Wednesday, May 16, 2012

Dunia jam Julianna

Red Army Watches yang mengedar lebih 10 jenama jam antarabangsa menjadi kebanggaan Julianna Aloresa Chai (kanan).

TIDAK pernah menyangka, apa yang menjadi kegemaran selama ini rupa-rupa mampu memberi pulangan lumayan kepada diri sendiri.

Apa yang dikecapi hari ini juga sebenarnya di luar jangkaan kerana menurut ibu kepada seorang cahaya mata ini, penglibatannya di dalam dunia perniagaan adalah bersandarkan kepada minat semata-mata tanpa mempunyai pengalaman yang secukupnya.

Tetapi ternyata, wanita berusia 34 tahun ini berhati waja dan cekal kerana cukup berani untuk menghadapi rintangan dan cabaran walaupun sedar risiko yang bakal menanti.

Ternyata percaturannya tidak sia-sia apabila hari ini namanya tergolong sebagai salah seorang wanita yang berjaya.

Menyandang jawatan sebagai Pengarah Urusan Red Army Watches Malaysia pada usia muda, Julianna Aloresa Chai dengan penuh yakin memikul tanggungjawab yang 'dibebankan' di bahunya hari ini dengan harapan akan melakukan yang terbaik buat dirinya.

Yang pasti, walaupun seharian di pejabat, Julianna tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu kepada seorang anak lelaki yang kini berusia lima tahun, Sean Haley Kusumadi.

Malah, pemegang ijazah dalam bidang perniagaan ini seronok melayari kehidupan harian di samping tugas dan orang tersayang.

Melihat keyakinan diri yang ditampilkan di samping memiliki personaliti yang menarik, ternyata Julianna tidak salah memilih dunia perniagaan sebagai mata pencariannya.

Dilihat juga sebagai seorang wanita kental, dia sememangnya berani menyahut cabaran apabila 'terjun' ke dalam bidang perniagaan tanpa sebarang pengalaman dan cuma bersandarkan apa yang dipelajarinya ketika di universiti.

Begitupun, semua itu tidak menjadi masalah malah Julianna sendiri sanggup mempelajari dan mendalami selok belok dunia perniagaan bermula daripada bawah.

"Terus terang saya katakan, saya tidak mempunyai sebarang pengalaman khusus dalam bidang perniagaan apatah lagi bidang jam.

"Walaupun pernah membantu ibu mengendalikan perniagaan runcit tetapi ia berbeza dengan perniagaan yang dikendalikan hari ini.

"Untuk itu apabila saya membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan, saya bermula daripada kosong walaupun saya merupakan pemegang ijazah dalam bidang perniagaan kerana apa yang dipelajari sebenarnya tidak sama apabila dilakukan secara praktikal," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaanya yang terletak di pusat membeli belah One Utama, Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Berbicara lanjut mengenai perniagaan yang diusahakannya bersama rakan kongsi yang lain, jelas Julianna, segala-galanya bermula apabila dia diberikan sebuah jam antik oleh mendiang datuknya.

Hendak dijadikan cerita, jam tersebut rosak dan saat itulah Julianna terfikir untuk memperbaikinya dan dalam masa yang sama dia belajar mengenai selok belok mengenai jam daripada jam tinggalan datuknya itu.

Ditambah pula Julianna gemar melancong dan ia memberi peluang kepada dirinya untuk melihat sendiri pelbagai jenis jenama jam serta reka bentuk yang terdapat di setiap negara yang dikunjunginya.

Bagaimanapun, dia yang berpengalaman selama lima tahun dalam bidang khidmat pelanggan di Asia Barat tidak terburu-buru membuka kedai malah mengambil masa untuk mencari pengalaman agar segalanya berjalan lancar.

Maka tidak hairanlah sekiranya hari ini Red Army Watches bukan sahaja mengedarkan lebih daripada 10 jenama antarabangsa malah turut mempunyai sembilan cawangan di Asia Tenggara dengan empat di Singapura, dua di Jakarta dan tiga lagi di Malaysia (Kuala Lumpur).

Apa yang lebih membanggakan, anak kelahiran Kuala Lumpur ini tidak menjadikan kejayaannya sebagai titik noktah. malah dia bersama rakan kongsinya mempunyai perancangan yang besar di mana setiap tahun mereka pasti akan membuka sebuah cawangan. Untuk tahun ini mereka dijangka membuka sebuah lagi cawangan Red Army Watches di Indonesia.

Ketika ditanya apakah yang membezakan kedai jamnya dengan kedai-kedai jam yang lain, ulas Julianna, Red Army Watches menawarkan pelbagai jenis jam daripada jenama antarabangsa.

Bukan itu sahaja malah jika dilihat daripada warna serta reka bentuknya juga agak berlainan jika hendak dibandingkan dengan jam tangan yang lain dan sekali gus menjadikan Red Army Watches sebuah kedai jam yang amat berbeza daripada kedai-kedai jam lain.

Begitupun, jelas Julianna, menyandang jawatan sebagai Pengarah Urusan sebenarnya bukanlah satu jawatan yang mudah malah dirinya sebagai seorang wanita sering diperhati dan dipertikaikan akan kebolehan untuk mengendalikan perniagaan.

Bagaimanapun hari ini Julianna gembira kerana perniagaanya bukan sahaja berkembang dan maju malah dia juga berjaya membuktikan kebolehan kaum wanita tidak boleh dipandang enteng.

Apa pun, Julianna menegaskan kejayaannya hari ini adalah berkat sokongan padu daripada keluarga tersayang terutama suaminya, Soemantri Kusumadi.

Yang pasti, Julianna menyatakan perjalanannya masih jauh dan banyak lagi yang perlu dipelajari malah menjadikan setiap hari waktu belajar untuk memperbaiki diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: