Saturday, May 19, 2012

Menjamu selera di Perth

SEPERTI destinasi tarikan utama Australia yang lain, Perth turut menjanjikan kepuasan bercuti di tengah dan di luar kota yang moden dan alam semula jadi tanpa perlu mengembara jauh dari bandar.

Kota Perth yang mempunyai 1.6 juta penduduk juga dikenali sebagai City of Light kerana kemeriahan bandar yang sentiasa terang dan bergemerlapan.

Sememangnya terkenal sebagai 'syurga' pelancongan, Perth pastinya tidak mengecewakan.

Selain mempunyai banyak kawasan pelancongan yang menarik untuk dilawati, pelancong juga tidak perlu risau apabila tiba masa untuk mengisi perut.

Ini kerana terdapat banyak restoran-restoran menarik yang menyediakan serta menyajikan makanan-makanan yang lazat untuk dinikmati bersama.

Tidak ketinggalan makanan halal untuk para pelancong yang beragama Islam yang turut disediakan di restoran mahupun pasar raya-pasar raya.

Pelbagai pilihan makanan terdapat di Perth dan antaranya seperti makanan Timur Tengah yang boleh dinikmati di Cafe Oleh Oleh di Hay Street; Cafe Karache, Murray St; Restoran Indonesia Indah di Barrack St; Cafe Manise; Satay Club dan Halal Family Caterers di Northbridge serta Mediterranean Pizzas dan Kebabs di Subiaco.

Makanan laut segar juga boleh dinikmati bagi mereka yang menggemari makanan laut serta tidak ketinggalan juadah fish & chips yang paling popular di Perth yang boleh diperoleh di In Fremantle's Fishing Harbour.

Ini tidak termasuk pelbagai restoran yang 'bersepah' untuk para pelancong dari pelbagai pelusuk dunia.

Pelancong Islam juga tidak perlu susah hati kerana mereka juga boleh menunaikan solat di masjid-masjid yang terdapat di sekitar bandar Perth.

Berbalik kepada tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di Perth, boleh dikatakan setiap tempat mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Yang pasti, sejak kebelakangan ini, kota Perth mengalami pembangunan pesat selain banyak pengubahsuaian dilakukan dalam usaha memberikan yang terbaik buat para pelancong.

Bagi mereka yang bercuti sambil ingin membeli-belah, Perth juga merupakan sebuah destinasi yang tidak ketinggalan menyediakan pelbagai barangan menarik untuk dibawa balik sebagai cenderahati.

Jadi, bagi mereka yang ingin menghabiskan cuti anda di Perth, Malaysia Airlines menawarkan penerbangan sebanyak 10 kali seminggu dari Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: