Monday, May 14, 2012

Tiamo penjalin kasih sayang



IBU-IBU moden lebih terarah membina kasih sayang berdasarkan material. Namun, jangan pula disalah tafsir pendekatan kebendaan itu, kerana ia tidak bermaksud mereka mengajar anak-anak untuk hidup dibanjiri kemewahan sahaja.

Masih ramai ibu zaman ini sebenarnya berjaya mengimbangi aspek duniawi dan didikan pekerti dengan sempurna.

Bagi Azura Hanum Abdullah Sani, 39, dua anak perempuan yang menyerikan hidupnya merupakan anugerah terindah. Wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu cukup menitikberatkan hubungan ibu dan anak kerana menginginkan pertalian yang akrab.

Anak pertama beliau Natasha Roszaidy, sedang meniti alam remaja manakala puteri keduanya, Nikkisha Roszaidy, 8, masih dibuai fantasi kanak-kanak. Seperti kebanyakan kanak-kanak lain, selaku anak bongsu, Nikkisha memang rapat dengan Azura.

“Karakter Nikkisha dan kakaknya sangat berbeza. Dia bersifat lebih feminin berbanding kakaknya yang selesa dengan imej relaks. Saya pula wanita yang gemar berdandan dan berhias, jadi Nikkisha melihat saya sebagai contoh untuk dia melaram.

“Paling ketara sekali ialah minat kami terhadap kasut. Setakat ini, kami sudah memiliki tiga pasang kasut yang sama yang direka khusus untuk ibu dan anak.

“Kasut jenama Tiamo itu mula saya kenali tahun lalu, keselesaan dan ciri-cirinya membuatkan saya dan Nikkisha menggemarinya. Kesemua kasut yang saya beli dipilih oleh Nikkisha dan saya tidak pernah menolak kesukaannya kerana cita rasa kami memang sama,” ujar Azura.

Ketika ditanya mengapa mahukan kasut yang sama seperti ibunya, Nikkisha menyatakan beliau bangga kerana penampilan yang ditonjolkan dikongsi bersama ibunya.

“Rasa seronok apabila keluar berjalan-jalan dengan ibu, orang tengok kasut yang kami pakai sama,” tutur pelajar Sekolah Kebangsaan St. Mary, Kuala Lumpur yang menggemari warna hitam itu.

Struktur kasut jenama tempatan itu yang bertapak rata membuatkan Azura merasakan ia bertepatan dengan usia anak beliau yang masih kecil. Selain itu, kusyen dalaman kasut itu juga memberikan keselesaan buat mereka berdua.

Tambah Azura, motif dan rekaan yang dikeluarkan untuk edisi khas ibu dan anak tidak terlalu sarat. Mainan rona lembut dan corak polka dot menjadikan kasut tersebut tidak kelihatan terlalu kebudak-budakkan untuk dipakai orang dewasa.

“Paling penting kasut Tiamo ini sesuai digayakan dengan apa jua pakaian. Baik baju kurung atau seluar kasual, penampilan tidak tampak janggal.

“Ramai kawan-kawan saya tertarik melihat kasut saya dan Nikkisha dan secara tidak langsung saya mengesyorkan mereka mencuba jenama itu.

“Selain dapat bergaya, ia dapat membentuk persepsi positif terhadap hubungan ibu dan anak. Minat dan hobi yang kami kongsi ini menjadikan pertalian kasih sayang lebih rapat,” jelas Azura.


MASLINDA membantu anaknya, Nelly Sofea memilih kasut Tiamo yang sesuai dengan penampilannya.


Elak kasut tinggi

Seorang suri rumah yang ditemui, Maslinda Mahmud, 35, pula menolak pemakaian kasut tumit tinggi dalam kalangan kanak-kanak perempuan.

Menurut wanita dari Kuala Lumpur itu, kaki kanak-kanak masih belum sesuai menyarungkan kasut bertumit dan apa yang penting bagi mereka adalah keselesaan.

Cukup mengenali telatah anak-anaknya, Maslinda telah beberapa kali mendengar rungutan kedua-dua puterinya akibat kasut yang tidak selesa. Kesudahannya, mereka meminta menanggalkan kasut dan mahu memakai selipar serta-merta.

“Kali pertama mengenali Tiamo, saya akui bahawa rekaannya amat menarik. Mula-mula saya membeli untuk diri sendiri kerana mahu memastikan ia selamat untuk dipakai anak-anak saya.

“Selepas hampir setahun mencuba, saya tidak teragak-agak membelikan kedua-dua anak perempuan saya kasut Tiamo,” demikian kata Maslinda yang sudah memiliki tiga pasang kasut yang sama dengan puteri-puterinya.

Nelly Sofea Hezree, 7, dan Evanna Sofea Hezree, 4, tidak pernah membantah saat bergaya dengan kasut rekaan yang sama. Malah, kedua-dua mereka sudah menganggap ia sebagai identiti keluarga saat keluar bersama.

Rasa selesa

Kasut yang menceduk inspirasi sepatu balet itu cukup digemari Nelly dan Evanna. Keselesaan yang diberikan membuatkan mereka tidak lagi meminta untuk menukar kepada selipar saat keluar bersiar-siar.

“Kami bertiga banyak meluangkan masa bersama. Pada hari cuti kami sering melakukan aktiviti seperti membeli-belah, merias kuku dan ke salon.

“Sebelum keluar rumah, Nelly dan Evanna akan bertanya kepada saya kasut apa yang ingin dipakai. Saya letak kepercayaan pada mereka untuk memilih dan apa yang saya perhatikan, mereka berdua suka memakai kasut yang serupa dengan saya.

“Saya, Nelly dan Evanna juga akan menggayakan kasut yang sama ke majlis-majlis perkahwinan. Hari raya merupakan waktu paling menyeronokkan buat mereka kerana semua yang dipakai dari hujung kaki ke hujung kepala sama dengan ibunya,” ucap Maslinda.

Perkongsian cita rasa fesyen yang senada mengukuhkan keakraban Maslinda dan anak-anaknya. Teknik yang diguna pakai Maslinda itu mampu mengajar Nelly dan Evanna menghormati pandangan ibunya dan dalam masa yang sama, membuatkan hubungan yang terjalin lebih istimewa.

“Saya bukan hanya mahu menjadi ibu buat mereka. Saya ingin mereka melihat saya sebagai sahabat dan insan yang mereka percayai. Setiap ibu mahukan diri dijadikan contoh dan rujukan oleh anak-anak dan hal itu bukan mencakupi kisah peribadi sahaja.


SEPATU tapak rata Tiamo bukan sahaja memberi keselesaan saat memakainya, bahkan kelihatan comel dengan hiasan reben dan bunga.


“Nelly dan Evanna boleh meminta pandangan saya tentang banyak hal termasuklah perkara berkenaan penampilan diri. Saya berharap didikan yang saya terapkan daripada kecil ini mampu dibawa mereka sehingga dewasa,” luah Maslinda penuh harapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: