|
KEMBARA Nazri Kamal ke mana-mana destinasi bukan sekadar melepaskan lelah. Sebaliknya, dia sentiasa mengkaji dan membawa balik idea berdasarkan pemerhatiannya.
Semasa lelaki itu di Bangkok, Thailand, dia melihat amalan tradisi tukang gunting rambut yang berbasikal ke sekolah-sekolah untuk mengambil upah menggunting rambut para pelajar.
Melihat senario itu, anak kelahiran Negeri Sembilan itu telah mendapat ilham untuk mencipta sesuatu yang baharu di tanah airnya sendiri.
"Saya fikir, mengapa tidak kita ambil sedikit idea orang Bangkok itu tetapi kita ubah suai sedikit mengikut kesesuaian negara kita.
"Apabila saya melihat tukang-tukang gunting di sini kebanyakannya dimonopoli oleh bukan kaum Melayu dan kurangnya kursus gunting rambut khasnya untuk gunting rambut lelaki, saya terus berfikir untuk mewujudkan akademi gunting rambut," katanya ketika ditemui baru-baru ini di pejabatnya di Seremban, Negeri Sembilan.
Maka, hasil perbincangan rapi dan berbekalkan bajet yang mencecah lebih RM50,000, NAZ Training Centre ditubuhkan.
Di NAZ Training, Nazri yang juga merangkap sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, mengkhususkan kepada kursus menggunting rambut lelaki.
Yuran
Menjelaskan lebih lanjut tentang akademinya, Nazri berkata, peluang yang direalisasikannya dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) harus direbut oleh mereka tidak mengira lepas umur.
"Sebenarnya, ia merupakan berita baik kepada mereka tidak kira muda atau tua.
"Selain kita tidak menitikberatkan soal keputusan peperiksaan semasa membuat pengambilan, kita turut membantu para pelajar kita dengan memberi dana daripada beberapa pihak yang masih dalam perbincangan dengan pihak NAZ Training," katanya sambil menambah, setiap pelajar akan diberi elaun sebanyak RM200 sebulan.
Namun, sebagai permulaan, mereka harus membayar yuran sebanyak RM5,000.
Akademi yang bakal memulakan pengambilan sulung pada 1 Jun ini hanya memperuntukkan tiga bulan sahaja untuk pelajar memahirkan diri.
Jangan gusar tentang tenaga pengajarnya kerana kesemua adalah mereka yang sudah berpuluh-puluh tahun berpengalaman dalam industri itu.
Salah seorang daripadanya ialah Samsul Jamaludin yang sudah 20 tahun bekerja sebagai tukang gunting rambut profesional di beberapa buah salun terkemuka negara.
"Kami akan mengajar bermula daripada aspek teori dan praktikal dan iltizam saya ialah untuk menjadikan para pelajar profesional seperti saya," katanya.
Barber 1Malaysia
Kata Nazri, selepas mengikuti kursus selama tiga bulan, kesemua pelajarnya akan diberi peluang pekerjaan.
Namun, sebelum itu, dia terlebih dahulu mahu mengajak mereka untuk melakukan aktiviti amal.
"Saya cadang membawa mereka menggunting rambut para penghuni rumah kebajikan dan ke sekolah-sekolah untuk menggunting rambut para pelajar dengan harga yang begitu murah. Kita mahu memberi pendedahan yang secukupnya sebelum mereka mampu berdiri sendiri," katanya.
Serentak dengan itu, NAZ Training Centre turut akan memberi ruang kepada pelajarnya menyertai kursus Keusahawanan Barber 1Malaysia.
Ada sebab kursus keusahawanan itu diterapkan sekali. Nazri sebenarnya mempunyai misi besar untuk mewujudkan konsep Kedai Barber 1Malaysia di 317 buah tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
"Saya berhasrat untuk melaksanakan satu Felda, satu tukang gunting dan satu kawasan Parlimen dengan lima tukang gunting.
"Jadi, inilah peluang kepada semua pelajar untuk menjadi usahawan tukang gunting dan saya percaya, pendapatannya agak lumayan," ujarnya..
Bagi merealisasikan gagasan berskala besar itu, NAZ Training Centre sedang mengemukakan cadangan kepada beberapa badan tertentu seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Felda untuk menarik lebih ramai pelajar di kawasan masing-masing untuk mengikuti kursus ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: