Shiqin Kamal belum mengalah
Shiqin Kamal

NAMA Shiqin Kamal mungkin masih asing kedengaran dalam industri seni tempatan. Namun, pemilik nama sebenar Nur Ashiqin Mohd Kamal tidak menjadikan alasan itu untuk dia berputus asa.

Bagaimanapun, jika dilihat wajahnya, pasti penonton terkenang kembali watak ‘Ayu’ yang menggantikan lakonan Lisa Surihani yang turut memegang watak sama selepas Ayu mengalami kemalangan menerusi filem Lagenda Budak Setan yang ditayangkan pada 2010 lalu.

Walaupun penampilan pertamanya dalam industri lakonan menerusi filem itu kurang mendapat perhatian umum, gadis berusia 21 tahun ini tidak pernah berputus asa meneruskan minatnya dalam lakonan.

“Sejak awal penglibatan dalam bidang lakonan, saya tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk terus diterima penonton.

“Tetapi saya akui pernah kecewa dengan respons negatif yang diberikan penonton terhadap lakonan saya setelah filem Lagenda Budak Setan ditayangkan,” katanya.

Bagaimanapun, gadis pan-asia ini masih bersyukur kerana keluarga dan teman rapat tidak pernah putus-putus memberi sokongan moral kepadanya hingga dia kembali bersemangat untuk meneruskan bidang itu.

“Apa pun, saya bersyukur kerana walaupun wajah dan nama saya belum dikenali penonton, rezeki dalam bidang lakonan tidak pernah menghampakan saya.

“Dengan peluang yang ada, saya akan buktikan kemampuan dan bakat lakonan yang ada dan mengharapkan ianya dapat diterima penonton,” ujarnya.

Utamakan pelajaran demi masa depan

Walaupun sibuk mengejar minat dalam bidang lakonan, anak jati Kuala Lumpur ini tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar yang masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Sarjana Muda Sains Aktuari.

“Pelajaran adalah keutamaan bagi saya. Ini adalah janji dan tanggungjawab yang perlu saya penuhi untuk merealisasikan impian kedua ibu bapa saya.

“Selain ingin berjaya dalam bidang lakonan, saya juga mahukan kecemerlangan dalam pelajaran supaya memiliki masa hadapan yang lebih cerah,” katanya.

Komitmen yang tinggi dalam pengajiannya yang akan tamat pada tahun hadapan membuatkan pelakon remaja ini terpaksa berkorban untuk membataskan aktiviti lakonan supaya jadual pelajarannya tidak terganggu.

“Saya hanya akan menerima tawaran lakonan ketika berada pada cuti semester. Walaupun agak keberatan menolak tawaran yang tidak sesuai dengan jadual, saya terpaksa melakukannya demi kebaikan pengajian saya.

“Lagi pun, pengajian saya bakal tamat pada tahun hadapan dan Insya-Allah selepas itu, saya akan menjalankan aktiviti lakonan dengan lebih serius,” katanya.

Sebagai seorang pelakon yang masih hijau dalam industri, pastinya dalam kalangan mereka menyimpan hasrat untuk melakonkan watak idaman, begitu juga dengan pelakon cantik manis ini yang mahu mencabar dirinya untuk melakukan aksi lasak.

“Saya amat meminati dan mengagumi kebolehan pelakon antarabangsa, Angelina Jolie ketika melakonkan watak aksi dan jika diberi peluang, saya mahu jadi sepertinya.

“Selain mencabar diri sendiri, watak seperti itu juga dapat memperbaiki bakat saya sebagai seorang pelakon yang lebih versatil,” katanya.

Heroin Mantera

Dalam pada itu, Shiqin mengakui begitu teruja dengan penampilan terbarunya menerusi filem, Mantera terbitan FlareStudio yang turut dibintangi penyanyi terkenal, Tomok.

Menerajui watak utama sebagai Deena, Shiqin yakin filem yang bakal ditayangkan pada 17 Mei ini menjanjikan kepuasan buat penonton yang mahukan kelainan dengan jalan cerita yang lebih menarik.

“Saya pegang watak sebagai Deena, di mana dia merupakan seorang pelajar jurusan robotik dan pada masa yang sama, mempunyai rasa cinta terhadap rakan sekelasnya, Azman yang dilakonkan oleh Tomok.

“Selain menampilkan aksi dan pertempuran, filem ini juga ada menyelitkan babak percintaan antara Deena dan Azman dan bagi saya ia pasti dapat memberi kepuasan kepada penonton,” katanya.