Monday, May 14, 2012

Tip meraikan ibu Chef Zairul

CHEF Zairul Effendi menunjukkan sebahagian daripada hidangan 1Malaysia yang ditawarkan Hotel Swiss-Garden & Residences Kuala Lumpur sempena meraikan sambutan Hari Ibu tahun ini.

Sama ada anda meraikan hari tersebut dengan menghantar kad ucapan, bunga atau lebih terperinci dengan membeli hadiah, ibu pastinya cukup gembira biarpun sekadar menerima ucapan 'Selamat Hari Ibu' melalui panggilan telefon.

Bagaimanapun, agak sukar untuk mencari perkataan yang sesuai untuk menggembirakan ibu anda lebih-lebih lagi buat mereka yang pendiam.

Oleh itu, bagi mereka yang berpeluang meraikan hari tersebut, apa kata anda mencuba tip yang diberikan oleh Chef De Cuisine, Zairul Effendi Mohd. Nor, 38.

Ketika S3 bertemu dengannya di T@ste6, Chef Zairul sempat berkongsi pendapatnya mengenai sambutan Hari Ibu tanpa bunga, kad dan hadiah yang memerlukan belanja yang mahal.

Bagi Chef Zairul, kaedah terbaik untuk meluahkan rasa kasih dan sayang anda kepada ibu boleh disampaikan dengan mudah melalui masakan.

Walaupun kebanyakan keluarga meraikan hari istimewa ini dengan membawa ibu mereka keluar untuk jamuan makan malam, namun hidangan di rumah membolehkan anda membalas kasih sayang ibu yang pernah menyediakan ribuan juadah dari anda kecil hingga dewasa.

Bagi merancang hidangan sempurna, anak-anak terlebih dahulu perlu mengetahui jenis makanan kegemaran ibu anda.

"Contohnya, adakah ibu anda suka makan makanan laut, daging atau sayur-sayuran dan hidangan apa yang sesuai dihidangkan kepada ibu anda," katanya.

Beliau berkata, walaupun anak-anak sekadar menyediakan hidangan ringkas, menu yang dimasak penuh kasih sayang pasti menyelerakan seisi keluarga ketika menikmati hidangan tersebut.

Ditambah dengan suasana gembira, pastinya jamuan bersama ibu tersayang akan memberikan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Berasal dari Ipoh, Perak Darul Ridzuan, Chef Zairul bersyukur mempunyai ibu yang gigih membesarkannya tanpa lelah, hanya demi anak-anaknya yang tercinta.

Insan yang dimaksudkan ialah Maimum Adnan, 58.

Katanya, air tangan ibu merupakan ubat paling mujarab tetapi apabila anak-anak hendak menyediakan masakan untuk ibu pastinya agak sukar.

"Saya juga berhadapan dengan masalah ini tetapi bagi pendapat saya resipi seperti Sea Bass with Lemon and Caper amat sesuai dihidangkan kepada ibu.

"Resipi ini dihasilkan berdasarkan makanan kegemaran ibu saya yang suka makan sesuatu yang ringkas seperti nasi dengan ikan.

"Hidangan seperti ini enak dimakan malah ia juga membolehkan anak-anak menjaga kesihatan ibu mereka kerana hidangan ini menggunakan kaedah panggang yang tidak berminyak," jelasnya.

Chef Zairul berkata, sambutan hari tersebut dilihat sebagai hari terbaik buat anak-anak meluahkan perasaan sayang kepada para ibu.

"Saya rasa Hari Ibu merupakan hari yang amat istimewa dan terkedu juga kalau tidak berpeluang menyambut hari ini.

"Sempena Hari Ibu 2012, saya berharap agar ibu-ibu di negara ini sentiasa menjaga kesihatan dan berada dalam keadaan sihat sejahtera.

"Jaga makan minum untuk mendapatkan kesihatan yang baik dan kalau boleh jangan amalkan makan makanan yang berminyak dan berlemak.

"Saya percaya ramai ibu-ibu telah gantikan makanan mereka daripada makanan segera ke makanan organik yang lebih sihat," ujarnya.

Tambahnya, makanan terbaik untuk para ibu ialah amalkan makanan berulam dan sayur-sayuran hijau untuk merendahkan kandungan kolestrol dalam badan.

Kesempatan yang ada, Gaya Chef mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu di Malaysia.

Semoga mereka diberkati dan lebih tabah dalam mengharungi onak duri kehidupan mendidik anak-anak ke jalan yang benar dan diredhai-Nya.

Manakala kepada anak-anak pula, ingatlah jasa seorang ibu dan sentiasa mendoakannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: