Monday, May 14, 2012

Tugasan akhir penuh penghayatan

Dinie Fitri Ridzwan dan pasangannya, Nurhafizah Mohd Noor membentangkan logo kumpulan mereka.

Meluahkan perasaan cinta pada insan yang disayangi di hadapan khalayak ramai sesuatu yang jarang dilakukan tetapi itulah pengalaman yang perlu dilalui oleh 10 pasangan finalis Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia Musim Ke-3.

Meminggirkan rasa malu, setiap pasangan berusaha setulus hati meluahkan perasaan sayang pada pasangan masing-masing dengan disaksikan berpuluh pasang mata lain.

Biarpun bukan sebahagian daripada tugasan khas sebaliknya acara spontan yang diberikan oleh penganjur, ia disahut dengan begitu sporting oleh para peserta.

Sesi tugasan akhir 10 pasangan finalis yang berlangsung pada hujung minggu lalu sememangnya padat dengan program-program ilmu dan amal.

Selain ceramah undang-undang dan rumah tangga, sebelah siangnya dipenuhi dengan program kunjungan amal ke dua rumah kebajikan iaitu Rumah Kanak-Kanak Tunku Budriah dan rumah orang-orang tua Rumah Seri Kenangan Cheras.

Di Rumah Kanak-kanak Tunku Budriah setiap pasangan diberi dua 'orang angkat' di mana mereka dikehendaki melakukan aktiviti bersama sepanjang berada di situ.

Selain beramah mesra, para peserta turut melakukan gotong-royong membersihkan kawasan rumah tersebut.

Ini diikuti sesi pembentukan kumpulan, mereka dikehendaki mencipta nama dan logo kumpulan serta bercerita mengenai tempat percutian impian 'keluarga' masing-masing.

Sebelah petangnya peserta dibawa melawat warga emas di Rumah Seri Kenangan, Cheras, Kajang, Selangor, untuk beramah mesra dengan 'ibu dan ayah' angkat yang terdiri daripada penghuni warga emas di situ.

Biarpun hanya beberapa jam berkenalan, kemesraan nyata begitu cepat terjalin antara anak dan ibu bapa angkat sehinggakan ramai yang menitiskan air mata tatkala saat perpisahan menjelma dengan iringan lagu Ayah dan Ibu secara beramai-ramai.

Herul Azrul Shafi, 28 dan pasangannya Nurul Hanim Abdul Malek, 28, mengakui banyak pengalaman baru tercipta sepanjang sehari mengikuti aktiviti di rumah kanak-kanak dan rumah warga emas.

"Di rumah kanak-kanak kami teruji kerana kanak-kanak di sini terdiri daripada mereka yang kurang perhatian dan kasih sayang selain latar belakang yang berbeza.

"Kami cuba mencari keserasian dan tunjukkan kasih sayang kepada mereka melalui aktiviti yang dilakukan. Lagipun kami tiada masalah untuk mengawal mereka kerana sudah biasa dengan kerenah anak buah masing-masing," kata Herul Azrul.

Jelasnya, sama ada kanak-kanak mahupun warga emas apa yang penting semua akan berasa gembira apabila mendapat perhatian dan kasih sayang walaupun bukan daripada keluarga sendiri.

Sementara itu bagi, Mohd Firdaus Mohd Fauzi, 27, dan pasangannya Nor Syafiqah Syahirah Mohamed, 25, pengalaman melakukan aktiviti bersama kanak-kanak dan warga emas memberi banyak ilmu kepada mereka.

"Kanak-kanak di sini datang dari pelbagai latar belakang keluarga yang berbeza.

"Sedikit cabaran kepada kami untuk memahami dan memenangi hati mereka pada peringkat awal.

"Tetapi kesungguhan dan perhatian kami berikan kepada mereka berjaya membuat mereka rasa selesa dan timbul perasaan ingin lebih bermesra dan bersembang bersama.

"Seperti melakukan aktiviti berkumpulan kami lebih utamakan pendapat dan keinginan mereka supaya mereka rasa lebih dihargai," kata Mohd Firdaus.

Tambah mereka, ilmu yang diperolehi seperti melakukan aktiviti bersama kanak-kanak adalah gambaran sebenar yang akan dilalui apabila berkahwin dan mempunyai anak kelak.

Selain itu, ketika bersama warga emas terdetik rasa simpati dan kasihan dengan dugaan hidup yang terpaksa mereka tempuhi di usia sebegitu.

Bagi Dinie Fitri Ridzwan, 26, dan pasangannya Nurhafizah Mohd Noor, 24 mengakui kenangan meluahkan perasaan di khalayak ramai buat pertama kali akan sentiasa diingati oleh mereka berdua.

Ujar mereka berdua, walaupun pelbagai cabaran dan rintangan terpaksa dilaluinya semasa mengendalikan warga emas dan kanak-kanak di rumah kebajikan merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

"Berinteraksi dengan warga emas agak mencabar kerana mereka kurang pendengaran dan perlu bertutur secara jelas dan sopan supaya tidak berkecil hati," kata Nurhafizah.

Tambah,sepanjang aktiviti yang dijalankan, banyak ilmu yang diperoleh dan boleh digunakan untuk menempuhi alam rumah tangga nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: