SUASANA di ruang tengah pusat beli-belah Mid Valley baru-baru ini meriah dengan kehadiran orang ramai terutama golongan pencinta kamera jenama Canon.
Dari jauh kelihatan rak-rak dan kaunter yang menempatkan pelbagai jenis kamera untuk tatapan mereka yang meminati keindahan dan kreativiti dalam dunia fotografi.
Di sudut kaunter kamera EOS pula, sudah dipenuhi ramai pengunjung yang mahu merasai pengalaman mencuba model kamera terbaharu, EOS 5D Mark III yang mampu merakam imej penuh dengan pantas selain boleh merakam video berkualiti tinggi. Tidak kurang, ada juga yang sekadar menjadi pemerhati melihat gelagat pengunjung.
Ternyata, penganjuran ekspo Eye On Canon yang berlangsung pada 25 hingga 29 April lalu, menjadi peluang terbaik buat mereka menambah pengetahuan tentang sesuatu produk yang ditawarkan sekali gus memilikinya.
Diadakan sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-25 Canon bertapak di pasaran Malaysia, ekspo tersebut penuh dengan pelbagai keistimewaan seperti potongan harga sebanyak 25 peratus untuk model terpilih dan cabutan bertuah produk Canon bernilai RM10,000.
Tidak ketinggalan, Canon juga telah memperkenalkan beberapa produk terbaharu untuk rangkaian kamera, kamkoder dan mesin pencetak seperti Canon IXUS 240HS dan Canon IXUS 510HS.
“Sejajar dengan falsafah korporat Kyosei, kami percaya bahawa amat penting bagi kami agar sentiasa mencari jalan untuk menyumbang kepada masyarakat.
“Disebabkan itu juga, kami telah menggabungkan elemen tanggungjawab korporat sosial (CSR) pada pameran tahun ini. Daripada setiap jualan kamera di Ekspo Eye On Canon sama ada di Mid Valley mahu pun di Plaza Gurney, Pulau Pinang, RM10 akan diberikan kepada Yayasan Sumbeams Home iaitu sebuah rumah kebajikan yang memelihara anak-anak yatim, mangsa dera dan kanak-kanak terbuang,” ujar Pengarah Bahagian Produk Komunikasi Pengimejan Canon, Simon Wong.
Sumbang kamera
Tambah Simon, pihaknya juga teruja menyumbang 25 unit kamera untuk yayasan berkenaan di samping meluangkan masa bagi mengajar anak-anak di rumah itu kemahiran asas tentang bagaimana untuk menjadi seorang jurugambar yang baik.
“Kami harap dengan cara ini, sedikit sebanyak ia mampu memberi sinar bahagia kepada mereka,” kata Simon sambil memberitahu ekspo kali ini turut mempamerkan keseluruhan rangkaian produk kamera digital, kamera video, aksesori kamera dan pencetak Canon.
Mengaplikasi angka 25 dalam sambutan tersebut, sebanyak 25 unit model kamera terpilih telah dijual pada harga hanya RM25 kepada lima pembeli terawal setiap hari.
Selain itu, 100 pembeli terawal produk kamera model Canon EOS di ekspo tersebut, berpeluang menerima miniatur kamera Hansa iaitu kamera pertama yang direka bagi tujuan komersial oleh Canon pada tahun 1936.
Salah satu tarikan pada ekspo tersebut ialah lensa L berbingkai merah yang merupakan signatur Canon dan potongan sebanyak 10 peratus untuk lensa terpilih. Promosi lensa lain termasuklah rebat sehingga RM500 bagi setiap pembelian tiga lensa terpilih untuk semua pemilik kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR) Canon.
Sebagai tambahan, dengan setiap pembelian mana-mana model Legria Digital Video, pengunjung turut menerima album cakera padat digital (DVD) Yuna secara percuma.
Di samping itu, setiap pengunjung akan menerima tiga kad memori bersaiz 4GB dengan setiap pembelian kamera model PowerShot A2200, A 3200IS, IXUS 115HS atau IXUS 220HS pada harga bermula serendah RM399.
Barangan eksklusif
Antara aktiviti lain pengunjung juga berpeluang merasai sendiri pengalaman menggunakan sistem EOS Cinema pada model Canon EOS C300 iaitu sebuah perakam video dengan lensa boleh tukar.
Bagi meraikan Canon sebagai salah satu penaja rasmi Kejohanan Bolasepak Eropah (Euro) 2012, pembeli untuk produk terpilih akan menerima barangan eksklusif Euro 2012.
Dalam pada itu, Simon berkata, pihaknya menyasarkan pertumbuhan pendapatan melebihi 10 peratus yang disokong daripada penawaran rangkaian produk yang kukuh bagi tahun 2012.
“Secara keseluruhan, Canon masih menerajui pasaran kamera di Malaysia dengan penguasaan pasaran melebihi 30 peratus buat masa ini.
“Bukan itu sahaja, kami turut menerima pengiktirafan sebagai jenama pilihan pengguna pada majlis Putra Brands Award 2012 yang diadakan baru-baru ini,” jelasnya.
Majlis perasmian ekspo Eye On Canon itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Canon, Melvyn Ho manakala bintang ternama Hong Kong, Simon Yam dan Penny Tai turut diundang khas bagi mewarnai ekspo Eye On Canon tahun ini.
Ekspo serupa juga telah diadakan di Plaza Gurney, Pulau Pinang pada 1 hingga 6 Mei lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: