PEMERINTAH Beijing, China mengumumkan rancangan untuk membina semula beberapa pintu gerbang tembok besar kota diraja lama yang musnah atau hilang di bandar itu. Tindakan tersebut merupakan cara tradisi pemuliharaan di China iaitu dengan meroboh suatu binaan dan meletakkan replika sebagai ganti.
Malah, pihak berkuasa Beijing berjanji untuk memulihkan semula rupa asal arca monumen dinasti Ming dan Qing di dinding tembok tersebut yang musnah pada 1950-an. Monumen tersebut berdepan dengan kemusnahan kerana dihimpit pembangunan selepas berada di tengah-tengah di antara lingkaran jalan raya dan landasan kereta api.
Ia satu jaminan yang longgar. Landskap boleh berubah, walaupun China sangat cemerlang dalam menghasilkan barang tiruan sejak berabad lalu. Akibatnya masyarakat Beijing telah berbaris untuk bergerak menentang projek yang dilihat sebagai antikuiti palsu.
Istilah qianmenisation
Satu contoh penting di daerah Qianmen, di selatan Kota Larangan. Kota itu dimusnahkan semasa pengubahsuaian besar-besaran dilakukan oleh pihak berkuasa sebelum sukan Olimpik 2008.
Kota itu kemudian dibina sebagai taman tema bersejarah yang lengkap dengan binaan iklan lampu neon untuk penjenamaan antarabangsa.
Sejak itulah, amalan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan bahan sejarah dan membina semula replika bangunan sejarah tersebut digelar 'qianmenisation'.
"Ia merupakan satu amalan jahil, bodoh dan tamak.
"Jahil kerana mereka tidak tahu maksud sebenar warisan budaya, bodoh kerana mereka tidak faham peranan kota lama itu terhadap masyarakat dan tamak kerana amalan rasuah dalam melakukan pembinaan tersebut," kata Pengasas Pusat Perlindungan Warisan Budaya Beijing, He Shuzhong.
Ketika ini Menara Gendang Purba Beijing dan kawasan Nanluoguxiang telah menjadi mangsa jentolak 'qianmenisation' sehingga berada dalam keadaan nazak.
Lebih menyedihkan ada binaan warisan lain yang telah diubahsuai menjadi set penggambaran.
Pengusiran penduduk kota lama
Bagi Hua Xinmin yang merupakan aktivis dan penulis buku, dia menolak antikuiti palsu kerana enggan melihat China hilang identiti satu hari nanti.
Dia dan aktivis lain sedang mempertahankan China daripada diratah oleh pemaju dan pegawai tentera Komunis yang memperkayakan diri mereka dengan memusnahkan kawasan kejiranan lama.
Tindakan mereka secara terang-terang melanggar undang-undang dan melakukan kekerasan dengan mengusir penduduk serta memberi pampasan yang rendah.
"Ia adalah lebih baik untuk berbelanja bagi memulihara bahan sejarah yang masih tinggal daripada membina binaan yang tidak wujud lagi," katanya sambil menunjukkan bahawa dua pertiga daripada 3,000 penduduk di kawasan kota lama di Beijing telah hilang kediaman.
Dia juga marah terhadap majalah US Weekly Time yang memasukkan Chen Lihua, seorang jutawan hartanah yang memusnahkan kawasan kejiranan Beijing dalam senarai orang yang paling berpengaruh di dunia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: