Dalam kenyataannya yang dikirimkan kepada semua media menerusi e-mel, beliau menjelaskan, jauh dalam lubuk hatinya memang tidak ada niat langsung untuk menghina atau menyakitkan hati mana-mana kerana Bob Kuman dianggap sahabat baiknya.Berikut adalah kandungan e-mel daripada David Teo;
Pemergian Bob sememangnya satu kehilangan buat industri hiburan Malaysia. Saya sendiri terkejut apabila mendengar berita pemergiannya, namun kita sebagai manusia harus reda dengan segala ketentuan Tuhan.
Allahyarham sebelum ini banyak terbabit dalam produksi saya dan dia sangat komited dengan segala kerja yang dilakukannya. Saya juga sangat menghormatinya sebagai sahabat dan rakan kerja.
Pada kesempatan ini, saya dari lubuk hati yang dalam memohon maaf daripada keluarga Allahyarham sekiranya ada kata-kata atau tindakan saya yang menyinggung perasaan mereka. Bukanlah niat saya untuk mencetuskan sebarang isu atau kontroversi.
Saya sedar kata-kata saya dalam rancangan Melodi bertarikh 22 April 2012 saya ada menyebut mengenai sumbangan yang saya beri di Hospital Tawakal pada tahun 2010 semasa Bob sakit.
Dalam kenyataan itu, saya ada menyebut "jika Bob Kuman perlukan sumbangan lebih, saya boleh sedekah". Di sini saya ingin menjelaskan bahawa kenyataan ini dikeluarkan semasa Bob Kuman hidup, bukannya selepas meninggal dunia.
Penggunaan perkataan ‘sedekah’ yang saya maksudkan adalah ‘derma atau sumbangan’.
Apa yang saya faham, ‘sedekah’ bukanlah sesuatu yang hina. Selalu kita dengar ‘senyum adalah satu sedekah’ dan ‘sedekahkan al-Fatihah’ jika ada orang meninggal dunia. Saya anggap perkataan ini sesuatu yang suci, tetapi mungkin saya tersalah tafsir.
Saya sedar kata-kata saya ini telah menyinggung perasaan keluarga dan sebilangan masyarakat terutama peminat dan penyokong Bob Kuman. Percayalah, demi Tuhan saya langsung tidak terlintas niat di hati untuk menyakitkan hati mana-mana pihak sedangkan Bob Kuman saya anggap sebagai sahabat baik saya.
Saya sekali lagi memohon maaf di atas keterlanjuran kata-kata saya. Saya bukanlah insan sempurna yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan.
Pengalaman ini akan saya jadikan pedoman untuk menempuh hari-hari yang mendatang dengan lebih berhati-hati.
Kepada semua rakan artis dan peminat, sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham di sana. Diharapkan permohonan maaf ikhlas ini dapat diterima dengan hati yang ikhlas juga.
'Cara dia kurang manis'
PELAWAK terkenal, Saiful Apek, yang juga rakan baik Allayharham Bob Kuman, menganggap permohonan maaf melalui e-mel sebagai tidak bermakna dan tindakan kurang manis oleh produser popular, David Teo.
Katanya, sebagaimana lantangnya penerbit terbabit menyebut mengenai sumbangan yang diberikan kepada Allahyarham di Hospital Tawakal pada 2010 sebagai sedekah, seperti disiarkan Melodi siaran 22 April lalu, sepatutnya permohonan maaf itu dilakukan menggunakan kaedah sama (media elektronik).
“Susah saya mahu cakap soal ini. Bukan saya tidak terima permohonan maafnya, tetapi saya mahu dia memohon maaf secara terbuka, bukan menerusi e-mel yang kita tidak dapat lihat sama ada dia sendiri yang tulis atau sebaliknya. Bagi pihak saya, saya sudah memaafkannya, tetapi bagi orang lain, dia patut minta maaf dengan cara yang betul.
“Sepatutnya, bagaimana dia menggunakan media elektronik untuk mengeluarkan kenyataan sedekah itu, begitulah caranya untuk dia memohon maaf secara terbuka kepada ahli keluarga Allahyarham, seperti ibu, isteri, adik-beradik dan kenalan Bob yang terguris dengan kenyataannya yang cukup keras itu.
“Masa dia mengutuk Allahyarham, boleh pula menggunakan saluran televisyen. Kenapa tidak memohon maaf dengan cara yang sama? Ia lebih afdal apabila menggunakan media elektronik. Saya rasa, bukan saya saja yang berpendapat begini, orang lain juga pasti bersetuju kerana ia kurang manis. Lagipun, David sudah biasa buat filem Melayu, tentunya dia sudah arif dengan adat Melayu,” katanya.
Mengenai kemungkinan David salah mentafsir frasa sedekah, Apek berkata, David tidak menggunakan perkataan memberi sedekah sememangnya mulia, tetapi perkataan seolah-olah meminta sedekah, seperti yang ditujukan kepada Allahyarham, yang dilihat mengguris hati.
Katanya, jika sebelum ini David boleh menggunakan perkataan seperti sumbangan mahupun sagu hati, kenapa pada ketika itu dia memilih perkataan sedekah pula?
“Saya pelik kerana selama ini David terkenal dengan perkataan sagu hati dan sumbangan, tetapi kenapa untuk Allahyarham, sebanyak dua kali dia menggunakan perkataan sedekah,” tegasnya.
Katanya lagi, dia mengakui ada segelintir pihak mengatakan dia seperti meneguk di air yang keruh berhubung soal itu, dengan alasan kononnya mahu membalas dendam terhadap persengketaan bersama David selama ini. Bagaimanapun Apek menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.
“Tanggungjawab saya sebagai rakan baik adalah meminta David mohon maaf secara terbuka kepada keluarga Allahyarham. Selepas selesai permohonan maaf terbuka David nanti, saya mahu menjalankan amanah Allahyarham kepada saya pula, membabitkan diri saya sendiri.
“Ramai yang salah faham kerana ingat saya mahu menjalankan amanah yang membabitkan Allahyarham. Tidak, ia satu tanggungjawab yang diamanahkan Allahyarham kepada saya kerana hanya dia tahu semua cerita antara saya dan David. Saya tidak menggunakan isu ini untuk balas dendam kepada David. Ia amanah membabitkan hak saya dan sebenarnya bukan saya seorang saja, tetapi ramai lagi yang harus menuntut hak sama.
“Sebenarnya, sebelum meninggal, Allahyarham berpesan kepada saya untuk menuntut hak saya membabitkan soal bayaran yang tidak dilunaskan David. Saya berlakon percuma saja untuk filem Lady Boss dan Anak Mami The Movie. Hati mana tidak sakit setiap kali melihat tayangan filem itu di kaca televisyen, sedangkan sudah enam tahun saya tidak menerima bayaran?
“Selama ini, saya hanya diamkan saja kerana mengikut saluran yang betul, iaitu mahkamah. Kini tiba masanya saya menuntut hak seperti yang diamanahkan rakan baik saya,” katanya yang akan mengadakan sidang media tergempar dalam masa terdekat membabitkan haknya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: