Saturday, May 19, 2012

Selesa hidup sendiri antara punca lelaki tidak kahwin

SEBELUM ini masalah lelaki tidak berkahwin atau berkahwin lewat mungkin dianggap tidak penting.

Namun jika isu ini langsung tidak diberi perhatian dibimbangi akan menimbulkan pelbagai masalah sosial seperti hubungan sejenis, tinggal bersama tanpa nikah (bersekedudukan) dan sebagainya.

Pakar Perunding Psikiatri dan Hypnotherapi Hospital Pusrawi, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman berkata, daripada pengalamannya berdepan dengan pesakit, banyak sebab yang menjadi punca kepada masalah tersebut.

Menurutnya, masyarakat kita khususnya lelaki semakin terikut-ikut dengan negara Barat yang menganggap institusi perkahwinan tidak penting lagi.

Lebih-lebih lagi mereka yang pernah menuntut di negara Barat yang melihat cara kehidupan masyarakat di sana yang tidak begitu menitik beratkan mengenai kekeluargaan.

"Di Barat, anggapan biasa bahawa apabila lelaki berkahwin dengan wanita dan mempunyai anak bukan sesuatu yang boleh memberikan kebahagiaan.

"Justeru mereka lebih suka memilih hidup bersama tanpa ikatan perkahwinan atau bersekedudukan kerana tidak perlu memberi sebarang komitmen. Bagi mereka cara hidup begini lebih mudah dan tidak memberikan masalah.

"Bagaimanapun di Malaysia, baik daripada pandangan Islam mahupun agama-agama lain, bersekedudukan adalah dilarang dan bukanlah sesuatu yang elok pada pandangan masyarakat," katanya.

Selain itu menurut Dr. Daniel Zainal, terdapat juga lelaki yang tidak mahu berkahwin kerana mereka lebih suka dan selesa hidup sendiri.

Apabila masa berlalu dan usia semakin meningkat, mereka semakin serasi dengan keadaan itu hingga langsung tidak berfikir untuk berkahwin.

Menurutnya lagi, beberapa tahun dahulu pihak Jabatan Agama Islam pernah berbincang mengenai isu mengapa wanita tidak mahu berkahwin walaupun memenuhi kriteria seperti muda, berkerjaya, bergaji lumayan dan personaliti yang menarik.

Katanya, jawapan yang diperoleh menyatakan wanita-wanita ini sudah mempunyai karier yang stabil dan tidak perlu bergantung pada lelaki.

"Jawapan seperti ini sedikit sebanyak menakutkan lelaki dan membuatkan lelaki takut hendak mendekati mereka.

"Wanita-wanita ini juga mempunyai kuasa kewangan. Jadi mereka beranggapan jika tidak mendapat lelaki yang sesuai yang melebihi kuasa kewangan mereka, jadi tiada sebab untuk mereka berkahwin," katanya.

Selain itu, tambah beliau, dunia sekarang mempunyai banyak tarikan daripada segi sains dan teknologi seperti internet, permainan online dan sebagainya.

Justeru lelaki beranggapan mereka tidak kesunyian dengan masa terluang mereka dihabiskan menghadap komputer.

Jika berkahwin, pasti mereka tidak berkesempatan melakukan itu semua dan perlu memenuhi tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

''Dahulu pada zaman ibu bapa kita berkahwin, cara hidup mereka sangat mudah. Bapa pergi bekerja dan ibu di rumah.

"Tetapi lelaki dan wanita sekarang sudah berubah. Masing-masing mempunyai matlamat dan mereka tidak mahu hanya bergantung kepada pasangan.

''Walaupun ada segelintir yang tidak mahu berkahwin kerana pernah dikecewakan namun itu bukanlah sebab utama kerana jika mereka berkeinginan untuk berkahwin, mereka akan mencari bakal pasangan hidup yang lain,'' katanya yang telah 25 tahun berpengalaman dalam bidang psikiatri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: