Thursday, May 10, 2012

Mencari pahlawan Ark Arena


KUALITI visual dalam permainan ini dikatakan kemas dan memuaskan.


GENRE permainan video role-playing semakin diterima ramai khususnya dalam kalangan penggemar permainan video tegar. Kerumitan dan plot cerita yang mendalam ditawarkan permainan video ini menerangkan sebab ia semakin diterima ramai.

Pemain pasti masih ingat impak ditinggalkan permainan video seperti siri Final Fantasy VII yang sangat mendalam dan dianggap sebagai salah satu kejayaan besar Square Enix.

Pada 20 April 2010, Square Enix telah mengumumkan sebuah permainan video bertajuk Chaos Rings. Dibangunkan syarikat Media.Vision, ia walau bagaimanapun hanya boleh didapati pada platform iOS dan Android.

Plot

Chaos Rings bermula di sebuah kawasan fiksyen yang dinamakan Ark Arena. Pada awal permainan, pemain akan diberi pilihan antara empat pasangan untuk meneruskan pengembaraan.

Empat pasangan tersebut ialah Escher dan Musiea; Eluca dan Zhamo; Ayuta dan Shea serta Olgar dan Vahti. Setiap karakter mempunyai latar belakang dan zaman tersendiri. Keempat-empat pasangan ini telah dihantar ke Ark Arena secara tidak sedar pada detik dunia mereka dihancurkan oleh sejenis makhluk bernama Qualia.

Sepanjang permainan, pemain akan menyedari bahawa Qualia ialah sejenis makhluk yang sangat kuat dan mampu menghancurkan sesebuah planet dengan sekelip mata. Apabila dunia dihancurkan, Ark Arena akan menyeru pahlawan dari seluruh dunia dan zaman untuk bertanding.

Ia bertujuan untuk menentukan pahlawan terbaik antara mereka. Pemenang yang berjaya mengharungi segala halangan di Ark Arena akan dihantar semula pada awal zaman dunia agar mereka dapat menghasilkan generasi manusia yang lebih perkasa untuk mengalahkan Qualia.

Mekanisme permainan


PEMAIN akan diberi ganjaran dalam bentuk markah pengalaman dan mata wang Ohnz.


Walaupun Chaos Rings hanya boleh diperoleh melalui platform iOS dan Android, mekanisme permainan yang ditawarkan adalah lebih kurang sama permainan video yang boleh didapati pada konsol.

Chaos Rings menggunakan mekanisme pertempuran yang lebih kurang sama dengan siri Final Fantasy. Bagaimanapun, hanya dua orang dibenarkan bertempur pada satu-satu masa.

Dalam pertempuran, pemain harus sentiasa memerhatikan break gauge dan harus berhati-hati jika ia berpihak pada pihak lawan.

Pemain juga boleh memilih untuk menyerang secara berseorangan ataupun berpasangan. Setiap pilihan mempunyai kelebihan tersendiri dan selalunya akan meningkatkan kekuatan serangan pemain.

Bagi memudahkan pemain, kemahiran yang dipanggil genes boleh digunakan dalam pertempuran.

Genes boleh didapati oleh pemain dengan mengalahkan pihak musuh yang berbeza-beza. Pemain akan diberi ganjaran dalam bentuk markah pengalaman dan Ohnz iaitu mata wang di Ark Arena yang boleh digunakan untukmembeli senjata dan barang-barang lain.

Teka-teki


BAGI memudahkan pemain, kemahiran yang dipanggil genes boleh digunakan dalam pertempuran.


Sepanjang permainan, pemain juga akan dicabar dengan beberapa teka-teki sebelum mereka boleh meneruskan plot utama.

Teka-teki merupakan satu pendekatan yang digunakan Chaos Rings bagi menenangkan pemain yang sentiasa memikirkan strategi pertempuran.

Grafik dan audio

Walaupun Chaos Rings dihasilkan untuk telefon mudah alih, mutu grafik yang ditawarkan sangat menakjubkan dan kemas.

Pemain pasti akan menghargai grafik yang sangat teliti dan ini sangat penting untuk memberikan impak kepada plot utama permainan.

Audio Chaos Rings merupakan hasil karya Noriyasu Agematsu yang sangat dikenali dalam permainan video Wild Arms.

Grafik yang teliti digandingkan pula dengan audio yang rancak, sangat membantu dalam memberikan impak kepada pemain.

Chaos Rings merupakan sebuah permainan video yang sangat berjaya untuk telefon mudah alih dan mampu bersaing dengan permainan video di konsol. Dengan plot menarik dan mekanisme permainan yang mirip Final Fantasy, tidak hairanlah ia berjaya menarik ramai peminat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: