Monday, May 14, 2012

Trend baharu stor peribadi



SETIAP kali pulang ke rumahnya di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur sebelum ini, Antonio Kam Yew Wai, 25, akan mengeluh panjang.

Rumah yang sepatutnya menjadi tempat beristirehat dan menenangkan fikirannya tidak lagi menjamin keselesaan kepada lelaki itu.

Semuanya bermula lebih satu setengah tahun yang lalu, apabila dia terpaksa menjadikan rumahnya itu sebagai stor barang-barang perniagaannya.

"Bilik tidur orang lain selesa dengan katil atau almari, bilik tidur saya pula dipenuhi kotak-kotak besar.

"Jika terlalu banyak barang saya terpaksa meletakkannya di ruang tamu rumah, sehingga menimbulkan perasaan rimas dalam kalangan ahli keluarga yang lain," katanya yang bekerja sebagai wakil jualan Azodin Asia, sebuah syarikat pengedar peralatan permainan paintball yang berpangkalan di Taiwan.

Ujarnya, dia tidak mempunyai pilihan lain ketika itu kerana kerana beranggapan ia merupakan jalan paling mudah tanpa melibatkan kos yang tinggi.

Tambah Antonio, biarpun pernah menyewa sebuah ruang pejabat di Puchong, Selangor untuk dijadikan stor namun ia hanya mampu bertahan selama enam bulan sahaja.

"Antara faktor utama ialah kedudukan stor yang agak jauh, kos sewa yang mahal dan kesukaran untuk mengaksesnya setiap hari.


HAGBECK menunjukkan kod akses elektronik peribadi yang hanya boleh diakses oleh pelanggan.


"Kedudukan stor yang terletak di tingkat dua juga menyebabkan proses membawa turun atau naik barang menjadi rumit dan sedikit memenatkan," katanya.

Bagaimanapun, kunjungan ke Singapura beberapa bulan lalu membuka matanya untuk mengenali perkhidmatan penyimpanan layan diri Extra Space dengan lebih dekat.

Katanya, tatkala melayari laman web syarikat itu dia tidak menyangka syarikat itu turut beroperasi di negara ini iaitu di Lot 271, Jalan Dua melalui Jalan Chan Sow Lin sejak Februari lalu.

"Menariknya, di sini pelanggan berpeluang memilih saiz stor mengikut keperluan perniagaan yang dilakukan.

"Ia lebih praktikal kerana lokasinya juga agak strategik di tengah-tengah bandar raya dan dekat dengan rumah saya," ujarnya yang menyewa ruang stor bersaiz 4.41 meter persegi sejak sebulan yang lalu.

Ditubuhkan pada tahun 2007, Extra Space membuka cawangan pertamanya di Singapura.

Bermula dengan hanya 50 pelanggan, syarikat itu semakin berkembang dengan anggaran 5,300 orang termasuk tujuh cawangan merangkumi tiga buah negara iaitu di Singapura, mempunyai lima cawangan, Korea dan Malaysia masing-masing satu cawangan.

Trend baharu

Ketua Pegawai Eksekutif Extra Space, Michael Hagbeck berkata, Malaysia dipilih kerana ia mempunyai ciri-ciri demografi yang hampir sama seperti Singapura.

Ujarnya, perkhidmatan penyimpanan layan diri merupakan trend baharu yang semakin berkembang dalam masyarakat moden pada hari ini.

"Baik individu, keluarga atau ahli perniagaan, sesiapa sahaja boleh menggunakan perkhidmatan ini dengan pelbagai tujuan.

"Extra Space bukan sahaja memastikan privasi barangan yang disimpan, malah ia juga terjamin kerana dilindungi insurans," katanya.

Jelas Hagbeck, buat masa ini syarikat itu menawarkan 123 ruang simpanan bermula dari saiz 2.2 meter persegi (saiz peti ais mini) sehingga saiz 19.5 meter persegi atau saiz garaj.

Menariknya, semua ruang storan ini bersifat peribadi dan boleh diakses pada bila-bila masa 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.


TEMPAT penyimpanan bersaiz garaj ini sesuai untuk mereka yang mempunyai barang yang banyak.


Katanya, pelanggan boleh memilih untuk menyewa stor dari tempoh dua minggu sehingga maksimum 20 tahun.

"Aspek keselamatan turut dititikberatkan kerana keseluruhan bangunan dikawal dengan kamera litar tertutup dan pagar kawalan automatik.

"Untuk memasuki ruang simpanan mereka, setiap pelanggan mempunyai kod akses elektronik peribadi," ujarnya.

Menurut Hagbeck, pelanggan juga boleh menamakan wakil atau individu kedua untuk memegang kod akses itu sekiranya mahu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

"Begitu juga jika berlaku kematian, wakil atau waris pelanggan boleh menuntut barangan yang disimpan asalkan mempunyai dokumen lengkap mengenainya," jelas Hagbeck.

Tambah beliau, ketika ini lebih 80 peratus pelanggan syarikat itu terdiri daripada individu yang menyimpan barangan peribadi sementara 20 peratus lagi bagi kegunaan perniagaan.

"Dalam masa terdekat ini, kami akan membuka ruang berhawa dingin dan ruang storan wain di blok bersebelahan bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

"Di samping itu juga, kami turut merancang membuka beberapa cawangan lain seperti di Johor Bahru, Johor dan Pulau Pinang pada masa hadapan," ujarnya.

Popular di luar negara

Bagi seorang pelanggan, Terence Tay, 30, konsep perkhidmatan penyimpanan layan diri itu sememangnya telah popular di luar negara kerana mempunyai sistem yang lebih efisien dan sistematik.

Jurudandan dan pengusaha rangkaian salon rambut itu berkata, di Extra Space pelanggan boleh memilih sendiri saiz ruang penyimpanan yang dikehendaki dan tempoh yang diperlukan.

"Setiap ruang penyimpanan bukan sahaja bersih dan kering bahkan kelihatan luas dan selesa.

"Malah, kawasan sekitarnya juga lengkap dengan lot-lot parkir dan mudah diakses lori-lori yang datang untuk mengambil atau menghantar pesanan," katanya yang menyimpan pelbagai peralatan seperti mesin dan produk-produk penjagaan rambut di situ.


PULUHAN kamera litar tertutup yang beroperasi 24 jam sehari melengkapkan ciri-ciri keselamatan di Extra Space


Ujar Terence, kadar caj yang dikenakan juga jauh lebih murah berbanding menyewa gudang simpanan biasa yang banyak terdapat di negara ini.

Bagaimanapun, ia lebih berisiko kerana terdedah kepada kerosakan, kehilangan atau malapetaka yang tidak diingini.

"Di sini, pelanggan tak perlu risau kerana dilindungi sepenuhnya dari aspek keselamatan.

"Di samping syarat yang mudah dan fleksibel segala urusan seperti proses sebut harga dan bayaran juga boleh dilakukan secara talian," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: