Krill @ Khairil Azwan
Krill @ Khairil Azwan bersama rakan setugas Kak Engku@Raja Azura dan
Salleh Yaakob
Stesen: Sinar Fm
Segmen: Sinar Pagi
Nama Krill atau Khairil Azwan bukanlah asing dalam industri radio tanah air. Malah penglibatannya dalam bidang penyampai yang sudah lebih sedekad, memberi seribu makna buat dirinya yang mengimpikan karier itu sejak kecil.
Menghadiri sesi temu duga terbuka di stesen radio Era Fm pada 1997 adalah langkah pertama buat dirinya untuk merealisasikan impian bergelar penyampai.
Hanya berbekalkan keyakinan dan impian, anak jati Kuala Lumpur ini tidak menyangka akhirnya berjaya terpilih daripada 200 peserta yang hadir.
“Ketika itu, saya tekad lakukan yang terbaik kerana saya tahu peluang itu belum tentu akan datang semula dan pada masa itu juga, saya begitu yakin dengan kebolehan dan bakat yang ada.
“Saya diarahkan untuk memulakan tugas pada 9 September 1998 mengendalikan segmen Petang Di Era dan ketika itu turut digandingkan bersama Seelan Paul,” katanya.
Setelah lebih empat tahun mengendalikan segmen petang, Krill menawarkan dirinya untuk melangkah ke segmen pagi bergandingan bersama penyampai Halim Othman.
“Melangkah ke segmen pagi adalah merupakan keputusan yang paling penting saya ambil untuk membawa karier ini ke satu tahap yang lebih tinggi dan lebih mencabar. Saya tidak sangka peluang itu datang awal dan pada masa yang sama agak risau memandangkan segmen pagi antara segmen yang mencabar dalam industri radio.
“Bagaimanapun saya tekad untuk mengambil peluang yang ada kerana merasakan ia peluang yang baik untuk saya mematangkan lagi karier dalam bidang penyampaian radio walaupun jadual hidup mula berubah,” ujarnya.
Sembilan tahun berkhidmat di Era Fm akhirnya penyampai berusia 41 tahun ini ditawarkan untuk mengendalikan segmen pagi di Sinar Fm.
“Saya gembira melakukan karier ini kerana ia mengikut landasan yang benar apabila ditawarkan di Sinar Fm mengikut peredaran usia saya.
“Sasaran stesen radio yang pernah saya kendalikan adalah berbeza mengikut usia pendengar dan tawaran berkhidmat di Sinar Fm bagi saya adalah tepat pada masanya,” katanya.
Cabaran mematangkan
Sama seperti penyampai baru yang lain, pengalaman pertama mengendalikan segmen sehingga kini masih lagi segar dalam ingatannya dan menurut Krill apa yang berlaku amat bermakna buat dirinya.
“Kerana pengalaman itulah saya kini berada di sini sekarang. Bagi saya pengalaman lama banyak mengajar saya untuk menjadi seorang penyampai yang pandai mengawal emosi untuk menghiburkan pendengar.
“Tugas sebagai penyampai bukanlah semudah yang disangka kerana cara penyampaian dan kelainan yang ditampilkan sememangnya menjadi ukuran buat pendengar untuk terus setia bersama seseorang penyampai,” katanya.
Mula mengendalikan segmen pagi di Era adalah titik permulaan baginya mendalami kriteria sebagai seorang penyampai yang lebih memahami kehendak pendengar.
“Dari situ saya membuat kajian dan meminta nasihat dari rakan penyampai yang lebih berpengalaman untuk lebih mengetahui kehendak dan selera pendengar,” katanya.
Kepuasan dalam karier
Apabila ditanya perkara yang dianggap istimewa sepanjang bergelar penyampai, Krill mengatakan respons yang diberikan oleh pendengar terhadap segmen dikendalikannya adalah antara perkara yang bermakna buat dirinya.
“Saya tidak dapat gambarkan perasaan saya apabila ada di kalangan pendengar masih mengingati antara percakapan saya semasa mengendalikan segmen yang lepas. Ini bermakna, mesej dan informasi yang saya cuba sampaikan kepada pendengar berkesan.
“Sebagai seorang penyampai, saya berperanan untuk melengkapkan dan menceriakan hidup pendengar yang mahukan khidmat kami sebagai penghibur dan ini adalah satu kepuasan tidak ternilai buat diri saya dalam meneruskan karier ini sebagai penyampai radio,” katanya.
Disentuh pula tentang keserasian rakan penyampai, Raja Azura dan Saleh Yaakob yang turut sama menjayakan segmen pagi, penyampai ini mengakui selesa bersama mereka.
“Saya akui bertuah kerana dapat bekerjasama dengan mereka. Bagi saya kerjasama ini berjaya memeriahkan segmen pagi sekali gus dapat menarik lebih ramai pendengar. Sepanjang kami bekerjasama dalam satu konti, saya tidak mengalami sebarang masalah dengan mereka malah, kami gembira melakukannya bersama.
“Malah atas sambutan yang menggalakkan dan keserasian yang ada, kami bertiga sedang merancang untuk mengadakan rancangan televisyen Sinar Pagi kerana kami berpendapat segmen ini perlu melonjak ke satu tahap untuk menghiburkan pendengar yang sentiasa setia bersama kami ”katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: