Thursday, May 10, 2012

Impak siri jelajah ABPBH

DARI kiri; Shaheizy Sam, Yana, Along Cham dan Fizz Fairuz pada majlis penyampaian hadiah ABPBH2011.
DARI kiri; Shaheizy Sam, Yana, Along Cham dan Fizz Fairuz pada majlis penyampaian hadiah ABPBH2011.
Artis sanggup luang waktu temui peminat seluruh negara

KOMITMEN ditunjukkan tujuh finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 menjayakan siri jelajah sempena mempromosikan acara berprestij itu melayakkan mereka menerima Anugerah Khas daripada Jawatankuasa ABPBH.Fizz Fairuz, Shila Amzah, Awi Rafael, Shaheizy Sam, Along Cham, Yana Shamsudin dan kumpulan Forteen menerima anugerah berkenaan pada majlis penyampaian hadiah buat pemenang kategori artis dan pembaca, ABPBH2011, di Hotel Holiday Villa Subang Jaya, Isnin lalu.
Mereka membawa pulang seutas rantai mutiara bernilai RM10,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre serta barangan tajaan Avon.

Along yang tersenarai dalam kategori Artis Komedi Lelaki Popular ialah artis paling komited apabila berada di semua lokasi siri jelajah. Walaupun pada waktu sama sibuk menjalani penggambaran filem, namun Along sanggup mengetepikan tugasnya seketika dan meluangkan waktunya untuk ABPBH. Dia juga ialah pengacara bagi pertandingan Bintang Idola Berita Harian yang diadakan sempena penganjuran ABPBH.

“Sebelum ini kerjaya saya agak malap, tetapi sejak menyertai siri jelajah ABPBH pada 2008, kerjaya saya sedikit demi sedikit meningkat. Ketika itu saya bukanlah finalis, sekadar dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan siri jelajah bersama Raja Azura.

“Saya masih ingat lagi, ketika pertama kali mengikuti siri jelajah, hanya seorang peminat yang sudi mengambil gambar saya dan Angah (Raja Lawak). Sedih jugalah bila apabila seorang saja menunjukkan minat.
“Selepas dua tahun mengikuti siri jelajah, tak sangka pula saya boleh menjadi seorang daripada finalis. Semua ini berkat daripada komitmen yang saya berikan kepada siri jelajah ABPBH selama ini.

“Dari situ, perlahan-lahan saya membina nama. Tetapi semua ini tidak akan menjadi nyata tanpa bersulamkan minat. Bagi saya, minat kena ada apabila menyertai aktiviti sebegini. Janganlah kita melakukannya hanya kerana dicalonkan,” kata Along.

Fizz dan Sam turut berkongsi pandangan sama. Mereka memberikan komitmen kepada siri jelajah ABPBH sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang selama ini menyokong kerjaya seni masing-masing.

Pelakon drama Nur Kasih itu juga antara mereka yang paling kerap menyertai siri jelajah, selepas Along. Pemenang Pelakon TV Lelaki Popular ini berkata, bukanlah satu bebanan untuk meluangkan masa sekali seminggu untuk menghargai peminat.

“Insya-Allah, selepas ini di ceruk mana pun ABPBH minta saya datang, saya akan cuba tunaikan. Saya sukakan aktiviti sebegini, yang dapat mendekatkan diri dengan peminat.

“Bagi saya, ini saja dapat saya lakukan sebagai tanda terima kasih buat mereka. Saya bersyukur kerana dalam ramai-ramai pelakon, nama saya boleh terpilih sebagai top 5. Jadi saya harus menghargainya,” kata Fizz.

Meskipun tidak berjaya membawa pulang sebarang trofi tahun ini, Sam tidak sesekali patah semangat untuk terus memberikan komitmen kepada siri jelajah acara terbabit sekiranya masih dicalonkan pada tahun depan.

“Apa saja aktiviti yang dapat merapatkan hubungan saya dengan peminat, saya akan cuba untuk sertai. Bagi saya, kejayaan seseorang pelakon itu bukan terletak kepada kehebatan dia berlakon, tetapi disebabkan sokongan daripada peminat. Sebagai artis, saya tidak pernah menganggap aktiviti sebegini sebagai bebanan sebaliknya inilah lambang terima kasih saya buat mereka,” katanya.

Walaupun tidak dapat mengikuti ke semua lima destinasi siri jelajah tahun ini kerana sibuk dengan penggambaran filem Wawa Semput, Yana tetap berjaya singgah ke empat lokasi.

“Saya tidak boleh melepaskan peluang ini kerana inilah kali pertama saya dicalonkan. Inilah juga kesempatan yang saya ada untuk mendekati peminat yang banyak menyokong.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk mengikuti siri jelajah kerana pihak produksi turut memahami dan sedia melepaskan saya jika tiada halangan besar. Walaupun peluang berada di atas pentas ketika siri jelajah hanya sekejap, saya akan tetap bertemu dengan peminat selepas ini.

“Paling terharu, pada malam kemuncak lalu, peminat menyanyikan lagu untuk saya walaupun saya tidak menang. Ada peminat yang menangis di atas kekalahan itu, tetapi mereka tidak berputus asa dan tetap mahu menyokong saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: