|
PELAKON, penulis skrip dan kini bergelar pengarah, Zul Huzaimy Marzuki ada pendirian dan kecenderungannya dalam membentuk karier.
Jika selama ini dia lebih dikenali umum menerusi bakatnya dalam dunia lakonan mengakui kini lebih puas duduk di kerusi pengarah berbanding berlakon.
“Jujurnya, saya lebih selesa mengarah. Ada benda yang tak dapat dilepaskan ketika berlakon boleh diluahkan dalam pengarahan,” kata Zul yang ditemui pada sidang akhbar pelancaran drama Seindah Sakura untuk slot akasia TV3 di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.
Namun, dia enggan alpa kerana bagi Zul, prioriti dirinya masih kepada dunia lakonan berbanding pengarahan.
“Sebelum ini saya sering dinasihatkan supaya tidak terlalu taksub mengarah dan tidak meminggirkan bidang lakonan, nasihat itu saya pegang sampai sekarang,” ujarnya.
Zul yang sebelum ini pernah mengarah telefilem hebat seperti Rambong mengakui dia agak kekok ketika pertama kali diberikan mandat untuk berada di kerusi pengarah drama berepisod itu.
Justeru, dia mendapatkan bimbingan nasihat daripada Bade Azmi selain pengarah tersohor, Erma Fatima.
Ditanya mengenai cabaran untuk mengarah Seindah Sakura yang dilakonkan barisan pelakon terkenal, ujar Zul, dia sudah menetapkan garis panduan sebelum pelakon masuk ke set penggambaran drama tersebut.
Menampilkan Fahrin Ahmad dan Datuk Eizlan Yusuf, drama terbitan Temenggong Pictures yang mula ditayangkan sejak 7 Mei lalu pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 7 malam itu turut menampilkan pelakon Wan Sharmila, Fimie Don dan Erynne Erynna.
“Takut untuk mengarahkan nama-nama besar seperti Fahrin Ahmad dan Datuk Eizlan Yusof saya letak tepi. Apa yang pasti saya mahukan mereka datang ke set penggambaran bukan sebagai mereka tapi watak yang dibawa,” jelasnya.
Selain cabaran mengarah nama besar seperti Eizlan yang sebelum ini pernah menjadi pengarah dan penulis skrip, cabaran lain yang dihadapi Zul termasuklah keadaan cuaca yang tidak menentu.
Setinggan kereta api
Seindah Sakura menjalani penggambaran di kawasan pantai Beserah, Pahang yang menurut kata Zul, berdepan dengan masalah angin terlalu kuat hingga menenggelamkan suara pelakon.
Selain Pahang, Seindah Sakura juga turut melibatkan lokasi yang cukup sinonim dengan suasana romantis iaitu di Paris, Perancis selama sembilan hari.
Drama rantaian 24 episod yang diadaptasi daripada sebuah novel karya Liza Zahira yang juga berjudul Seindah Sakura itu mengisahkan tentang kehidupan seorang gadis bernama Shakira yang terpaksa mengharungi rintangan dan dugaan bersama neneknya sejak dia ditinggalkan sebatang kara oleh ibunya sejak kecil.
Menurut Zul, kisah itu sebenarnya menceritakan kehidupan setinggan di kawasan laluan kereta api. Namun, memandangkan faktor bunyi yang menyukarkan proses penyuntingan, dia memutuskan untuk mengubah lokasi ke tepi pantai.
“Drama ini sudah ada skrip, jalan cerita dan pelakon yang bagus, jadi tidak ada banyak masalah sepanjang penggambaran.
“Jika diberikan peluang, saya ingin mengarah kisah sebenar yang seratus peratus diadaptasi daripada novel asal,” ujar Zul yang kini sedang menjalani penggambaran untuk drama Musim Cinta Belum Berlalu bersama Jue Aziz.
Zul sebelum ini pernah berlakon dalam telefilem yang ditulisnya sendiri seperti Unjul Nak Jadi Orang, Inang di Bumi Korban, Nyanyikan Aku Airmata Itu, Kenapa Aku Mencuri dan Aku Belum Mati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: