Monday, May 21, 2012

15 finalis MWHF beradu nasib



SERAMAI 15 finalis Miss World Harvest Festival (MWHF) 2012 muncul di khalayak ramai pada program sidang akhbar dan konsert mini di Kompleks Kubah Ria, Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Kemunculan istimewa 15 jelitawan itu adalah untuk memperkenalkan diri sebagai finalis yang bersaing pada peringkat akhir di Kampung Budaya Sarawak pada 26 Mei ini.

Kejelitaan mereka turut diserlahkan lagi dengan rekaan-rekaan fesyen daripada Busana Keringkam Jingga Bridal yang ternyata menarik dan moden.

Terdahulu, 15 finalis yang memakai baju-T dan seluar jean sebagai persembahan pembuka tirai telah disambut dengan tepukan meriah daripada orang ramai yang hadir pada malam pengenalan gadis-gadis jelita itu.

Pertandingan MWHF 2012 merupakan acara yang dianjurkan Kampung Budaya Sarawak sejak 12 tahun lalu sempena sambutan perayaan Hari Gawai Dayak yang disambut pada 1 Jun setiap tahun di Bumi Kenyalang.

Tajaan utama

Acara ini mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kementerian Pelancongan Negeri Sarawak, Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Selain itu, MWHF 2012 turut mendapat tajaan utama daripada One Drop Perfumes selain rakan penaja yang lain seperti SEGI College, Lea Holdings (M) Sdn. Bhd., Celcom, 360 Urban Resort Hotel, The Collective, Eyesight Optic, Keringkam Jingga Bridal, Nestle, Red Bull, Kuching Waterfront, Sarawak Plaza, Riverside Majestic Hotel, Grand Margherita Hotel and Damai Beach Resort Hotel.


Salah seorang daripada 15 gadis ini bakal dinobatkan sebagai Miss World Harvest Festival 2012 pada 26 Mei ini.


Kosmo!, akhbar kompak paling pantas berkembang di Malaysia terbitan Kumpulan Utusan menjadi rakan media rasmi kepada acara MWHF itu.

Sementara itu, acara pada malam itu dimeriahkan dengan konsert mini yang diadakan di Centre Court, Kompleks Kubah Ria yang bermula pada pukul 8 malam.

Menteri Muda Pelancongan negeri merangkap Pengerusi SEDC, Datuk Talib Zulpilip hadir pada sidang akhbar program World Harvest Festival (WHF) 2012 sekali gus memperkenalkan kesemua finalis tersebut.

Antara finalis yang bertanding ialah Rebekah Livan Balan, 23; Corry Anak Philip, 21; Gracia Vicky Chua, 18; Helina Sarani Anak Saba, 24; Kara Karissa Simon, 23; Rachel Frankie, 22; Angelica De Rozario, 24; Diana Anak Kedeny, 21; Alfira Asmila Asmi, 20; Magrina Awing George, 19; Stephanie Yiap Ai Nee, 20; Prescilla Anak Mark, 22; Farahana Zita Anak Joes, 21; Dayang Haizum Abang Kerni, 24; dan Annie Anak Salang, 19.

Pada acara tersebut, One Drop Perfumes selaku penaja utama turut menyerahkan penajaan melalui wakilnya kepada Pengurus Pengiklanan Utusan Media Sales, Stella Abdullah.

Hampir 300 penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri konsert mini yang dianjurkan di Waterfront Zon B Kompleks Kubah Ria.

Konsert mini itu turut mempersembahkan kumpulan muzik Kaban Ka’au’ diikuti teater Pengembaraan Keling dan Kumang yang mengisahkan seorang wira menemui cinta sejatinya (Kumang) selepas menempuh pelbagai halangan.

Bagi memeriahkan acara tersebut, orang ramai turut dihiburkan dengan tarian kebudayaan etnik Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Melanau. Tidak ketinggalan kemunculan juara Soulstar 2011, penampilan istimewa Ironman WHF 2012 dan muzik Rainforest.

Seorang finalis, Helina Sarani Saba, 24, memberitahu, pembabitan dalam pertandingan MWHF 2012 kerana mahu menimba pengalaman, pengetahuan, pendedahan dan membina keyakinan diri untuk berdepan dengan khalayak ramai.


TEATER Pengembaraan Keling dan Kumang mengisahkan bagaimana seorang wira menemui cinta sejatinya selepas menempuhbanyakhalangan.


Kata gadis keturunan Iban itu, acara anjuran Kampung Budaya Sarawak itu turut menguji kebijaksanaan para peserta dan mengasah bakat mereka.

“Menyertai program itu secara tidak langsung meningkatkan keyakinan dan keberanian diri saya untuk berinteraksi dengan orang ramai,” katanya ketika ditemui.

Promosi kaum Iban

Kata Helina, ia bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah acara seperti ini menjadi platform untuk mempromosikan masyarakat kaum Iban di pentas dunia.

Helina yang berasal dari Bintulu, Sarawak memberitahu, program ini juga membantu seseorang bersikap positif dan berdisiplin memandangkan ia adalah nilai-nilai yang digariskan sebelum seseorang itu diangkat sebagai MWHF 2012.

“Menyertai MWHF 2012 ini satu kebanggaan kepada saya kerana saya mendapat galakan dan dorongan daripada rakan-rakan serta ibu bapa untuk menyertainya,” kata Helina.

Pandangan Helina turut dipersetujui oleh pelajar Universiti Teknologi Swirbune, Kuching, Sarawak Stephanie Yiap Ai Nee, 20. Menurut Stephanie, dia mempelajari banyak perkara baharu termasuk bertukar-tukar fikiran dengan para peserta yang lain.

Gadis kacukan Cina, Bidayuh, Filipina dan Jepun itu berkata, menyertai program tersebut membolehkan beliau mempelajari dan mengetahui budaya pelbagai kaum di Sarawak.

“Banyak perkara yang boleh dipelajari menerusi program ini seperti mendisiplinkan diri, bergaul dan berkomunikasi dengan baik,” katanya.


PESERTA Miss World Harvest Festival 2012 memperagakan pakaian tradisional masyarakat Sarawak.


Sama seperti peserta yang lain, Magrina Awing George, 19, juga mengakui penyertaannya dalam pertandingan tersebut kerana mahukan pendedahan dan meningkatkan keyakinan diri.

Dia yang sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengakui meminati bidang penyiaran dan kewartawanan.

“Menerusi program ini saya mahu mengasah bakat, meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi dengan baik.

“Saya berharap program ini menjadi batu loncatan kepada saya maju ke hadapan untuk mencapai impian menjadi seorang penyampai berita atau terbabit dalam bidang pengarahan penyiaran pada satu hari nanti,’’ ujarnya.

Seorang lagi finalis, Alfira Asmila Asmi, 20, memberitahu, penyertaannya dalam pertandingan tersebut untuk menimba pengalaman.

Mengakui kali pertama menyertai pertandingan seumpama itu, setiap tahun dia mengikuti penganjuran program MWHF 2012 hinggalah terdetik perasaan untuk menyertai pertandingan tersebut.

“Penyertaan dalam pertandingan ini turut mendapat sokongan dan galakan daripada keluarga dan saya berharap dapat melakukan terbaik,” kata pelajar Kolej SEGi, Kuching, Sarawak itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: