SETIAP kali bertugas ke luar negara, saya teringin berkongsi mengenai perjalanan saya dengan pembaca Mingguan Malaysia. Februari lalu kali kedua saya bertugas di Beijing bersama-sama 34 ahli kumpulan yang lain.
Kali pertama saya ke Beijing semasa perayaan Krismas tahun lepas - musim dingin. Saya memang sukakan keadaan sejuk di sana.
Kali ini kami bertolak dari Lapangan Terbang Changi, Singapura kerana kumpulan ini dari Johor Bahru.
Inilah kali pertama saya bersama-sama satu kumpulan besar sebegini kerana sebelum ini paling ramai hanya 20 orang.
Kami menaiki pesawat CA970 (China Air) lewat malam dan sampai di Lapangan Terbang Beijing pukul 6.20 pagi waktu tempatan.
Memandangkan makanan dalam pesawat tidak menepati selera, jadi sepanjang enam jam penerbangan, saya hanya melelapkan mata.
Sejurus sampai di kota Beijing, kami disambut oleh Michael - pemandu pelancong kami sepanjang berada di sana yang fasih berbahasa Melayu dan Indonesia.
Destinasi pertama adalah Dataran Tiananmen, dataran paling besar di dunia diikuti dengan Forbidden City.
Lenguh kaki berjalan dengan suhu sejuk sampai ke tulang hitam.
Selepas makan tengahari, kami ke Masjid Niujie yang berusia beribu tahun.
Ia diikuti acara membeli-belah di pusat sutera terkenal yang menjual pelbagai jenis kain dengan kualiti terbaik sebelum ke pusat batu jed.
Malamnya kami menjamu selera di Restoran Muslim Xin Jiang.
Kami menginap di Hotel Long Ding Hua yang terletak tidak jauh dari kota raya Beijing.
Apa yang menariknya mengenai hotel ini, sarapan yang disediakan adalah halal.
Selepas sarapan pada hari kedua di Beijing, kami melawat kedai kristal.
Tembok BesarTidak sempurna ke Beijing jika tidak mendaki Tembok Besar China dan kumpulan kami seperti tidak sabar untuk bergambar di situ.
Penat mendaki, kami segera menuju restoran tidak jauh dari Tembok Besar China untuk mengisi perut.
Untuk 'merawat' kaki yang keletihan, kami ke Foot Massage di Pusat Perubatan Tradional China, sebelum menyambung 'jelajah' ke Burning Cream Centre.
Acara selepas makan malam cukup saya gemari iaitu membeli-belah di Hard Rock Cafe Souvenir Shop.
Apa lagi, rasa macam nak borong kemeja-T Hard Rock satu kedai.
Taman dirajaHari ketiga di Beijing, awal-awal pagi lagi kami ke Summer Palace - taman diraja terbesar di China yang dibina mulanya semasa zaman Dinasti Qianlong Maharaja Qing pada 1751.
Semasa di Summer Palace, air tasik Kunming membeku jadi ais - pengalaman menakjubkan yang cukup 'menyejukkan!'
Kami juga sempat melawat Masjid Nan Dou Ya, yang mempunyai reka bentuk China yang unik dengan sejarah beratus-ratus tahun.
Lepas makan tengahari, sekali lagi acara membeli-belah menjadi agenda kami, kali ini di Silk Street.
Bagaikan tak cukup masa, kami sambung lagi membeli-belah selepas makan malam di Wang Fu Jing Shopping Street selain menikmati makanan halal di Night Food Market.
Hari keempat di Beijing adalah hari merakamkan momen. Pada sebelah pagi, kami mengambil gambar kumpulan di Olympic Stadium - Bird Nest dan Water Cube sebelum menyambung acara popular - membeli-belah lagi di Olympic Sponsor Jewelry City.
Memang aturcara hari ini membeli-belah sepuas-puasnya sebelum balik ke tanah air.
Justeru selepas makan tengahari, kami membeli-belah lagi di The Kitchen Appliance Store dan bazar tempatan seperti Hong Qiao Tian Ya Market dan Xiu Shui Market.
Hari kelima yang juga hari terakhir kami di Beijing, diisi dengan bersantai menikmati acara minum teh di Tea House.
Sedikit waktu yang tinggal, kami tidak lepaskan peluang membeli-belah kali terakhir di Yang Guang Jin Jie Market.
Selepas makan tengah hari, kami menaiki pesawat pulang ke tanah air, meninggalkan syurga beli-belah Beijing!.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: