Fara: Bukan kejar populariti
Fara

WALAUPUN namanya tidak segah penyampai berita, Radio Televieyen Malaysia (RTM), Farit Ismeth Emir atau Norashikin Abdul Rahman, namun ia bukanlah penghalang bagi, Farhatul Aishati, untuk terus optimis dalam kariernya.

Menggalas tugas sebagai penyampai berita sejak tahun 2009 di RTM, Farhatul yang lebih mesra disapa Fara, 25, ini menganggap tanggungjawab itu bukanlah semudah yang disangka.

Akui hanya picisan di dalam dunia penyampaian berita, jauh di sudut hati Fara mendambakan peluang yang lebih dari itu.

“Sekarang, Fara diberi tanggungjawab menjadi penyampai berita untuk slot Berita Nasional, Berita Wilayah dan Berita Semasa. Kami bekerja ikut syif dan setiap hari, ada tiga syif.

“Namun, Fara tetap memasang angan-angan untuk menjadi penyampai Berita Utama jam 8 malam.

“Walaupun jumlah penonton slot Berita Wilayah lebih tinggi dari Berita Utama, namun fokus berita adalah pada jam 8.00 malam. Jika terpilih, penyampai itu dikira hebat,” katanya.

Slot Berita Nasional disiarkan pada jam 7 pagi, 1 petang dan 12.30 tengahari selama setengah jam.

Berita Wilayah pula disiarkan pada jam 5 petang selama satu jam, setiap hari dan Berita Semasa pada jam 9 pagi, 10 pagi, 11 pagi, 12 tengahari, 3 petang, 4 petang dan 10 malam.

Minat dari kecil

Mengakui minat bergelar penyampai berita bercambah sejak kecil lagi, Fara sering menghabiskan masa terluang dengan menonton rancangan dokumentari dan berita.

Menurut pemegang Diploma Pengurusan Multimedia ini, dia sering menjadi ‘pembaca berita’ untuk halwa telinga ayahnya ketika di bangku sekolah lagi.

“Ayah tidak baca sendiri surat khabar, tetapi dia akan menyuruh saya bacakan berita untuknya. Saya akan baca dengan pelbagai lenggok dan cara mengikut kesesuaian.

“Di samping itu, saya juga sering menonton berita di televisyen.

“Selepas tamat pengajian di Multimedia Kolej, saya bekerja di restoran makanan segera, Pizza Hut sebagai Pengurus Restoran,” katanya yang hanya bertahan lima bulan sahaja di restoran itu.

Bermula ajakan seorang teman meminta menemaninya untuk menghadiri uji bakat rancangan, Panorama di TV1 pada tahun 2008.

“Masa tu, saya hanya teman kawan. Tapi, dia gugup, jadi dia suruh saya daftar sekali. Tidak sangka pula, dalam uji bakat itu, kawan saya tidak terpilih, saya terpilih.

“Sejak itu, saya menyertai Panorama dan menjadi wartawan lokasi rancangan itu. Pada tahun yang sama, RTM menawarkan saya untuk ‘mock run’ berita.

“Saya menyertai uji bakat di Unit Berita RTM dan dua minggu kemudian, saya diarahkan menjadi penyampai berita sehingga kini,” katanya yang turut terlibat dalam penulisan skrip dan suara latar rancangan dokumentari.

Perlukan kesabaran

Bercerita mengenai peristiwa yang sukar dilupakan sepanjang terlibat secara langsung di unit berita RTM, Fara pernah menghadapi saat-saat cemas ketika menyampai berita.

Katanya, ketika dia sedang menyampai berita, bekalan elektrik terputus dan keadaan di bilik itu gelap-gelita.

“Saya hanya dapat membaca artikel di skrin dalam keadaan gelap.

“Ketika itu, pelbagai perkara bermain di fikiran kerana ia berlaku ketika giliran saya.

“Bukan itu sahaja, ada juga ketika siaran langsung, ada kesilapan teknikal atau pita rakaman rosak di saat akhir menyebabkan saya terpaksa melangkau berita seterusnya,” katanya yang turut mengakui bidang ini perlukan kesabaran yang tinggi.

Tambah Fara, ayah adalah penguat semangatnya untuk berjaya dan menempuh pelbagai halangan dalam bidang ini.

Katanya, bidang ini bukanlah platform untuk popular kerana tanpa ketahanan mental dan fizikal, seseorang itu tidak mampu untuk bertahan lama.

“Tidak dinafikan, saya dapat tawaran lain dalam industri seni, tetapi terpaksa tolak kerana menjaga nama baik RTM.

“Saya harus korbankan banyak perkara dan lebih selektif kerana sebagai penyampai, kami tidak dibenarkan melakukan karier lain.

“Sememangnya, jiwa saya sudah sebati dengan RTM dan tugas sebagai penyampai. Insya-Allah, saya akan terus berkhidmat dengan RTM,” katanya yang turut mempunyai perancangan dalam bidang perniagaan makanan dan pakaian.