Monday, May 21, 2012

Aura positif bunga


PRODUK Immortelle L'occitane menggunakan sejenis bunga tidak mudah layu yang diambil dari Corsica, Perancis dan bunga daisy putih sebagai bahan asas.


Bunga sering dikaitkan dengan kecantikan wajah dan tubuh dalam kalangan masyarakat Melayu. Difahamkan sebelum hadirnya himpunan produk kosmetik di pasaran tempatan, masyarakat Melayu lebih cenderung menjaga kecantikan diri dengan bunga-bungaan.

Mereka menyifatkan bunga-bungaan membantu mewangikan badan, menaik seri wajah dan mengembalikan aura positif seseorang. Selain itu bunga juga dipercayai mampu meningkatkan kecerdasan minda, mengurangkan tekanan perasaan dan menyuntik emosi ceria.

Lazimnya, bunga ros merah, cempaka, kenanga, harum sundal malam, kekwa dan bunga raya kerap menjadi pilihan sewaktu melakukan amalan kecantikan seperti mandi bunga, mencuci rambut dan membersihkan wajah.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Rutgers, Universiti New Jersey, Amerika Syarikat (AS), orang ramai pada hari ini bukan saja terdedah pada persekitaran yang kotor malah mudah tertekan dek tugasan harian yang padat.

Para penyelidik mendapati, salah satu cara untuk menghilangkan kepenatan dan meredakan stres adalah dengan menggunakan bunga. Selain menabur kelopak bunga ros merah di dalam tab mandi bersama titisan aroma terapi, meletakkan jambangan bunga hidup di ruang tamu mahupun di sudut kamar dapat membantu melegakan tekanan.

Amalan merendam kaki di dalam bekas berisi air suam dan taburan bunga turut membantu memberi ketenangan kepada pengamalnya.

"Kajian saintifik juga menunjukkan bunga-bungaan yang terdiri daripada pelbagai jenis, warna dan bau merangsang emosi ceria. Bahkan, mereka yang sentiasa dikelilingi dengan bunga lebih sihat, gembira dan tenang," jelas Profesor Psikologi, Jeannette Haviland-Jones di Rutgers, Universiti New Jersey.

Sehubungan itu, menyedari keistimewaan yang diperoleh daripada bunga, jenama kecantikan L'occitane melancarkan produk terbaharu berasaskan bunga immortelle.

Produk penjagaan wajah

Selepas menjalani penyelidikan intensif selama 11 tahun, L'occitane menemui immortelle iaitu sejenis bunga tidak mudah layu yang diambil dari Corsica, Perancis dan bunga daisy putih (bellis peennis) yang sensitif pada cahaya.


BUNGA yang disematkan pada sanggul mampu menaikkan seri seseorang wanita.


Kedua-dua bunga berkenaan digabungkan dalam menghasilkan produk pencerahan koleksi Immortelle Brightening.

Produk yang terdiri daripada serum, krim pelembap, penyegar, krim pelindung sinaran ultra ungu dan losen tangan itu bertindak menghilangkan bintik hitam, mengurangkan kedutan dan mencerahkan kulit wajah.

Brightening Essence L'occitane misalnya merupakan serum pekat yang membantu mengatasi masalah pigmentasi agar wajah berseri dan awet muda. Sementara itu, Brightening Moisture Cream L'occitane yang bertekstur gel krim berfungsi untuk meratakan warna dan mencerahkan kulit wajah.

Produk Immortelle L'occitane yang sudah berada di pasaran pada 12 Mei lalu dijual pada harga antara RM102 hingga RM218.

Sematan bunga

Sementara itu, peranan bunga bukan saja ideal untuk produk kecantikan malah ia boleh digunakan sebagai penyeri rambut.

Bagi wanita yang ingin kelihatan manis dan anggun, boleh menggunakan beberapa kuntum bunga ros, bunga raya ataupun bunga kekwa hidup untuk disematkan pada lilitan sanggul di kepala.


SUATU ketika dahulu masyarakat Melayu gemar menjaga kecantikan diri dengan bunga-bungaan.


Jika inginkan gambaran yang lebih jelas, tiru saja cara yang dipraktikkan oleh pelakon jelita, Rozita Che Wan, sewaktu majlis pelancaran produk Safi Rania Gold.

Solekan kelopak bunga

Kepada wanita yang sukar untuk memilih warna pembayang mata ataupun warna gincu, barangkali warna-warna bunga dapat membantu. Antaranya warna ungu (bunga orkid), merah (bunga ros merah) atau kuning (bunga matahari). Secara tidak langsung konsep solekan warna bunga menyuntik rias wajah yang ceria.

Dres motif flora

Dalam pada itu, salah satu tip untuk tampil ceria dan funky adalah dengan menyarungkan pakaian motif flora yang berwarna-warni. Namun apabila menggayakan busana bunga pastikan anda memadankan ia bersama sepatu, aksesori atau beg tangan polos. Ini bagi mengelakkan penampilan tampak sarat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: