Thursday, May 10, 2012

Mesej positif dalam buku animasi

walaupun mendapat saingan hebat daripada media baru, PBAKL 2012 yang berlangsung di PWTC, baru-baru ini tetap mendapat sambutan hebat daripada semua lapisan masyarakat.

Ragam & pengajaran

BUKU animasi atau komik sering kali disalah anggap sebagai bahan bacaan yang kurang berfaedah dan sia-sia.

Malah, terdapat sebahagian daripada masyarakat yang menganggap ia perosak minda dan peribadi pembaca kerana kononnya penuh dengan elemen negatif seperti keganasan, seks dan sebagainya.

Tetapi realitinya buku animasi termasuk dari luar memang menjadi kegilaan remaja dan kanak-kanak.

Malah bukan semua buku dan majalah dalam kategori itu mempunyai unsur nagatif.

Persepsi sedemikian perlu diubah dalam minda ibu bapa. Ini kerana tinjauan Mega, Utusan Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012, yang baru berlalu mendapati buku animasi kartun seperti komik telah menjadi fenomena pengeluar buku untuk menyampaikan mesej positif kepada golongan kanak-kanak.

Ternyata kaedah itu berkesan apabila buku komik dan animasi semakin popular dalam kalangan kanak-kanak dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ibu bapa.

Banyak syarikat penerbitan pula mula berlumba-lumba mengambil peluang untuk menerbitkan komik sebagai bahan bacaan sampingan dan pengganti kepada buku rujukan tambahan di sekolah.

Pengerusi Eksekutif Ameen Books, Che Mazlan Saad berkata, selain memupuk minat kanak-kanak membaca, buku berunsur animasi juga mampu membina minda kritis dan kreatif kepada golongan sasar.

"Seperti kita tahu, pada usia kanak-kanak, golongan ini sangat sukakan sesuatu yang cantik dan ringkas, seperti lukisan bergambar, berwarna-warni dan tidak terlalu padat dengan tulisan.

"Jadi, apa salahnya kita mengambil pendekatan yang menarik perhatian mereka ini dengan menerbitkan buku dan bahan bacaan yang mampu merangsang tumbesaran minda kanak-kanak.

"Secara tidak langsung, melalui kaedah ini dapat memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, mesej yang disampaikan dengan cara animasi kreatif ini mampu menjana pemikiran kanak-kanak agar lebih kritis dan kreatif," katanya.

Mazlan berkata, melihat kepada keberkesanan daripada kaedah itu, pihaknya telah menerbitkan beberapa jilid buku pendidikan untuk dijadikan buku teks dan rujukan tambahan ke peringkat sekolah.

"Buku berwajah kreatif dengan susunan ceria dan menarik perhatian ini merupakan satu keperluan kepada ibu bapa dan guru.

"Ini bagi memudahkan ibu bapa serta guru menggalakkan sikap suka membaca dalam kalangan kanak-kanak.

"Oleh itu, Ameen Books juga kini telah menerbitkan beberapa jilid buku pendidikan dengan pakej animasi untuk keperluan bahan sokongan dan teks kepada murid di sekolah," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Jualan Aras Mega Sdn. Bhd., Ahmad Saparudin Yusup berkata, minat membaca sangat penting untuk dipupuk bermula daripada usia muda.

Oleh itu, syarikatnya menumpukan penerbitan dan jualan buku khusus untuk kanak-kanak.

"Seperti kata pepatah, melentur buluh biar daripada rebungnya. Kami di Aras Mega lebih memberi tumpuan kepada penerbitan dan jualan buku-buku khusus kepada kanak-kanak.

"Seperti pepatah tersebut, apabila kita dapat memupuk minat membaca bermula dari kanak-kanak maka ia akan menjadi tabiat sehingga ke dewasa.

"Caranya adalah dengan menerbitkan buku-buku yang merangsang minat mereka.

"Buku yang penuh dengan gambar dan lukisan menarik. Manakala, buku yang paling baik adalah buku yang mampu membawa minda pembaca iaitu kanak-kanak tersebut menyelami diri mereka sebagai watak dalam buku tersebut," jelasnya.

Tambahnya, bukan semua kanak-kanak suka membaca. Ini yang menjadi masalah dan cabaran kepada ibu bapa untuk mendidik serta memupuk sikap suka membaca kepada kanak-kanak.

"Boleh dikatakan hampir semua kanak-kanak tidak suka membaca.

"Lebih-lebih lagi buku yang penuh dengan teks. Ini kerana pada usia itu mereka lebih gemar bermain bersama rakan-rakan atau menghabiskan masa dengan permainan video moden yang mempunyai pelbagai permainan.

"Justeru ibu bapa perlu bijak mengambil langkah mengatasi situasi tersebut dengan memilih bahan bacaan yang sesuai dengan kesukaan anak masing-masing," katanya.

Bagaimanapun katanya, selain buku untuk kanak-kanak pihaknya turut menerbitkan dan memasarkan buku kepada semua golongan masyarakat seperti novel dan juga rujukan pelajar institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Sarjana Media Sdn. Bhd., Tajudin Senafi berkata, melalui pelbagai kaedah penyampaian dan tarikan baru yang digunakan dalam penerbitan buku menjadikan tahap penggemar buku dalam kalangan masyarakat semakin meningkat saban tahun.

"Sepanjang beberapa hari pesta buku ini diadakan saya dapati sambutan yang diberikan oleh orang ramai sangat mengkagumkan.

"Pelanggan sentiasa ramai dan berpusu-pusu mengunjungi setiap gerai buku yang ada di sini.

"Kesimpulan yang boleh kita buat di sini adalah, dari tahun ke tahun masyarakat semakin sedar mengenai kepentingan membaca buku.

"Walaupun mendapat saingan daripada pelbagai media elektronik yang lain seperti Internet, industri pencetakan buku masih mempunyai masa depan cerah.

"Ini juga kerana evolusi yang dilakukan dalam penerbitan buku yang sentiasa peka dengan keperluan dan permintaan golongan sasar," katanya.

Tajudin berkata, pesta buku memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan buku yang digemari dengan potongan harga yang tinggi sehingga mencecah 70 peratus.

Orang ramai juga berpeluang untuk mendapatkan koleksi buku-buku lama yang telah diterbitkan sekiranya terlepas mendapatkan keluaran sebelum ini.

Selain itu katanya, pesta buku ini mengumpulkan pelbagai jenis buku istimewa yang sukar diperoleh di pasaran, seperti buku yang diimport dari luar negara dan diterjemahkan dalam bahasa Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: