MENERUSI ayat ini Allah menyuruh umat manusia saling membantu dalam mengerjakan kebaikan dan kebajikan. Allah melarang kita untuk saling menolong dalam melakukan perbuatan dosa.
Lantas baru-baru ini, bagi menghidupkan kembali aktiviti gotong-royong yang semakin pudar dalam budaya masyarakat Malaysia, satu usaha kemanusiaan telah dianjurkan oleh Islamic Aid Malaysia (IAM) yang dikenali Program Amal Sinar Di Bawah Bayu'.
Ini merupakan kerjasama kemanusiaan antara IAM dengan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) serta Zellwafa Holidays Sdn. Bhd.
Program yang bertemakan Kembara Muslim itu telah memilih Kundasang, Sabah sebagai lokasi program. Melalui program istimewa ini seramai 80 orang pendengar setia IKIMfm dari Semenanjung turut serta.
Di samping itu, ia juga melibatkan para penyampai IKIMfm untuk sama-sama turun padang bagi beramah mesra bersama penduduk kampung yang kurang berkemampuan.
Program tiga hari dua malam itu diisi dengan pelbagai program berbentuk ilmiah bagi menambah pengetahuan dan meningkatkan sahsiah diri serta pengisian kerohanian yang melibatkan penyertaan orang ramai seperti tazkirah dan ceramah.
Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, misi bantuan itu membuktikan keprihatinan semua pihak yang terlibat akan keperluan masyarakat tempatan.
Walau di mana sahaja insan yang kurang kemampuan berada, pihaknya akan berusaha membantu mengurangkan beban kesengsaraan yang ditanggung mereka.
Jelasnya, ini terbukti dengan sumbangan bantuan berbentuk barangan.
Malah pihaknya juga turut meraikan para penerima manfaat dengan masakan istimewa daripada Chef Kebajikan IAM iaitu Chef Yang Jamil bagi membuat demonstrasi masakan serta memasak untuk mereka.
"Saya berharap agar rakyat Malaysia yang prihatin dapat memberi perhatian terhadap nasib mereka yang memerlukan ini, terutamanya sekali kepada masyarakat di luar bandar dan yang berada jauh di kawasan pedalaman.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih saya kepada Chef Yang Jamil kerana kesudian beliau untuk turut serta dalam program amal IAM ini.
"Penghargaan terima kasih juga turut dirakamkan buat rakan penganjur iaitu Radio IKIMfm serta Zeelwafa Holidays Sdn.Bhd," tambah Zawahir.
Gotong-royong
Uniknya, program itu turut membabitkan aktiviti gotong-royong bersama dengan masyarakat setempat melibatkan pembersihan kawasan kampung.
Selain itu, turut diadakan aktiviti memasak oleh Yang Jamil yang memang dinanti-nantikan para hadirin.
Pada hari itu, Yang Jamil telah memasak untuk 800 orang yang melibatkan penduduk di sekitar Kundasang dan juga para sukarelawan.
Sebelum bermulanya acara masak-memasak itu, Yang Jamil dan pihak IAM telah membeli sendiri bahan-bahan mentah yang segar di pasar berdekatan.
Pihak penganjurnya turut memastikan peralatan memasak juga mencukupi bagi memudahkan proses penyediaan makanan.
Urusan ini menjadi lebih mudah apabila mendapat kerjasama daripada penduduk setempat terutama sekali daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHAEINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan daripada Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Kundasang yang sekali gus melancarkan program tersebut.
Yang Jamil terpaksa menyediakan masakan untuk 800 orang dalam masa empat jam.
Pun begitu, kerja menjadi mudah apabila setiap pihak memberikan kerjasama dalam menyempurnakan tugasan masing-masing.
Aktiviti gotong-royong bermula pukul 8.30 pagi, dimulai dengan taklimat ringkas, sesi pembahagian tugas, aktiviti membersih ayam, memotong bawang, memotong sayur, penyediaan rempah, membasuh beras dan sebagainya.
Suasana gotong-royong menjadi lebih meriah apabila Yang Jamil turut berkongsi tip masakan bersama dengan para sukarelawan dan juga masyarakat setempat sambil menghiburkan mereka dengan aksi yang mencuit hati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: