Saturday, May 19, 2012

Gembira hidup seorang

Melayan ikan-ikan peliharaan sebagai cara mengisi masa lapang.

MELIHAT semakin ramai lelaki yang membujang sehingga lewat usia membuatkan ramai ternyata-tanya apakah punca atau masalah sehingga mereka enggan berkahwin.

Kalau dilihat secara luaran kedudukan kewangan mereka kukuh, kerjaya juga sudah mencapai ke tahap tinggi, fizikal kacak dan tampan dan ramai pula wanita yang berminat.

Namun hati mereka tidak juga terbuka untuk mendirikan rumahtangga.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie baru-baru ini dipetik sebagai berkata, sebanyak 44.7 peratus lelaki tidak berkahwin kerana masalah kewangan.

Faktor lain kenapa lelaki tidak berkahwin ialah tiada calon yang sesuai, kemajuan kerjaya, selesa hidup membujang dan komitmen terhadap keluarga.

Mega menyelami hati dua orang lelaki yang dianggap berjaya dalam kehidupan namun belum terbuka hati untuk mencari pasangan hidup.

Sedikit pun tidak pernah timbul kesal di hatinya kerana tidak berkahwin.

Walaupun mempunyai anak-anak buah yang telah meningkat dewasa namun baginya tidak pernah terlintas jika beliau berkahwin mungkin anaknya kini juga telah dewasa seperti mereka.

Beliau gembira dengan kehidupan sekarang dan tidak menganggap bahawa beliau tergolong dalam golongan yang tidak 'sempurna' kerana tidak berkahwin.

Biarlah apa orang hendak kata. Mesti ada yang memberikan tanggapan bahawa dia 'itu' dan 'ini' namun baginya yang penting adalah kebahagiaan dirinya dan tidak pernah menyusahkan orang.

Chef Datuk Ismail Ahmad yang kini telah pun mencecah usia 52 tahun berkata, berkahwin hanyalah satu keperluan biologikal.

Jika seseorang itu tidak merasakan perlu pada keperluan tersebut maka tidak perlulah dia berkahwin.

Tidak perlulah berkahwin atas desakan orang lain.

"Kebanyakan lelaki berkahwin dalam usia 20-an kerana merasakan ada keperluan dan keinginan kepada wanita. Tetapi bagi diri saya, apabila usia tersebut sudah berlalu saya merasakan berkahwin bukan sesuatu yang perlu bagi saya.

"Apabila kita berkahwin dengan seseorang wanita, kita turut berkahwin dengan emosinya, ibu bapanya, ipar duai dan keluarganya. Di sini kita perlu banyak belajar mengenai sesuatu yang baru dalam hidup kita," kata beliau yang ditemui di Restoran Rebung miliknya yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Chef Ismail, ibu bapanya sendiri tidak pernah bertanya, menyuruh atau menggesa beliau untuk berkahwin.

Pernah beliau bertanya kepada ibunya semasa ibunya masih hidup kenapa tidak pernah menyuruhnya berkahwin sedangkan adik lelakinya yang baru berumur 23 tahun sudah disuruh berkahwin.

Namun ibu beliau menjawab, tidak mengapalah kerana beliau pandai menjaga diri sendiri dan berkebolehan dalam banyak perkara.

Dengan kata lain, ibu beliau tidak bimbang akan masa depannya.

Kini telah 12 tahun ibunya meninggal dunia dan bapanya pula meninggal dua tahun lepas.

Namun Chef Ismail tidak pernah kesunyian dengan kehadiran 12 orang anak saudara dan beberapa orang cucu saudara.

''Saya selalu nasihatkan anak-anak saudara saya. Harta akan habis tetapi didikan, saling mengingati kepada yang baik dan perubahan dalam hidup daripada tidak baik menjadi baik adalah sangat penting. Saya mahu mereka menjadikan saya sebagai ikon untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.

''Terus terang saya katakan saya tidak pernah rasa sunyi. Apabila kita tidak berkahwin, kita kena pandai membahagikan masa dan kita harus menjadi kekasih kepada semua orang supaya orang sayang kepada kita serta pandai meletakkan diri kita pada pandangan orang.

''Saya tinggal seorang tetapi staf sentiasa mengambil berat akan diri saya. Jika saya demam atau sakit, mesti ada yang akan datang menjenguk dan mempastikan saya sudah makan ubat atau tidak.

"Saya menganggap staf seperti adik beradik dan anak. Siapa yang rapat dengan kita setiap hari, itulah saudara kita,'' tambahnya yang mempunyai seramai 50 orang staf.

Tambah Chef Ismail yang menjadikan Restoran Rebung sebagai 'kawan baik'nya, dalam hidup Allah sudah menentukan nasib kita sejak dalam kandungan ibu lagi.

Sebagai manusia kita tidak mampu mengubahnya dan jika ditakdirkan tidak akan berkahwin, terima saja.

"Saya pun sudah selesa dengan kehidupan sekarang dan tidak terfikir lagi hendak berkahwin. Jika saya berkahwin pun anak-anak masih kecil dan usia saya pun sudah tua. Jadi saya teruskanlah membujang," katanya yang juga pemilik bersama Restoran Melati yang terletak di Soho London.

Ditanya tidakkah risau segala harta yang dimiliki kini tidak dapat diwarisi anak-anak, Chef Ismail berkata, harta adalah keperluan semasa hidup dan hanya material.

"Ia akan reput setelah kita mati. Tidak semestinya harta yang kita tinggalkan itu akan disukai oleh mereka yang menerima. Yang penting ialah didikan.

"Sebab itu mereka yang berkemampuan dan berharta, berilah kesenangan kepada ibu bapa semasa mereka masih hidup. Jangan tunggu bila mereka sudah tiada baru kita teringat hendak memberi sesuatu kepada mereka," jelasnya.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik ini lagi, walaupun tidak mempunyai zuriat beliau tidak pernah gusar meniti usia waima memikirkan siapakah yang akan menjaganya di kala tubuh tidak berdaya lagi hendak bangun atau ditakdirkan terlantar di katil.

''Kita harus selalu berfikiran positif. Sekarang ini banyak rumah penjagaan warga emas yang selesa yang lengkap dengan doktor, jururawat dan pekerja yang berpengalaman.

"Kenapa hendak berfikiran negatif. Jangan anggap rumah orang tua sebagai rumah 'buangan.' Malah mereka akan diberi sepenuh perhatian. Ada orang yang memiliki ramai anak pun dihantar ke rumah orang tua juga.

"Saya pernah melihat rumah orang tua di Frankfurt, Jerman, di mana rumah tersebut setaraf dengan hotel lima bintang kita di Malaysia.

"Mungkin tidak lama lagi ada pihak yang mahu menyediakan rumah orang tua seperti itu untuk kemudahan dan keselesaan mereka yang tiada sesiapa untuk menjaga di hari tua," katanya sambil ketawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: