Monday, May 14, 2012

Fesyen hijab wanita Turki


SEBANYAK 60 peratus wanita Turki memakai hijab yang menutupi leher dan telinga mereka.


PEMAKAIAN hijab atau tudung bagi masyarakat Malaysia sememangnya sinonim dengan kehidupan wanita Islam di negara ini. Namun, sejauh manakah hijab boleh menjadi salah satu bentuk fesyen dalam berpenampilan?

Di Turki, majalah fesyen untuk wanita Islam, Ala, membuktikan wanita Islam di negara tersebut masih boleh bergaya sekalipun bertudung.

Berbekalkan slogan Erti Kecantikan, majalah tersebut telah berada di pasaran Turki sejak bulan Jun tahun lalu.

Purata pembaca majalah tersebut dianggarkan seramai 20,000 orang. Bahkan, majalah tersebut turut menjadi pencabar terdekat kepada majalah Cosmopolitan, Vogue dan Elle dalam versi bahasa Turki.

Isi kandungan Ala lebih banyak berkisar tentang gaya yang sesuai untuk wanita Islam yang bertudung dan pakaian yang menutup aurat.

Majalah itu juga mempromosikan fesyen yang sesuai untuk golongan wanita Islam yang memakai hijab.

Ala bukan sahaja dikenali di Turki malah ia turut berkembang ke serata dunia.

Apa yang menarik mengenai majalah yang menjadi kebanggaan wanita Islam Turki itu ialah segala yang dipaparkan dalam majalah tersebut mengikut garis panduan Islam. Isi kandungannya juga disampaikan dengan cara yang santai dan moden.

Pengarang majalah Ala, Hulya Aslan, 24, berkata, dia mempunyai pengalaman mengenai masalah pemakaian tudung di negara tersebut.

"Dalam tempoh antara lima hingga enam tahun kebelakangan ini, pemakaian tudung wanita Islam di Turki telah meningkat.

"Mereka yang bertudung boleh menjalani kehidupan seperti biasa dan mampu untuk melanjutkan pelajaran ke universiti serta bersaing dalam bidang kerjaya profesional," katanya.

Majalah Ala turut memberikan informasi mengenai tip-tip kesihatan dan temu ramah bersama selebriti. Kekuatan sebenar majalah tersebut terletak pada paparan ruangan pandangan dan suara-suara aktivis Islam. Majalah yang berharga 9 lira (RM15.50) itu diterbitkan sebulan sekali. Ala bermaksud hebat dan cemerlang.

Pemakaian hijab

Aslan menambah, kewujudan Ala merupakan satu batu loncatan kepada wanita untuk melakukan perubahan melalui kaedah pemakaian hijab mengikut peredaran zaman.

Antara pandangan aktivis Islam di ruangan iklan majalah tersebut termasuklah, Kecantikan Berhijab dan Berhijab ialah cara, pilihan, kehidupan dan kebenaran bagi kami.

Kebanyakan pandangan tersebut dijadikan pengajaran kepada perjuangan masa lampau umat Islam di negara tersebut, terutama semasa fahaman sekular menular dalam kalangan masyarakat sosial yang sering mempertikaikan pemakaian hijab dalam kalangan umat Islam.

Ketika itu, mereka yang bertudung dilihat sebagai simbol politik yang sering dikaitkan dengan permusuhan dalam kalangan umat Islam.

Perjuangan diteruskan pada tahun 2002 ketika kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang diterajui oleh Perdana Menteri negara tersebut pada masa itu, Recep Tayyip Erdogan.

Parti politik tersebut mempunyai asas-asas Islam yang kuat dan turut disokong oleh isteri kepada pengikut-pengikut parti tersebut yang sentiasa memakai hijab termasuklah isteri Erdogan, Emine.

Pada zaman pemerintahan AKP, fahaman sekular telah dimansuhkan sedikit demi sedikit, namun terdapat kekangan bagi penjawat awam untuk memakai hijab ketika bekerja.

Pada masa yang sama, sesetengah universiti di negara tersebut membenarkan pemakaian hijab, namun segelintir pihak masih menyekat perbuatan tersebut.

Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Yayasan Pengajian Sosial dan Ekonomi Turki yang berpangkalan di Istanbul, sebanyak 60 peratus wanita Turki memakai hijab yang menutupi leher dan telinga mereka.

Di dalam dunia fesyen yang berkembang luas dewasa ini, wanita Turki juga berminat untuk menonjolkan diri mereka melalui fesyen tradisi mereka.

Menurut pelatih majalah Ala, Merve Buyuk, 22, keterampilan wanita Turki kini lebih cantik jika dibandingkan sebelum ini.

"Pereka fesyen juga telah mempelbagaikan rekaan fesyen mereka dan saya gembira dengan perubahan ini," ujarnya.

Majalah Ala juga berharap dapat mempengaruhi fesyen wanita Turki melalui setiap iklan yang dihasilkan.

Pensyarah komunikasi Universiti Galatasaray, Nigul Tutal berkata, kewujudan majalah Ala membuktikan kebangkitan umat Islam kelas pertengahan dalam masyarakat pengguna.

"Umat Islam mempunyai cara yang tersendiri untuk membezakan mereka dengan Barat yang sentiasa memusuhi masyarakat pengguna," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: