Saturday, July 14, 2012

Ford Ranger Penanda aras trak pikap kompak



BAGI mereka yang sukakan trak pikap, tidak sah kalau tidak menyebut tentang model Ford Ranger. Sudah berada di pasaran tempatan sejak tahun 1999, ia sudah terjual sebanyak 35,000 unit hingga sekarang.

Ranger sememangnya menjadi bukti utama kepada tagline Built Ford Tough. Jentera itu ternyata tahan lasak dan memuaskan hati. Maka tidak hairanlah Ranger pernah menjadi peneraju pasaran, sebelum ia diambil alih oleh trak pikap keluaran Jepun.

Kini, Ford mahu kembali bangkit menerusi Ranger serba baharu. Kehadiran Ranger ke pasaran tempatan bagaimanapun bukanlah cerita baharu memandangkan pengedarnya, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) sudah pun mengadakan beberapa aktiviti prapelancaran sejak beberapa bulan lalu.

Semua demi membolehkan pengguna di seluruh negara melihat sendiri betapa berbezanya trak pikap itu berbanding generasi sebelumnya. Taktik itu nampak berjaya apabila siri jelajah tersebut mendapat sambutan hangat. Sehingga kini, lebih 850 unit Ranger telah ditempah. Kalau diikutkan, angka itu jauh lebih kecil berbanding tempahan sebanyak 22,000 unit yang diterima Ford untuk pasaran Thailand.

Jika anda membeli Ranger pada hari ini, tempoh menunggu untuk model XLT adalah sekitar tiga bulan. Jika varian Wildtrak pula, anda hanya akan menerima trak itu pada pertengahan tahun hadapan.


RUANG kabin yang dilengkapi pelbagai ciri moden termasuklah Voice Control.


Ford menyifatkan jentera itu sebagai satu penanda aras baharu kerana Ranger menggabungkan kelasakan dan kemampuan sebuah trak pikap dengan teknologi pintar sistem keselamatan terbaik serta penjimatan bahan api. Di samping keselesaan serta kualiti standard tinggi.

Terdapat beberapa spesifikasi yang boleh anda pilih. Trak pikap itu hadir dalam varian Double Cab 4x4 dengan enjin 2.2 liter XLT bertransmisi manual dan automatik. Selain Double Cab 4x4 berenjin 3.2 liter XLT Wildtrak serta empat varian lain.

Semuanya baharu

Nadi Ranger ialah enjin turbo diesel Duratorq TDCi 2.2 liter Variable Geometry (VG) yang dipadankan dengan transmisi atomatik atau manual enam kelajuan. Bagi varian Wildtrak yang lebih berkuasa, ia menggunakan enjin turbo diesel Duratorq TDCi 3.2 liter VG bersama transmisi enam kelajuan automatik.

Enjin turbo diesel Duratorq TDCi 2.2 liter VG berupaya menghasilkan kuasa sehingga 150PS dan tork 375Nm. Ia menawarkan penggunaan bahan api serendah 8.1 untuk setiap 100 kilometer (km). Enjin Wildtrak pula menjana kuasa 200PS dengan tork puncak 470Nm. Biarpun begitu, penggunaan minyaknya masih mendahului kelas menerusi catatan 8.9 liter per 100km.

Harus tahu bahawa semua yang ada pada Ranger adalah baharu. Enjin, kotak gear, kerangka, suspensi, sistem stereng, brek, material besi luaran dan ruang kabinnya tidak meminjam komponen model terdahulu.

Perkara paling jelas yang membezakan Ranger dengan trak pikap lain ialah ciri yang ada di dalam kabinnya. Ranger hadir bersama pelbagai teknologi pintar seperti Bluetooth dengan sambungan Vioce Control, kawalan jelajah, penggilap cermin automatik, sambungan USB, iPod/iPhone, lampu utama automatik (XLT auto dan Wildtrak) serta paparan pelbagai fungsi bersaiz 4.2 inci.


ENJIN turbo diesel Duratorq TDCi bersesaran 2.2 liter yang berkuasa dan menjimatkan.


Pengarah Urusan SDAC, Hazem Abdul Rahman mengakui Ranger adalah penyumbang kepada angka positif jualan kenderaan Ford. Jualannya mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus atau 2,347 unit sejak tahun lalu.

“SDAC dan Ford percaya bahawa segmen trak pikap memang sesuai untuk gaya hidup pengguna Malaysia. Sebab itulah Malaysia menjadi negara terkini daripada 180 pasaran seluruh dunia yang menerima Ranger serba baharu,” kata Hazem.

Komitmen Ford tidak hanya tertumpu kepada produk berkualiti, tetapi ia turut melibatkan aspek perkhidmatan pelanggan. Menjelang akhir tahun 2012, rangkaian pengedar Ford telah ditambah kepada 47 daripada 42 bilik pameran sebelum ini.

Go Further

Sebagaimana yang diketahui, Ranger ialah trak pikap pertama dalam strategi One Ford. One Ford adalah program menyatukan semua kepakaran kejuruteraan Ford ke dalam satu produk untuk pasaran global. Ini juga bermakna Ranger akan dibangunkan di atas satu platform global, sekali gus menggantikan dua platform untuk trak pikap sedia ada.

Direka dan dibangunkan di Australia, Ranger baharu terhasil daripada kepakaran Ford membina trak sejak sekian lama.

Tahukah anda bahawa pada tahun 1936 lagi, Ford sudah menjual lebih tiga juta unit trak? Dimulakan dengan Model N dan kemudiannya Model T, trak binaan Ford terus mengalami revolusi terutama trak pikap F-Series yang diterima baik di seluruh dunia hingga ke hari ini.


DIBANGUNKAN di Australia, Ranger telah menjalani pelbagai ujian bagi memastikan kelasakannya.


“Kami mempunyai harapan besar. Ford yakin Ranger mampu meningkatkan perkongsian pasaran trak pikap di Malaysia kerana trak ini memiliki lebih banyak ciri berbanding para pesaingnya,” kata Pengurus Serantau, Asia Pasifik, Eksport dan Perkembangan Operasi Ford, David Westerman.

Westerman juga mengumumkan pelancaran kempen Ford global di Malaysia yang dikenali sebagai “Go Further”. “Go Further” adalah janji Ford terhadap pelanggan, kakitangan, pengedar dan komunitinya. Ia merangkumi layanan terbaik kepada pelanggan, selain rangkaian perkhidmatan yang boleh diperolehi di pusat pengedaran Ford seluruh negara.

Lebih penting lagi, “Go Further” menjadi refleksi kepada pengenalan jentera-jentera baharu Ford ke pasaran tempatan.

“Bermula pada malam ini dengan Ranger dan Focus serba baharu tidak lama lagi, Ford akan melancarkan enam model menarik dalam tempoh 18 bulan akan datang. Enam model ini akan menampilkan lapan enjin baharu termasuklah enjin Ecoboost dan diesel termaju Ford,” tambah Westerman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: