Wednesday, May 16, 2012

Kerjasama LTAT, UIAM bina asrama

MOHD. Anwar Mohd. Nor menyerahkan replika cek bernilai RM5 juta kepada Zaleha Kamaruddin sambil disaksikan Dr. Ahmad Zahid Hamidi di kampus UIAM, Gombak, Selangor baru-baru ini.

LEMBAGA Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menandatangani perjanjian untuk membiayai pembinaan asrama bagi menyediakan lebih banyak kediaman kepada mahasiswa universiti itu di samping menjana dana untuk biasiswa kepada pelajar yang memerlukan.

Rektor UIAM, Profesor Datuk Sri Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, peruntukan sebanyak RM5 juta yang didermakan oleh LTAT akan digunakan bagi membina sebuah asrama yang akan disewakan.

Hasil sewaan terkumpul setiap tahun akan dijadikan biasiswa yang dinamakan LTAT Ummatic Scholarship.

"Seramai 50 mahasiswa miskin UIAM akan dipilih menerima biasiswa ini berdasarkan prestasi dan kemampuan pemohon terbabit.

"Mahasiswa yang dibantu ini adalah mereka yang belajar di UIAM dari serata dunia Islam atau masyarakat minoriti Islam di luar negara termasuk anak tempatan Malaysia sendiri," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian itu di Gombak, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr, Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi LTAT, Laksamana Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.

Setiap blok bangunan asrama itu mempunyai bangunan empat tingkat dan setiap tingkat mempunyai empat bilik dengan empat unit individu.

Keseluruhan bilik individu yang ada bagi setiap blok ialah 64 unit dengan kadar sewa RM600 sebulan.

Setiap bilik mempunyai kemudahan dua bilik mandi, satu set dan ruang memasak dan satu ruang rehat.

Projek pembinaan yang ditaja LTAT akan bermula secepat mungkin dan mengikut perancangan projek berkenaan akan siap menjelang Ogos 2013.

Sementara itu, Dr. Ahmad Zahid memuji langkah UIAM dan LTAT kerana melaksanakan satu projek penyediaan kemudahan asrama mahasiswa melalui pendekatan waqaf yang inovatif.

"Saya kira ini adalah projek pertama di dunia dan di Malaysia apabila penyumbang tampil bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam usaha membangunkan kemudahan asrama kepada mahasiswa dan daripada hasilnya dapat pula diwujudkan satu tabung biasiswa berterusan (perpetual) kepada mahasiswa," katanya.

Berdasarkan rekod UIAM, jumlah keseluruhan mahasiswanya sekarang sudah mencecah 30,000 yang meliputi seluruh lima kampus miliknya.

Bagi Kampus utama di Gombak, UIAM mempunyai lebih kurang 20,000 mahasiswa yang mengambil kursus di peringkat sarjana muda dan sarjana. Daripada jumlah tersebut, seramai 14,600 menginap di asrama.

Setakat ini UIAM menawarkan empat blok untuk dibiayai penaja dan kini dua daripadanya dibiayai LTAT.

Manakala satu lagi blok dibina dan ditaja Ahli Majlis Tertinggi Pemerintah Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Humaid Rashid Al-Nuaimi bernilai RM5 juta dan kerja pembinaannya sudah bermula sejak sebulan lalu.

UIAM masih menawarkan dua blok lagi untuk ditaja mana-mana individu atau syarikat korporat yang prihatin terhadap perjuangan membangunkan pendidikan ummah di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: