Suria FM tingkatkan prestasi

Berbanding tahun lalu, stesen radio Suria FM terbukti berjaya menarik lebih ramai pendengar apabila jumlah pendengar bagi stesen radio itu meningkat secara mendadak kepada 2.9 juta berbanding 2.3 juta tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah berkata, kejayaan itu berikutan formula Suria FM yang memainkan lagu-lagu terbaik era 90-an di samping mengekalkan konsep ceria bagi tempoh dua tahun berturut-turut.

“Saya percaya konsep keceriaan ini menjadi resipi kejayaan Suria FM. Walaupun baru ditubuhkan hampir lima tahun namun ia semakin dikenali dan menjadi pilihan pendengar.

“Selain itu, pendekatan yang dijalankan seperti mengadakan siri jelajah, konsert dan pelbagai pertandingan dari masa ke sama turut menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Restoran Puteri, Sungai Penchala, sempena majlis kesyukuran meraikan kejayaan stesen radio itu.

Menurutnya, Suria FM akan terus berusaha untuk mengukuhkan pengisian dan persembahan bagi meningkatkan kedudukan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, mendapat kepercayaan daripada pendengar adalah satu cabaran bagi kami untuk terus memberikan yang terbaik. Untuk itu, kami akan terus mencuba memastikan kedudukan kami setanding dengan stesen radio lain yang telah mempunyai pengalaman berbelas-belas tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, jumlah peningkatan pendengar merangkumi pelbagai segmen. Antaranya, Ceria Pagi di Suria, yang diterajui Halim Othman, Nabil Ahmad dan Kenchana Devi. Tidak ketinggalan, segmen Ceria Petang yang dikendalikan Linda Onn.

Bagi tempoh pengukuran pendengar radio Nielson liputan pertama 2012, kaji selidik yang bermula 19 Mac 2012 hingga 15 April 2012, mencatatkan Suria FM mengungguli kedudukan bagi kategori jumlah masa mendengar (TSL) di kalangan radio swasta bahasa Malaysia dengan peningkatan sebanyak 17 peratus.

Stesen radio itu juga mencatatkan peningkatan jumlah pendengar tertinggi sebanyak 44 peratus berbanding stesen-stesen radio swasta yang lain.

Hadir sama di majlis itu Ketua Pegawai Penyiaran Kumpulan Star Radio, C.K. Tan, pasangan pendakwah bebas Wan Akashah dan isteri Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood, penyampai Suria FM, Abby Abadi serta Hafiz Hamidun.