Monday, May 7, 2012

Perkim dekati masyarakat Thai

DR. Ismail Ibrahim (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta terbaik, Latiffa Abdullah (dua dari kiri).

Bagi meningkatkan kefahaman ilmu agama dan mempraktikkan ajaran Islam kepada masyarakat berketurunan Thai, di samping mengeratkan silaturahim antara mereka, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Perkim Bahagian Negeri Kelantan menganjurkan Program Komuniti Masyarakat Thai di Kelantan 2012 bertempat di PCB Resort, Kota Bharu pada 12 hingga 14 April alu.

Seramai 70 orang Saudara Muslim berketurunan Thai dari Pattani, Kota Bharu, Tanah Merah, Rantau Panjang, Pengkalan Kubur dan Dungun telah menyertainya.

Penyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, masyarakat Thai yang beragama Islam majoritinya berasal dari Selatan Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla berhijrah ke Malaysia untuk melakukan urusan ekonomi seperti perniagaan barangan, pakaian dan makanan.

"Secara tidak langsung ia menambahkan penduduk umat Islam di Malaysia kerana ada antara mereka yang menetap dan berkahwin dengan rakyat di sini serta mempunyai anak bagi menyambung generasi pewaris mereka dalam mengamalkan Islam sebagai cara hidup," katanya.

Jelasnya, program itu membina satu generasi Islam dengan menghayati dan melaksanakan segala perintah agama dalam kehidupan serta menyebarkan luaskan syiar Islam bagi tujuan seruan dakwah.

Muhammad Farhan yang juga Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim berkata, program itu dilihat sebagai platform merapatkan ukhuwah Islamiah di kalangan peserta, di samping bertukar-tukar perkongsian dan pengalaman di antara mereka.

"Perkim mengambil inisiatif untuk melaksanakan program seperti itu dengan tujuan mendedahkan kepada mereka perkara berkaitan dengan asas fardu ain merangkumi aspek kehidupan yang berlandaskan syariat Islam secara menyeluruh dengan penggunaan bahasa ibunda mereka," jelas Farhan.

Peserta pada hari itu telah dibahagikan kepada lima kumpulan yang diketuai oleh pemudah cara di kalangan bangsa Thai bagi kemudahan peserta.

Penggunaan bahasa Thai juga bertujuan agar peserta-peserta lebih menumpukan modul program dan aktiviti yang dijalankan, sekali gus salah satu cara untuk lebih mendekati serta membina kefahaman di antara peserta.

Antara pemudah cara yang terlibat ialah Abdul Rahman Abdul Manaf dari Balai Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Siti Fatimah Ladda Abdullah dari Perkim Kebangsaan dan Faizah No Abdullah dari Balai Islam JAHEAIK.

Slot latihan dalam kumpulan bertajuk Rukun Islam dan Rukun Iman menyentuh perkara asas agar mereka memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan dalam diri melalui rukun tersebut.

Tajuk Bersuci (Taharah) merupakan member kefahaman dan praktikal mengenai perkara asas bersuci, wuduk, istinjak, mandi hadas dan tayamum. Ini kerana aspek kebersihan merupakan sebahagian daripada iman. Penerangan mengenai jenis dan bahagian air turut diberikan.

Perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT di alam kubur dan akhirat adalah ibadah solat juga diajar kepada peserta.

Menerusi slot itu, para peserta diberi penekanan secara teori dan amali 13 rukun solat agar mereka menikmati kemanisan, meningkatkan taqarrub dan kekhusyukan dalam menunaikan solat semata-mata kerana Allah SWT. Peserta juga diberi kefahaman mengenai pengertian bacaan dalam solat, solat sunat dan pergerakan solat yang betul. Turut dibincangkan ialah topik lengkap berkaitan ibadat puasa.

Pada program itu juga turut diadakan kuliah selepas solat bertajuk Gejala Murtad dan Kesannya, Ilmu dan Amal serta Kepentingan Tauhid Dalam Mengenal Allah.

Kongsi pengalaman

Siapakah Aku Sebenarnya pula menjadi tajuk forum mini yang dipengerusikan oleh Nordin Abdullah manakala ahli panelnya terdiri daripada Pensyarah Universiti Islam Yala, Ahmah Al-Fatiri dan Osman Rajniyom dari Universiti Prince of Songkla.

Bagi mencungkil bakat, kebolehan dan kefahaman peserta, turut diadakan kuiz Islam dan tilawah al-Quran.

Majlis itu ditutup oleh Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Prof. Datuk Dr. Ismail Ibrahim.

Dr. Ismail dalam ucapannya berkata, meminta para peserta agar tidak mudah berputus asa dan selalu menjadikan kisah Nabi dan Rasul sebagai pengajaran dan pedoman.

"Walaupun kita sudah Islam, namun perlu diingat ibu bapa kita tetap sama dan kekalkanlah hubungan yang baik dan tunjukkanlah akhlak yang terpuji kepada mereka," jelasnya.

Ujarnya lagi, umat Islam seharusnya mempamerkan akhlak dan contoh yang terbaik kepada masyarakat bukan Islam.

Dalam pada itu, Latiffa Abdullah merangkul hadiah peserta terbaik program.

Sementara Nurul Fatihah Abdullah muncul johan pertandingan tilawah al-Quran. Pertandingan kuiz Islam pula dimenangi oleh Khairul Ihsan Abdullah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: