DI mana ada kemahuan di situ ada jalan. Itu yang dibuktikan oleh Norlela Nasir, 30, apabila dia nekad terjun dalam dunia fesyen. Walaupun dia tidak ada ilmu formal dalam bidang itu, tetapi atas dasar yakin dengan kemampuan diri sendiri dia berjaya
Niat Norlela tidak lain supaya dapat mengubah nasib diri dan anaknya ke arah yang lebih baik.
Gelaran ibu tunggal bukan pelemah semangat malah pemangkin atas kejayaan yang diperolehinya kini.
Wanita yang berasal dari Johor Bahru itu meniti satu persatu kejayaan dalam industri fesyen yang amat dekat di hatinya semenjak belajar di tahun akhir di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lagi.
"Saya sudah mula berkecimpung dalam dunia fesyen dan butik dengan bekerja sambilan. Selepas habis praktikal, saya terus bekerja sepenuh masa dengan salah sebuah butik bertaraf antarabangsa di Mid Valley. Walaupun bidang pelajaran saya jauh berbeza, minat yang sangat mendalam membuatkan saya terus ingin mendalami bidang ini.
"Pada tahun 2009, saya mendapat idea untuk menjual tudung secara online selepas saya sendiri mula memakai tudung. Dengan sedikit kemahiran komputer dan pengalaman dalam bidang fesyen, saya menubuhkan OHB (OnlineHijab) pada tahun 2009.
"Alhamdulillah setelah memastikan perniagaan benar-benar kukuh akhirnya saya mengambil keputusan untuk membuka butik sendiri yang terletak di Plaza Damas, Sri Hartamas, Kuala Lumpur," ujar Norlela yang ditemui di Studio Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sejak bergelar usahawan, Norlela mengakui banyak kepuasan yang diperolehinya dan yang paling menggembirakan hatinya ialah apabila melihat lebih ramai Muslimah 'berhijrah' untuk memakai hijab.
Dari sudut keusahawanan pula, Norlela berkata, kepuasan bekerja sendiri adalah jauh berbeza dengan makan gaji kerana dapat mengembangkan banyak idea di samping mengemudi organisasi di bawah pimpinan sendiri.
"Saya sangat sukakan manik, saya banyak mendapat inspirasi rekaan dari Asia Barat dan saya gabungkan dengan sulaman manik ala ketimuran. Saya tidak suka menjual sesuatu rekaan yang sama dengan orang lain, justeru itu saya lebih suka menghasilkan rekaan yang lain dari yang lain.
"OHB merupakan butik tudung dan jubah secara online dan offline, maknanya sekiranya pelanggan berada diluar Kuala Lumpur atau Selengor, mereka boleh membeli secara online dan bagi mereka yang berdekatan boleh datang terus ke butik di Hartamas.
"Kami mempunyai koleksi Zayna, Salsabeel dan Inas yang merangkumi untuk golongan remaja hinggalah ke golongan wanita berkeluarga. Satu lagi keistimewaan butik ini ialah mempamerkan secara eksklusif koleksi rekaan Yasalma di satu sudut di butik kami khas untuk peminat-peminat pereka baju Muslimah itu," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: