Monday, May 7, 2012

Fesyen hubungkan dua negara

FABRIK polos dipadankan dengan kain bercorak geometrik.

FESYEN juga boleh berperanan untuk menghubungkan dua budaya bangsa dan negara yang berbeza.

Buktinya menerusi penghasilan busana dan koleksi untuk ke majlis rasmi yang diperagakan pada majlis minum sepetang bersama Mitra Seni Indonesia, telah dapat mengeratkan lagi hubungan sedia ada antara dua buah negara, Malaysia dan Indonesia.

Ia dianjurkan bersempena dengan Program Pertukaran Budaya Malaysia dan Indonesia serta bagi meraikan 112 ahli rombongan Mitra Seni Indonesia.

Pada peragaan yang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, baru-baru ini, sebanyak 120 peragaan busana muslimah dan koleksi ke majlis rasmi daripada usahawan kraf kedua-dua buah negara. Ternyata busana yang diperagakan memperlihatkan kreativiti dari segi ilham fesyen masing-masing.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Mitra Seni, Nana Irawan, program pertukaran budaya antara Malaysia dan Indonesia seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada serta memudahkan pelaksanaan aktiviti antara dua negara.

"Selain mengeratkan hubungan dua hala ini, program ini juga menjadi medium untuk mengetengahkan penggunaan kraf tekstil di kalangan orang ramai.

''Menerusi program ini juga, ia dapat menambah pengetahuan tentang kebudayaan seni Malaysia, sekali gus berkongsi pandangan mengenai seni kraftangan antara Malaysia dan Indonesia," katanya.

Sementara itu, Pereka Kraftangan Malaysia, Radziah Md. Yusoff berkata, seiring dengan peredaran arus fesyen sekarang, penggunaan tekstil seperti batik, tenun dan songket bukan sahaja sesuai digayakan dengan baju kurung tetapi boleh dipelbagaikan mengikut cita rasa generasi kini.

"Menariknya, tekstil seperti songket, tenun dan batik sentiasa up-to-date. Tekstil ini juga sesuai untuk bangsa asing dengan menggayakan koleksi batik, tenun dan songket melalui pelbagai rekaan dan corak yang bersesuaian dengan budaya mereka untuk ke majlis-majlis tertentu.

"Pada majlis ini, sebanyak 16 koleksi busana kontemporari klasik dari Kraftangan Malaysia yang menampilkan pakaian formal lelaki dan wanita daripada tekstil batik, tenun diraja Pahang dan songket dipertontonkan," katanya.

Selain itu, kata Radziah, gabungan warna terang dan pastel dengan motif-motif geometrik dan flora serta penggunaan kain polos seperti sifon, satin dan sutera Thai diperindahkan lagi dengan sulaman batu permata serta manik dan sekuin menaikkan lagi seri motif batik serta menyerlahkan lagi gaya rekaan.

"Rekaan dan gaya kali ini lebih kepada muslimah dan sesuai dibawa ke majlis minum petang, bersantai dan pakaian malam mahupun Malam Karpet Merah.

"Di samping itu, melalui program pertukaran budaya antara dua hala ini, ia turut membantu memberi nafas baru dan ilham kepada industri tekstil khususnya dan juga memberi galakan kepada usahawan untuk menceburi industri batik, tenun dan songket," katanya.

Program seperti ini katanya, turut membantu Kraftangan Malaysia dalam mengetengahkan tekstil tempatan ke peringkat yang lebih global dan meluas.

Jelasnya, program ini merupakan salah satu cara untuk mempromosi tekstil tempatan dengan mengadakan peragaan dan secara tidak langsung menggalakkan bangsa asing untuk menggunakan tekstil tempatan.

Pada majlis berkenaan, peragaan pada sesi pertama melibatkan 42 koleksi fesyen daripada Barakaff diilhamkan oleh Sharifah Maheran, Oma daripada Sherry Sidek, koleksi Azizi pula daripada Mohd. Azizi Hassan dan Seri Kapas koleksi daripada Fadhilah Abdul Hamid.

Manakala sesi kedua peragaan fesyen menghimpunkan 30 koleksi iaitu daripada Jarumas hasil kerja kreativiti Noraini Mohd. Sharif, Molec merupakan hasil daripada Sitty Chadijah dan hasil seni Kraftangan Malaysia.

Pada sesi ketiga menampilkan peragaan fesyen daripada Mitra Seni Indonesia yang menghimpunkan sebanyak 48 koleksi dengan pelbagai rekaan dan corak yang menarik serta sesuai untuk pelbagai peringkat umur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: