Vivid Sydney merupakan pesta muzikal paling terkenal di bandar tersebut. Ia diadakan setiap tahun pada 25 Mei hingga 11 Jun dengan kemeriahan alunan muzik, cahaya neon dan paling menarik adalah ia mengubah kawasan The Rocks dan Circular Quay kepada kanvas hidup yang mengagumkan.
SEBUT sahaja nama-nama bandar kosmopolitan dalam dunia, bandar Sydney sudah tentu merupakan antara bandar terkenal yang menjadi sebutan ramai.
Sebagai destinasi pelancongan idaman, bandar global dari Australia ini menawarkan pelbagai lokasi percutian yang unik.
Sesuai dengan anugerah yang diterimanya buat kali kedua sebagai 'World's Best Festival and Event City' oleh International Festivals and Events Association (IFEA), Sydney lebih dikenali pengunjung sebagai sebuah destinasi penuh dengan festival dan acara sebagai daya tarikannya.
Tidak kira tahun dan masa yang dipilih pelancong untuk mengunjunginya, bandar raya itu sentiasa dipenuhi dengan pelbagai kemeriahan dan kemuncak acara yang pastinya menyeronokkan.
Selain tarikan tersebut, pengunjung juga berpeluang melawat kawasan pantai Grand Pacific Drive dan South Coast yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan.
Sambil menikmati panorama alam, pengunjung turut berpeluang menerokai Sydney bermula dari Royal National Park yang merupakan taman negara kedua tertua di Australia.
Seterusnya lawati Wollongong yang merupakan bandar raya ketiga terbesar di New South Wales yang menawarkan pelbagai aktiviti pengembaraan, pantai, pusat membeli-belah, restoran, kafe dan tempat penginapan dari hotel antarabangsa bertaraf lima bintang ke penginapan backpacker.
Dari Wollongong, pengunjung boleh ke Kiama yang merupakan destinasi paling ideal buat mereka yang menyukai aktiviti riadah di pantai seperti skydive, belayar, menyelam, memancing dan berkanu.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang bersiar-siar ke butik-butik pakaian yang terletak di sepanjang pantai yang terletak berhampiran Jamberoo seterusnya ke Gerringong, Gerroa, Kiama Blowhole, Illawarra Fly Tree Top Walk, Shoalhaven Heads, Nowra, Jervis Bay, Kangaroo Valley dan Berry.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: