Wednesday, May 16, 2012

UMP iktiraf penyelidik

UNIVERSITI Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Malam Cendekia Bitara 2012 bagi meraikan tenaga akademiknya yang cemerlang dalam bidang penyelidikan dan penerbitan jurnal dengan mencipta kejayaan di dalam dan luar negara di sebuah hotel terkemuka di sini baru-baru ini.

Penganjuran kali keempat itu bertemakan Metamorfosis, sebagai lambang transformasi UMP sepanjang sedekad penubuhannya dalam mengungguli bidang kejuruteraan, teknologi dan kreativiti untuk meningkatkan taraf pendidikan tinggi di Malaysia.

Majlis itu disempurna oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang merupakan Canselor UMP dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Mohd. Hilmey Mohd. Taib dan Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Pada majlis tersebut, Tengku Abdullah berkenan menyampaikan Anugerah Cendekia Bitara kepada 24 penerima termasuk tiga daripadanya menerima Anugerah Pengajaran Cemerlang.

Anugerah Pengajaran Cemerlang itu diberikan kepada pensyarah yang banyak memberi sumbangan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan kecemerlangan akademik.

Sementara itu, menurut Dr. Daing Nasir, sebanyak 215 projek penyelidikan sedang dijalankan UMP pada 2011 dengan geran RM9.95 juta iaitu meningkat sebanyak 13.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Di UMP, penerbitan artikel dalam jurnal berwasit melonjak sebanyak 26 peratus iaitu daripada 103 kepada 130 penerbitan pada tahun lalu," katanya ketika berucap di majlis tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Rizalman Mamat dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik antara tujuh orang yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Cendekia Bitara bagi kategori produk penyelidikan.

Anak kelahiran Kelantan itu sebelum ini mendapat pingat emas dalam Moscow International Salon of Invention and Innovation Technologies 2011 apabila menghasilkan relau untuk kegunaan industri kecil dan sederhana.

Relau berkenaan yang menggunakan bahan api gas petroleum cecair boleh digunakan untuk industri kraftangan berasaskan tembaga dan perak.

Bagi kategori penerbitan jurnal, Profesor Madya Dr. Zularisam Ab. Wahid dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam turut menerima anugerah yang sama.

Setiap penerima membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM5,000 bagi pengiktirafan antarabangsa serta RM3,000 bagi dalam negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: