam. Rim tersebut dipadankan dengan tayar Bridgestone Potenza RE-01 205/50.

Warna luaran Datsun B110 itu merupakan campuran beberapa warna yang menghasilkan kemasan matt. Nama istimewanya ialah Matting Moss Brown yang saya fikir sangat sesuai dengan karekter sebuah kereta lama. Jangan buat warna itu pada Perodua Myvi atau Toyota Vios pula.

Kereta itu memang tidak mempunyai sebarang bodykit. Peralatan asing yang ditambah hanyalah lips depan custom dan pelindung lingkungan roda (wheel arch) yang juga dibuat custom. Kalau di Jepun, kereta-kereta lama yang menyertai perlumbaan time attack/drift memang suka sangatlah dengan modifikasi seperti ini.

Bahagian dalaman memang terbukti bahawa kereta itu pernah digunakan di trek. Lantainya ditampal dengan checkered plate. Manakala papan pemuka disusun dengan meter Defi dan Autometer pada panel buatan custom. Dua buah tempat duduk bucket SPATS yang jarang ditemui dipasang di sana.

Sekarang adalah musim kereta-kereta lama tengah menggila. Bukan sekadar alat ganti, kereta-keretanya juga tidak murah kalau hendak dibeli. Anda tahu berapa harga terkini sebuah Toyota AE86 yang bagus kondisinya? RM40,000 hingga RM50,000 itu standard. Tidak luar biasa langsung. Mengikut ramalan seorang kawan, harga kereta itu boleh mencecah RM100,000 sepuluh tahun lagi. Gila!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: