Thursday, May 10, 2012

LZS rai ejen kutipan zakat

Mohamed Tamyes Abdul Wahid (berjubah hitam tengah) bergambar dengan ejen-ejen zakat sempena Malam Sejuta Rahmat di Shah Alam baru-baru ini.

Peristiwa
LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) meraikan 100 ejen kutipan zakat pada majlis makan malam Malam Sejuta Rahmat yang diadakan di Hotel De Palma Inn, Shah Alam, baru-baru ini.

Majlis makan malam tersebut merupakan program tahunan yang diadakan khusus untuk meraikan ejen-ejen kutipan zakat terdiri daripada syarikat swasta, pusat pengajian tinggi, firma audit, bank perdagangan dan ejen percukaian.

Menurut Mufti Selangor, Datuk Setia Mohamed Tamyes Abdul Wahid, LZS sentiasa menghargai segala sumbangan setiap ejen kutipan zakat yang dilantik kerana mereka merupakan rantaian yang dapat memperkasakan kutipan zakat di negeri itu.

"Pada tahun lepas pihak LZS berjaya mengutip RM373.5 juta wang zakat. Kita berharap dengan kerjasama erat dan usaha semua pihak termasuk ejen-ejen yang dilantik, kita mampu mengutip zakat sebanyak RM450 juta tahun ini.

"Lagi tinggi kutipan zakat, lagi banyak rahmat untuk umat Islam terutama golongan asnaf yang amat memerlukan agihan bantuan zakat,"' katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Pada majlis tersebut, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) diberikan anugerah peratus prestasi kutipan terbaik bagi kategori bayaran zakat skim potongan gaji.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula merangkul anugerah prestasi kutipan terbaik bagi kategori ejen penolong amil institusi pengajian tinggi (IPT).

Majlis yang bertemakan konsep 1,001 malam itu dimeriahkan dengan persembahan nasyid oleh anak-anak yatim Asrama Baitul Hasanah LZS, Kampung Perepat.

Para hadirin turut dijamu dengan santapan rohani dan minda oleh penceramah popular Ustaz Ghazali Ibrahim yang menyampaikan ceramah bertajuk Tujuh Petala Langit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: