Sunday, May 20, 2012

Seronok daki jambatan Sydney

MENARIK...Opera House dan Jambatan Besi yang menjadi ikon bandar Sydney.
MENARIK...Opera House dan Jambatan Besi yang menjadi ikon bandar Sydney.

SEBAIK bas memasuki pusat bandar Sydney, Australia, perkara pertama terlintas di hati penulis adalah, bandar ini sungguh bersih dan tersusun. Di celah-celah bangunan moden dan pencakar langit, terselit pula beberapa bangunan lama yang dibina menggunakan blok batu-pasir berwarna coklat.

Bas terus menyusur Jalan George yang lurus menuju ke destinasi seterusnya, Hotel Holiday Inn di Sydney lama (Old Sydney) atau juga dikenali sebagai The Rock.

  • Foto

    IKON...Sydney Opera House

  • Foto

    COMEL...koala yang tidur lebih 20 jam sehari antara tarikan di Zoo Taronga.

  • Foto

    KENANGAN...penulis di Flat Rock.

  • Foto

    CERIA...gembira setelah berjaya mendaki hingga ke puncak jambatan besi Sydney.

  • Foto

    TRADISIONAL...persembahan kaum Asli di Katoomba.

  • Foto

    TUMPUAN...Market City antara pusat beli-belah terkenal di Sydney.

  • Foto

    MURAH...antara kedai kecil di dalam Paddy’s Market.

  • Foto

    TERUJA...Staton dan Fatboy miliknya.

Kami disambut mesra wakil Destinasi New South Wales, Marina Albert untuk mempromosikan Sydney sebagai bandar pelancongan di benua itu.

Bukan saja hotelnya mewah, kedudukannya sungguh strategik untuk pengunjung yang kali pertama ke bandar ini seperti penulis.Apa tidaknya, sebaik melangkah keluar, melintas jalan raya dan menyusur jalan kecil, pandangan kami disapa ikon terkenal bandar ini - Sydney Opera House yang termasuk dalam senarai Tapak Warisan Dunia.


Mungkin ramai sudah ke Sydney tetapi tidak benar-benar memanfaatkan apa ditawarkan bandar ini. Untuk mereka yang mencari kelainan, apa kata cuba mendaki jambatan Sydney hingga ke puncak?

Jambatan besi Sydney mempunyai ketinggian 134 meter dari aras laut. Penulis memang teruja apabila diberitahu kami akan mendaki jambatan Sydney berusia 80 tahun itu kerana sudah menjangka pemandangan indah dari puncak jambatan yang saujana mata memandang.

Sebelum mendaki, setiap peserta diwajibkan menjalani ujian pernafasan dan menggunakan pakaian seperti ‘overall’. Kami juga diajar cara menggunakan abah-abah keselamatan yang disambungkan kepada tali besi di sepanjang tangga pendakian.

Kami melalui jalan yang diguna pekerja di bawah jambatan. Ada bahagiannya yang sempit dan memerlukan kami melangkah, tunduk atau berjalan sedikit mengiring.

Pendakian tidak mengambil masa panjang dan tidak juga terlalu sukar untuk yang kali pertama mendaki. Namun mereka yang tidak gemar tempat tinggi atau gayat mungkin terasa sedikit ‘seram’, apatah lagi dapat merasai gegaran tiap kali kereta api melalui jambatan itu.

Namun begitu, tetap terselit rasa puas apabila berada di puncak jambatan. Dan sekali lagi ikon Sydney Opera House menyapa pandangan dengan sesekali feri bergerak membawa penumpang ke destinasi.

Turun saja dari jambatan besi, kami dibawa ke Waterfront Restaurant di Circular Quay West untuk menikmati makan tengah hari. Hidangan kali ini adalah makanan laut seperti sotong, udang, udang karang dan tiram tempatan yang dikenali sebagai Rock Oyster yang lebih manis rasanya.

Satu lagi tarikan istimewa di Sydney adalah zoonya. Taronga Zoo mempunyai keluasan 21 hektar dan terletak di Bradley’s Head, Mosman. Untuk ke sini, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan feri dari Sydney Wharf terus ke jeti zoo.

Taronga Zoo menempatkan haiwan asli Australia seperti beberapa spesies kangaru, koala, wombat, wallaby dan emu, malah haiwan yang aktif waktu malam, platypus, turut dipamerkan di sini. Taronga Zoo mempunyai lebih 2,600 haiwan daripada pelbagai spesies, menjadikan ia antara zoo terbesar di dunia.

Bagi yang sukakan sukan laut boleh ke Manly, destinasi tepi pantai yang sangat popular, terletak 17 kilometer dari bandar Sydney.

Perjalanan ke Manly sudah diatur. Kami tidak dibawa menaiki bas atau feri, sebaliknya setiap seorang daripada kami menjadi pembonceng kumpulan Blue Thunder Downunder Harley Tours.

Ia pengalaman yang mengujakan, apatah lagi enjin motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson umpama guruh memecahkan kesunyian pagi di kawasan perumahan yang dilalui menghala ke Manly.

Memandangkan penulis sudah lebih 10 tahun tidak menunggang motosikal, apatah lagi pengalaman yang ada hanya sebagai pembonceng motosikal biasa, bertambah seronok kerana dapat menaiki Fatboy milik Peter Staton.

Staton yang mempunyai sebuah kedai barangan antik di Blue Mountains secara seloroh berkata, usah ditanya berapa usianya, tetapi mendedahkan dia sudah lebih 40 tahun menunggang motosikal Harley Davidson.

Bagi mereka yang tidak gemar berjemur, berenang atau meluncur ombak, boleh saja mengunjungi deretan kedai kecil di pekan itu.

Bagi yang berani pula mungkin boleh mencuba masakan istimewa chef Australia, iaitu hidangan daging kanggaru atau buaya, selain tiram Rock yang terkenal.

Tidak sah rasanya ke Sydney jika tidak menonton persembahan kesenian di Opera House. Kami bernasib baik kerana berpeluang menonton persembahan opera terkenal ‘La Traviata’ di panggung terbuka yang menghadap Jambatan Sydney.

Mengadakan persembahan di pentas terbuka memberi makna baru untuk kata-kata ‘dunia ini adalah pentas’ kerana persembahan La Traviata memberi kelebihan kepada produksi opera kerana bukan setakat setiap inci pentas digunakan untuk membuat persembahan, malah laut boleh digunakan sebagai prop persembahan.

Bagi yang tidak gemarkan bandar besar, mungkin pengembaraan di Blue Mountains lebih menyeronokkan. Blue Mountains menawarkan aktiviti luar seperti berkhemah atau untuk yang lebih bersemangat kembara, mungkin boleh ambil masa untuk aktiviti ‘hiking’.

Penulis terpegun dengan sikap warga Australia dan Sydney khususnya. Mereka benar-benar mengambil berat mengenai persekitaran. Walaupun jauh di hutan, mereka tetap berdisiplin menjaga kebersihan. Bukan itu saja, longgokan kayu api turut disediakan supaya pengunjung tidak memotong pokok sesuka hati.

Perjalanan yang diuruskan oleh Australian Wild Escapes diteruskan ke Flat Rock di mana bongkah batu leper menjadi tempat strategik untuk menikmati pemandangan ngarai yang luas.

Bagi yang lebih bersemangat kembara lagi, boleh ke Scenic World, pusat riadah untuk penggemar pengembaraan luar. Paling menarik di sini adalah kereta api funikular yang pada asalnya kereta api yang digunakan pelombong arang batu.

Ia seperti menaiki roller coaster tetapi dengan masa lebih singkat. Walaupun dalam kedudukan 50 darjah, anda terasa seperti menuruni cerun 90 darjah.

Kereta api itu berakhir di sebuah pelantar kayu untuk pengunjung sekali lagi menikmati pemandangan di ngarai besar terutama The Three Sisters, yang menurut legenda kaum Asli, tiga beradik iaitu Meehni, Wimlah dan Goonnedoo disumpah menjadi tiga bongkah batu besar.

Banyak aktiviti luar boleh dibuat di Blue Mountains seperti hiking ke kawasan air terjun atau menyaksikan persembahan Orang Asli di Katoomba, dan suasananya lebih nyaman berbanding di Sydney.

Untuk mencari makanan halal juga tidak sukar di Sydney kerana penduduknya berbilang kaum dan bangsa. Malah, makanan Malaysia seperti roti canai dan laksa mudah didapati.

Malah, 360 Bar and Dining di Sydney Tower turut menyediakan pelbagai pelbagai jenis makanan sesuai dengan selera pelancong Asia dan Barat dan menyajikan ayam dan daging halal untuk pelanggan beragama Islam. Chef memastikan hidangan halal ini menggunakan kelengkapan memasak khas.

Chinatown adalah tempat paling mudah untuk mencari makanan Asia. Ada dua restoran terletak berdekatan antara satu sama lain yang menyediakan makanan Malaysia, cuma anda perlu bersabar untuk beratur panjang, terutama pada waktu makan tengah hari.

Ada juga medan selera di tingkat tiga bangunan Market City menyediakan pelbagai jenis makanan dan dengan harga antara A$7-A$10 (RM21.80-RM31.12), anda boleh mendapat semangkuk besar mi atau laksa yang boleh membuatkan anda kenyang hingga malam.

Di sini juga terletaknya Paddy’s Market, di mana pelancong boleh mendapatkan cenderahati dengan harga lebih murah berbanding kedai lain di sekitar Harbour atau Jalan George.

Bandar Sydney menawarkan banyak aktiviti untuk pelancong yang mempunyai minat berbeza. Suasana bandarnya yang bertenaga dengan reka bentuk bangunan moden dan lama, sesuai untuk mereka yang berjiwa ‘bandar’.

Bagi yang sukakan kegiatan air, naik saja feri ke Manly untuk belajar meluncur ombak atau jika anda gemarkan aktiviti perkhemahan, boleh saja ke Blue Mountains yang sejam perjalanan dari bandar Sydney.

Yang penting, anda rancang perjalanan dengan baik supaya dapat menikmati aktiviti yang anda mahukan ketika bercuti di Sydney dengan selesa dan menyeronokkan.

Apatah lagi AirAsia X, syarikat penerbangan tambang murah, kini menawarkan penerbangan terus dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney dapat membantu anda menjimatkan kos perjalanan dan menambah bajet untuk melakukan aktiviti yang anda gemar di Sydney.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: