PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia benar-benar terkejut selepas mendengar laporan kekasihnya iaitu Fizz Fairuz berhasrat untuk mengahwininya pada tahun ini.
Almy, 25, berkata, dia tidak dapat memberi sebarang reaksi berhubung kenyataan itu kerana tidak mengetahui apa-apa tentang hasrat Fizz.
"Maafkan saya kerana tidak dapat nak komen kerana langsung tidak mengetahui perkara itu dan rasanya tidak patut saya berkata apa-apa mengenai benda yang saya sendiri tidak pasti.
"Saya terkejut dan sejujurnya tidak tahu reaksi apa yang ingin diberi mengenai laporan berkenaan," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.
Fizz dalam satu laporan dalam portal Rotikaya.com pada Selasa memberitahu telah memasang niat untuk mengahwini Almy pada tahun ini dan perkara itu akan menjadi kenyataan selepas ibunya kembali mengerjakan umrah pada bulan Jun depan sebelum menetapkan tarikh pernikahan.
Dalam pada itu, Almy berkata, dia bukan cuba mengelak daripada pihak media mengenai perkara tersebut tetapi tidak pernah dimaklumkan oleh Fizz tentang hasrat hatinya itu.
Katanya buat sementara waktu ini biarlah Fizz yang membuat kenyataan kepada pihak media namun dia enggan membuat sebarang kenyataan balas kerana takut tersilap kata.
"Sebelum ini peminat dan media sering bertanya kepada saya mengenai hubungan kami sehingga pada satu tahap saya rasa malu.
"Jadi sekarang biarlah Fizz yang bercakap kepada mengenai hubungan kami kerana tidak manis saya turut bercakap mengenai hal yang saya sendiri tidak tahu dan tidak dimaklumkan," ujarnya.
Bagaimanapun kata Almy, dia akan membuka mulut apabila tiba masanya nanti bagi menjelaskan semua perkara yang menjadi tanda tanya ramai pihak selama ini.
"Sama ada Fizz masuk meminang atau tidak saya akan beritahu nanti serta mengenai apa yang terjadi tetapi bukan sekarang, suatu hari nanti. Buat masa ini biarlah Fizz yang memberi komen," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: