Sunday, May 20, 2012

Percaturan Adenan menjadi

MESRA...sentiasa memastikan kakitangan penuh motivasi.
MESRA...sentiasa memastikan kakitangan penuh motivasi.

SUNGGUH membanggakan apabila dua daripada empat anaknya iaitu Arian Syah Wira, 39, dan Arian Syazwara, 33, menjadi juruterbang berpangkat kapten dalam Penerbangan Malaysia (MAS).

Seorang lagi anak, iaitu Arian Syahizwan, 26, menyandang tugas sebagai juruterbang tetapi di syarikat penerbangan berbeza iaitu Air Asia. Manakala Arian Syazwari memilih kerjaya berbeza sebagai pengurus di sebuah organisasi ternama di ibu kota.

  • Foto

    TURUN PADANG...memantau kerja dilakukan terhadap penghantaran produk.

  • Foto

    ADENAN...disiplin penting dalam kerjaya, perniagaan sebagai pemangkin kehidupan.

  • Foto

    BAHAGIA...keluarga bahagia yang menjadi pendorong kejayaan Adenan.

  • Foto

    SANTAI...percutian indah bersama sebahagian ahli lembaga pengarah syarikat dan pengedar produk di Tembok Besar China pada 2011.

Menurut Leftenan Jeneral (B) Datuk Adenan Mohamad Zain, dia tidak pernah menaiki pesawat MAS atau Air Asia yang dikendalikan ketiga-tiga anak lelakinya.
Bukan tidak bangga, tetapi dia mempunyai alasan tersendiri dan tidak mahu memberikan tekanan kepada mereka.Hanya isterinya, Datin Hasnah Abd Rahman pernah menaiki pesawat dipandu anak mereka dan tidak dinafikan terbit rasa bangga di hati.

Kini, sebagai Pengerusi Gamat Emas Sdn Bhd (GESB), Adenan dan isteri bangga kerana berjaya mendidik keempat-empat anak lelaki melanjutkan pelajaran ke menara gading serta memiliki kerjaya menarik dalam bidang masing-masing.

Katanya, dia tidak pernah memberi syarat kepada anak supaya mengikut acuan dalam memilih kerjaya, namun kebanyakan mereka menunjukkan minat mendalam untuk menceburi kerjaya di bidang penerbangan.

“Saya tidak tahu mengapa anak teruja untuk bergelar juruterbang sedangkan pada awalnya, masing-masing meminati bidang ketenteraan dan pernah memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD) tetapi akhirnya bertukar bidang.

“Kami sebagai ibu bapa hanya menunjuk arah dan melakukan tanggungjawab terbaik buat mereka dan selebihnya anak membuat keputusan sendiri.

“Tidak dinafikan kos bagi mempelajari bidang itu memang tinggi dan menelan belanja ratusan ribu. Sebagai kakitangan kerajaan, saya bukan daripada keturunan kaya raya tetapi demi memenuhi impian anak, kami berkorban harta benda,” katanya.

Sesudah melihat kejayaan anak dan memasuki fasa bersara sambil berniaga, dia mengakui sering membawa keluarga ke pulau peranginan tertentu untuk meluangkan masa santai seperti memancing bersama anak.

Adenan juga berkata, hasil pembabitannya selama 38 tahun dalam angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula dari bawah hingga menjawat tugas terakhir sebagai Leftenan Jeneral, dia dikenali sebagai insan tegas serta berdisiplin.

Sebagai pegawai tentera yang dibekalkan dengan ilmu disiplin tinggi, dia tidak menafikan keadaan itu terbawa-bawa ke rumah, terutama dalam soal mendidik anak, apatah lagi semua zuriatnya lelaki.

Menurutnya, dia sering melakukan lawatan mengejut ke bilik anak untuk memantau aktiviti mereka di samping meninjau kebersihan bilik atau melihat kerja rumah, sama ada mengikut aturan ditetapkan atau sebaliknya.

“Pada saya, setiap perkara dilakukan mesti ada disiplin. Isteri pernah menegur kerana katanya, cukuplah di pejabat saya bertegas kepada orang bawahan. Kalau di rumah, biarlah tugas itu terpikul di bahu isteri. Tegurannya membuatkan saya terdiam seketika kerana ada kebenarannya.

“Sebenarnya, saya bertuah kerana tulang belakang penting saya iaitu isteri sentiasa melakukan urusan ‘domestik’, termasuk mengurus anak dan pelajaran mereka dengan penuh tanggungjawab. Begitu juga urusan rumah tangga, bil elektrik, air, perbankan dan lain-lain dilakukannya dengan tersusun.

“Pengalaman menyambung sarjana selama dua tahun di luar negara, isteri melakukan semua perkara dengan lancar hinggakan anak mencapai kejayaan cemerlang. Saya tidak menafikan, kejayaan anak berkat kasih sayang dan bimbingan isteri, membuatkan mereka rapat dengannya,” katanya.

Beliau mengatakan, kenangan sepanjang bergelar anggota tentera adalah sikapnya yang sering membawa penyapu di tangan bagi memastikan setiap anggota sentiasa berkemas dan bilik diselia serapi mungkin.

Padanya, prinsip yang jadi pegangan sebagai pegawai bukan bermakna seseorang itu hanya duduk ‘menjaga kerusi’, sebaliknya sentiasa turun padang bagi memastikan segala dirancang berjalan lancar dan negara sentiasa dalam keadaan aman.

Ternyata selepas pencen pada 2004 dan setahun kemudian menceburi perniagaan, disiplin tetap jadi keutamaan kerana tanpa nilai itu dia tidak mungkin berada dalam kedudukan sekarang.

Ketika memilih perniagaan Gamat Emas Sdn Bhd (GESB) dan menjadikan hidupan laut itu untuk dilonjakkan, bukan matlamat untuk meraih untung semata-mata tetapi ada sesuatu yang ingin dicapai.

Adenan berkata, visinya ialah memartabatkan gamat sebagai khazanah tradisional dan produk kesihatan untuk kegunaan sekeluarga selain menjadikan perniagaan milik Bumiputera itu kebanggaan masyarakat seluruhnya. Dia mengakui, kejayaan dalam perniagaan itu disebabkan disiplin tinggi yang menjadi elemen terpenting untuk menjana usahawan berjaya menerusi gaya kepemimpinan dari peringkat atasan hingga kepada pengedar dan ahli biasa.

Ditanya mengapa memilih gamat sebagai asas perniagaan, dia yakin haiwan yang terkenal lebih 300 tahun itu dan spesies terbaik di perairan negara memberi kekuatan untuk menjananya.

“Bayangkan, 49 daripada 2000 spesies yang menjalani kajian pakar di universiti tempatan didapati berkualiti, lalu kami mengambil gamat berbentuk kekuningan seperti emas untuk dimanfaatkan. Terbukti percaturan menjadi kerana daripada 20,000 ahli (2004) kini hampir mencecah 100,000 hingga akhir tahun. Ini menunjukkan kualitinya mendapat penarafan amalan pengilangan terbaik (GMP) selain diiktiraf oleh Institut Penyelidikan dan Perindustrian Malaysia (Sirim) serta diperakui Jakim.

“Yang membanggakan, pada 2009 syarikat memperoleh lesen terus untuk jangka masa lima tahun dalam MLM sebagai produk terbaik dan pengurusan berdaya maju, kami menubuhkan Akademi GESB. Menerusi GESB, fungsinya melatih lebih ramai usahawan digembleng dengan ilmu bantu, diberi tunjuk ajar serta latihan oleh mereka yang terlatih di bidang berkaitan dan perniagaan berjaya ditingkatkan,” katanya.

Bagi memastikan perniagaan terus berkembang, syarikat itu melakar kejayaan apabila Gamat Emas International (GEI) ditubuhkan dan ia bertanggungjawab terhadap urus niaga di luar negara. Sehingga kini, GEI melangkau ke Brunei, Singapura, United Kingdom dan Indonesia.



Bawa bisnes gamat ke tahap global

Apakah prinsip anda?

Apa saja yang dilakukan mesti ada disiplin!


Waktu berkualiti bagi anda?

Bersama keluarga, kami sering beriadah bersama. Selebihnya, saya habiskan masa bermain golf dengan rakan perniagaan.


Apakah yang dilakukan apabila dalam tekanan?

Ingat Allah, berserta doa kemudian tarik nafas seketika dan dengan sendiri dapat membuat keputusan terbaik dan menghapus kekusutan.


Terjemahkan erti kepuasan bagi anda?

Sepanjang bergelar Leftenan Jeneral dalam ATM, menyumbang bakti buat negara tercinta dan melalui waktu persaraan sungguh memuaskan hati.


Bagaimana mempraktikkan disiplin tentera ke dalam keluarga?

Saya tegas, terutama waktu solat, saya akan ingatkan mereka. Walau berkahwin, saya sering mengingatkan supaya mereka tidak lalai.


Apakah matlamat dalam perniagaan gamat?

Membawa gamat ke tahap global supaya ia dikenali hingga ke pelosok dunia.


>Profil

NAMA: Leftenan Jeneral (B) Datuk Adenan Mohamad Zain
JAWATAN: Pengerusi Gamat Emas Sdn Bhd (GESB)
TARIKH LAHIR: 10 November 1948
ASAL: Bandar Baru, Kedah
ISTERI: Datin Hasnah Abd Rahman
ANAK: Arian Syah Wira (39), Arian Syazwari dan kembar, Arian Syazwara (33) serta Arian Syahizwan (26)
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana (MA) Hubungan Antarabangsa, University Of Kent, Canterbury, United Kingdom dan Sarjana (MSc) Universiti Madras serta Diploma Kolej Turus Perkhidmatan Pertahanan (PSC), Wellington.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: