Monday, May 21, 2012

Penampilan lebih klasik


BAJU-T polos bersama skirt sendat bermotifkan kulit harimau bintang menghasilkan penampilan sensual.


WANITA moden hari ini tidak lagi terikat kepada peraturan pemakaian yang terhad. Sebaliknya, mereka bebas mencorakkan penampilan mengikut keselesaan dan gaya berdasarkan personaliti diri.

Siapa kata kita perlu mengikut trend terkini sahaja? Usah bimbang dengan penilaian khalayak terhadap fesyen yang anda bawa kerana ia tidak bermakna anda melakukan kesilapan. Yakinlah dengan diri sendiri dan terjemahkannya menerusi kepelbagaian dalam berpakaian.

Penerapan elemen gaya sejak zaman dahulu mampu memberi inspirasi yang hebat. Populariti fesyen vintaj wajar digunakan sebaiknya oleh wanita yang mahukan perubahan.

MaudeKL antara butik yang menawarkan koleksi pakaian berinspirasikan vintaj. Taruhan warna-warna asas khususnya hitam dan putih menjadikan deretan skirt pendek, dres dan blaus di butik itu ringkas, tetapi elegan.


PAKAIAN vintaj tidak terhad pada potongan ketat sahaja.


Tiga koleksi utama MaudeKL terdiri daripada hand-picked, preloved dan rekaan eksklusif oleh pereka muda, Harith Jasni. Hand-picked menawarkan pakaian klasik yang didatangkan dari Thailand dan Indonesia.

Teknik potongan

Koleksi preloved juga tidak kurang hebatnya yang kebanyakannya disumbangkan oleh rakan-rakan pemilik butik tersebut. Sekiranya anda mahukan rekaan yang dicipta mengikut saiz tertentu, pilihlah hasil kerja Harith yang pasti tidak mengecewakan.

“Ramai orang beranggapan vintaj merupakan satu trend sedangkan ia hanya elemen yang kita aplikasikan dalam konteks fesyen moden. Ia merupakan pinjaman dari zaman dahulu dan digunakan semula bagi memberi kelainan gaya.


PAKAIAN vintaj perlu dipadankan dengan aksesori moden agar tidak kelihatan terlalu ketinggalan zaman.


“Ilham vintaj pada pakaian di sini menekankan pada teknik potongan dan mainan warna. Fabrik yang kami utamakan pula ialah kapas kerana ia ringan, mudah dipakai dan bertepatan dengan cuaca tempatan,” jelas pemilik bersama butik tersebut, Diyana Rose.

Walaupun fokus disasarkan kepada remaja yang berumur dari 15 sehingga wanita dalam lingkungan 40 tahun, persalinan di MaudeKL sebenarnya tidak dibatasi usia seseorang. Bermula dari harga RM100 hingga RM600, wanita berpeluang mengubah penampilan menjadi lebih klasik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: