Tuesday, May 1, 2012

Ikut masa dan cara kerja negara lain



JARUM jam menunjukkan pukul 5.30 pagi. Suasana di sekitar kawasan komersial Damansara Uptown, Petaling Jaya di sini tampak lengang dan sunyi. Kebanyakan premis perniagaan dan pejabat masih lagi bergelap kecuali beberapa buah restoran dan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.

Bagaimanapun, pejabat pusat perkhidmatan pelanggan syarikat perkhidmatan kiriman pantas antarabangsa, FedEx Express yang terletak di tingkat lapan, Tower B, Uptown Lima itu sudah terang-benderang.

Biarpun masih awal pagi, suasana di dalamnya meriah dengan kehadiran beberapa kakitangan yang tekun menjalankan tugas masing-masing.

Ada yang sedang menaip sesuatu di komputer, menyelak fail dan tidak kurang juga yang leka menjawab panggilan telefon yang datang bertali-arus.

Ibrahim Halim tidak terkecuali. Sejak tadi dia sibuk membuka dan membalas e-mel yang diterima daripada cawangan-cawangan syarikat itu di seluruh dunia.

Selaku penyelia di situ, dia juga bertanggungjawab menguruskan kakitangan dan persekitaran tempat kerja, memastikan sistem dan pelayan komunikasi berjalan lancar serta membuat laporan harian.

"Di sini kami menguruskan operasi bagi empat buah negara di rantau Asia Pasifik iaitu Malaysia, Singapura, Australia dan New Zealand.

"Saya bertanggungjawab menyelia operasi di Australia dan New Zealand. Jurang geografi menyebabkan kakitangan di unit ini masuk kerja lebih awal iaitu sekitar pukul 3 pagi dan 5 pagi," kata lelaki berusia 33 tahun itu.

FedEx Express merupakan sebuah syarikat perkhidmatan kiriman pantas yang beroperasi di peringkat antarabangsa sejak lebih 40 tahun lalu.

Penghantaran dokumen atau barang oleh FedEx Express berbeza daripada syarikat lain kerana ia tidak melibatkan kiriman domestik. Ini bermakna, ia hanya mengendalikan penghantaran dokumen dari sebuah negara ke sebuah negara lain.

Secara puratanya, FedEx Express mengendalikan kira-kira 3.6 juta penghantaran di seluruh dunia sehari.

Bertugas sebelum subuh


SELAKU penyelia, Ibrahim sering menjadi rujukan khususnya dalam kalangan kakitangan-kakitangan baru.


Memulakan kerjaya di syarikat itu pada tahun 2007 sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan, lelaki yang berasal dari Sandakan, Sabah itu selesa dengan waktu bekerja yang berbeza berbanding sebahagian besar pekerja di negara ini.

Katanya, ketika orang lain sedang lena dibuai mimpi, dia bersama beberapa kakitangannya bertungkus-lumus menyelesaikan pelbagai kerenah pelanggan setiap hari.

"Pada peringkat awal dahulu, sesiapa sahaja pasti sukar menyesuaikan diri dengan waktu kerja begini. Macam saya, terpaksa tidur awal serta bangun awal pagi, tetapi lama-kelamaan alah bisa tegal biasa.

"Cuma apa yang paling menyeronokkan, saya tidak perlu meredah kesesakkan trafik seperti yang lazim dialami warga kota setiap kali pergi atau pulang ke tempat kerja," ujarnya sudah berkahwin dan kini dikurniakan seorang cahaya mata, Nadine Iman, 11 bulan.

Ibrahim memberitahu, selain waktu kerja yang berbeza dia juga terpaksa mengorbankan cuti umum dan cuti perayaan yang lazim diraikan di negara ini.

"Orang lain seronok bercuti tetapi kami harus bekerja. Selalunya kami akan bercuti agak panjang sedikit ketika perayaan Krismas dan tahun baharu mengikut negara-negara yang diselia," katanya.

Jelasnya, ketika bujang dahulu dia pernah beberapa kali bekerja ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Ketika itu, kami semua melaram dengan baju raya, masing-masing turut membawa pelbagai juadah seperti ketupat, lemang, rendang, lontong dan aneka kuih-muih.

"Lagu-lagu raya yang berkumandang menyebabkan kemeriahannya tetap dirasai, biarpun tanpa kehadiran ahli-ahli keluarga di sisi," ujarnya sambil mengimbau kenangan-kenangan lalu.

Ujarnya, dia bersyukur isterinya, Ayda Rafflee, 31, memahami tugas yang dipikulnya selama ini.

Katanya, komunikasi dan perancangan awal penting bagi memastikan perjalanan dan keperluan rumah tangganya berjalan lancar.


PENGALAMAN bekerja lebih lima tahun di FedEX Express banyak membantu Ibrahim dalam melancarkan operasi syarikat itu.


"Selalunya, setiap pagi isteri yang hantar anak ke rumah pengasuh, saya pula akan ambil ketika pulang bekerja sekitar pukul 4 petang.

"Kesempatan yang ada juga, saya gunakan untuk membeli keperluan rumah dan anak-anak atau menguruskan pelbagai urusan harian seperti berurusan bank, pejabat pos atau di pejabat-pejabat kerajaan," jelasnya yang menetap di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Jaga rantau Eropah

Sementara itu, Siti Sakinah Abdul Rahim, 29, berkata, dia berbangga kerana berpeluang menimba pengalaman bekerja dengan dua buah syarikat asing di negara ini sebelum ini.

Katanya, dia pernah bekerja selama tiga tahun dengan sebuah syarikat telekomunikasi dan kini bekerja di syarikat komputer gergasi, International Business Machines (IBM) sejak setahun setengah yang lalu.

Kakitangan di bahagian pengurusan dan pentadbiran itu berkata, urusan kerjanya bermula pada pukul 3 petang sebelum berakhir pada tengah malam.

"Jadual waktu saya perlu mengikut syarikat-syarikat induk di Eropah. Ada juga pasukan lain yang masuk bekerja di sebelah pagi dan malam bergantung kepada rantau-rantau yang terlibat," katanya.

Beliau mengakui banyak mempelajari budaya organisasi yang dibawa untuk diterapkan dalam pekerjaannya.

"Biarpun bekerja dari petang sehingga ke tengah malam kerana saya berurusan dengan negara-negara di Eropah, namun sistem bekerjanya agak fleksibel.

"Misalnya, seminggu sekali kakitangan dibenarkan bekerja di luar pejabat.

"Hubungan pekerja dan ketua juga sangat rapat, kami boleh berjumpa ketua pada bila-bila masa untuk berbincang sebarang masalah yang timbul," katanya.

Sudah berkahwin dan kini dikurniakan cahaya mata perempuan, Sofea Aleysha, empat bulan, Siti Sakinah berkata, dia agak beruntung kerana menetap bersama keluarganya di Hulu Langat, Selangor.

"Saya akui masa bersama keluarga agak terhad, bagaimanapun saya akan memastikan setiap kali cuti, saya akan meluangkan masa sepenuhnya bersama mereka termasuk bercuti ke lokasi-lokasi menarik di negara ini," katanya.


PELUANG bekerja di rumah yang diberikan majikan, membolehkan Siti Sakinah sentiasa berdamping dengan Sofea Aleysha.


Bagi Mohd. Adli Mazlan, 30, ingin menimba pengalaman dalam bidang baharu mendorong dia bekerja di sebuah institusi pelaburan antarabangsa, RBC Dexia yang terletak di Cyberjaya.

Graduan Pengurusan Perniagaan di Dublin Bussiness School hanya menganggur selama dua bulan sebelum ditawarkan bekerja di institusi yang berpangkalan di Luxembourg itu.

"Antara tugas saya setiap hari ialah memantau, menganalisis dan memproses nilai saham amanah untuk pelanggan-pelanggan.

"Pekerjaan ini sememangnya sangat mencabar dan masih baru di negara ini. Saya perlu peka dengan perkembangan pasaran dan situasi semasa di samping sentiasa mematuhi tarikh ajal kerja yang ditetapkan," katanya.

Ujarnya, selain tawaran gaji yang tinggi, antara faktor yang menyebabkan dia seronok bekerja di situ adalah faktor rakan setugas yang rata-ratanya terdiri daripada warga asing.

"Biarpun ada antara rakan setugas yang datang dari pelbagai negara di dunia, namun kami tetap bekerja sebagai satu pasukan.

"Selepas seharian memerah otak di pejabat, kami lazimnya menghabiskan masa berlepak bersama-sama untuk melepaskan tekanan. Secara tidak langsung, ia membolehkan saya mengenali sosio dan budaya mereka dengan lebih dekat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: